Jumaat, 28 September 2012

Nikmat Yang Sering Kita Alpa



السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Marilah kita berbicara tentang hadith yang menyebut dua nikmat yang menyebabkan ramai manusia yang terpedaya, di mana kita akan rumuskan darinya beberapa pengajaran dan pedoman yang dapat membantu dalam hidup kita dari segi dakwah dan urusan duniawi. Dari Ibn Abbas r.a berkara, Rasulullah saw telah bersabda:

“Dua nikmat yang sering memperdaya manusia: Kesihatan dan kelapangan masa”. (Fathul Bari: 11/29/6412, Tuhfatul Ahwazi: 6/589/2405)





 Pelajaran dan pengajaran
1. Orang beruntung dan orang rugi yang sebenarnya
Dengan kata-kata yang penuh dengan keindahan bahasa dari nabi saw, baginda memberi perumpaaan kepada kita yang menyentuh cinta hati yang mendalam kepada kejayaan yang agung dan keuntungan yang besar supaya manusia melalui jalan yang selamat, kerana kejayaan dan keuntungan sebenar ialah keuntungan akhirat. Kerugian yang sebenar ialah kerugian di akhirat. 

Firman Allah:
“15. Maka sembahlah olehmu (hai orang-orang musyrik) apa yang kamu kehendaki selain Dia. Katakanlah: “Sesungguhnya orang-orang yang rugi ialah orang-orang yang merugikan diri mereka sendiri dan keluarganya pada hari kiamat”. ingatlah yang demikian itu adalah kerugian yang nyata”. (Az-Zumar: 15)

Menurut At-Taiby: “Nabi memberi perumpamaan kepada orang yang mukallaf seumpama seorang peniaga yang mempunyai modal, di mana beliau di samping mengharapkan keuntungan beliau juga mengharapkan keselamatan modalnya. Jalannya untuk mencapai tujuan ini ialah orang yang menjalankan urusniaga ini mestilah menghiasi dirinya dengan akhlak dan siddik dan hazak supaya tidak terpedaya. Oleh itu kesihatan dan kelapangan adalah modal. Sewajarnya beliau berurus niaga bersama Allah dengan iman, bermujahadah melawan nafsu dan musuh agama supaya memperolehi kebaikan di dunia dan akhirat. Firman Allah:

“10. Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu Aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkanmu dari azab yang pedih?11. (yaitu) kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagimu, jika kamu Mengetahui.12. Niscaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan memasukkanmu ke dalam jannah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam jannah ‘Adn. Itulah keberuntungan yang besar”. (Saff: 10-12)

Firman Allah:
“Sesungguhnya Allah Telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan surga untuk mereka. mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu Telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang Telah kamu lakukan itu, dan Itulah kemenangan yang besar”. (At-Taubah: 111)

Disamping itu seorang muslim yang ingin mencapai kejayaan ini maka ia hendaklah menjauhi dari mentaati nafsu dan berkawan dengan syaitan supaya tidak menghilangkan modalnya selain dari memperolehi keuntungan

2. Sekiranya kamu menghitung nikmat Allah pastilah kamu tidak dapat menghitungnya.
Allah swt telah mengurniakan nikmat kepada hambanya yang tidak mampu dihitung banyaknya. Firman Allah:

“Dan jika kamu menghitung-hitung nikmat Allah, niscaya kamu tak dapat menentukan jumlahnya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. (An-Nahl: 18)

“ Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatupun, dan dia memberi kamu pendengaran, penglihatan dan hati, agar kamu bersyukur.(An-Nahl: 78)

“Katakanlah: “Dia-lah yang menciptakan kamu dan menjadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan dan hati”. (tetapi) amat sedikit kamu bersyukur”. (Al-Mulk: 23)

“6. Hai manusia, apakah yang Telah memperdayakan kamu (berbuat durhaka) terhadap Tuhanmu yang Maha Pemurah.7. Yang Telah menciptakan kamu lalu menyempurnakan kejadianmu dan menjadikan (susunan tubuh)mu seimbang,8. Dalam bentuk apa saja yang dia kehendaki, dia menyusun tubuhmu”. (Al-Infithar: 6-8)

“8. Bukankah kami Telah memberikan kepadanya dua buah mata,9. Lidah dan dua buah bibir.10. Dan kami Telah menunjukkan kepadanya dua jalan”. (Al-Balad: 8-10)

Menurut Mujahid: “Ini semua adalah nikmat-nikmat dari Allah yang saling bergandingan. Dengannya Allah menjadikan kamu bergembira dan tenang, supaya kamu bersyukur. Pada suatu malam, al-Fudhail menangis ketika membaca ayat ini. Lantas beliau ditanya tentang tangisannya. Lalu beliau menjawab: “Adakah anda pernah tidur pada satu waktu malam dalam keadaan kamu bersyukur kepada Allah kerana Dia menjadikan untuk kamu dua pasang mata yang dengannya kamu dapat melihat? Adakah kamu pernah tidur pada suatu malam dalam keadaan bersyukur kepada Allah kerana Dia menjadikan untuk kamu lidah yang dengannya kamu bertutur? Beliau mengulangi bentuk pertanyaan ini. (Jami’ Ulum wal Hikam 2/75)

3. Nikmat yang dilupakan
Ramai manusia yang disibukkan dengan nikmat-nikmat kebendaan yang ada disekelilingnya seperti harta, anak dan pangkat, manusia lupa dan lalai nikmat-nikmat yang besar, tidak menyedari nikmat-nikmat itu kecuali apabila hilang dan tidak dapat digunakan. Melalui kesan ini akan mendorong kepada pemerhatian nikmat-nikmat tersebut.

Riwayat dari Ibn Abi Dunya dari Salman al-Farisi, berkata: Sesungguhnya seorang lelaki telah dilimpahkan untuknya kemewahan hidup dunia. Tiba-tiba apa yang dimilikinya dicabut daripadanya. Lalu dia memuji dan memuja Allah SWT sehingga dia tidak mempunyai apa-apa hamparan melainkan sehelai tikar. Namun dia tetap memuji dan memuja Allah. Seorang lelaki lain pula telah dilimpahkan untuknya kesenangan dunia. Lalu dia bertanya kepada pemilik tikar itu: “Beritahu kepadaku, kenapa kamu tetap memuji Allah? Dia menjawab: Saya memuji Allah atas sesuatu yang jika saya diberikan sebagai gantinya segala apa yang diberikan kepada manusia, saya tidak akan memberikannya kepada mereka.” Lelaki itu bertanya: “Apakah ia?” Dia menjawab: “Tidakkah kamu melihat penglihatan kamu? Tidakkah kamu melihat lidah kamu? Tidakkah kamu melihat dua tangan kamu? Tidakkah kamu melihat dua kaki kamu? (Jami’ Ulum wal-Hikam)

4. Nikmat iman adalah sebesar-besar nikmat
Al-Qadi Ibn Arabi berkata: Ramai orang berselisih tentang nikmat Allah yang paling utama kepada hamba. Ada yang mengatakan: iman. Ada yang mengatakan: hidup. Ada yang mengatakan: Kesihatan. Nikmat yang pertama adalah yang utama kerana ia nikmat yang mutlak. Manakala nikmat hidup dan sihat, hanya nikmat dunia. Ia hanya menjadi nikmat yang hakiki sekiranya disertai dengan iman. Nikmat hidup dan kesihatan memperdaya ramai manusia, iaitu menghilangkan keuntungan atau mengurangkannya”. (Fath al-Bari: 11/230-231)

Allah swt ketika menundukkan alam untuk kepentingan kita dengan langit dan bumi serta apa yang anda antara keduanya, dan ketika menyempurnakan untuk kita nikmat-Nya lahir dan batin yang tidak dapat dihitung dan dikira di mana ianya bertujuan supaya kita berserah diri kepadaNya. Di dalam surah An-Nahl yang dinamakan surah Nikmat lantaran banyak ayat yang menerangkan tentang nikmat-nikmat yang dikurniakan kepada hambaNya dan sebab nikmat itu diberikan. Firman Allah:

“Demikianlah Allah menyempurnakan nikmat-Nya atasmu agar kamu berserah diri (kepada-Nya). (An-Nahl: 81)

Di dalam surah yang sama Allah mengingatkan orang-orang yang engkar dan menolak dari bersyukur di atas nikmat-nikmat yang banyak. Firman Allah:

“53. Dan apa saja nikmat yang ada pada kamu, Maka dari Allah-lah (datangnya), dan bila kamu ditimpa oleh kemudharatan, Maka Hanya kepada-Nya-lah kamu meminta pertolongan.54. Kemudian apabila dia Telah menghilangkan kemudharatan itu dari pada kamu, tiba-tiba sebahagian dari pada kamu mempersekutukan Tuhannya dengan (yang lain),55. Biarlah mereka mengingkari nikmat yang Telah kami berikan kepada mereka; Maka bersenang-senanglah kamu. kelak kamu akan mengetahui (akibatnya). (An-Nahl: 53-55)

5. Bersyukur di atas nikmat dengan beramal soleh
Kalau nikmat dunia yang dikurniakan Allah kepada kita banyak, pendahuluannya ialah kesihatan badan dan anggota, maka wajib bagi muslim untuk bersyukur kepada Allah dengan beramal soleh. Namun kalau tidak berkemampuan melakukannya memadai dengan menahan perkara yang keji menimpa manusia. Ini berdasarkan petunjuk dari Rasul saw.

Dari Abu Hurairah r.a, katanya: Rasulullah saw bersabda:
“Setiap tulang manusia perlu ada sedekah untuknya setiap hari yang matahari terbit padanya. Kamu berlaku adil antara dua orang yang berkelahi adalah sedekah. Kamu menolong seorang lelaki mengawal tunggangannya, lalu kamu menolong menaiki haiwan itu atau kamu mengangkat barang-barangnya ke atas haiwan itu adalah sedekah, kata-kata yang baik adalah sedekah. Setiap langkah yang berjalan ke tempat solat adalah sedekah. Kamu membuang sesuatu yang menyakiti manusia dari jalan juga adalah sedekah”. (Bukhari dan Muslim)

Daripada Abdullah bin Umar r.a berkata: Rasulullah telah memegang dua bahuku sambil bersabda: “Jadilah kamu di dunia seolah-olah kamu seorang dagang (bermusafir) atau melalui satu jalan menuju ke satu tempat”. Ibn Umar berkata: “apabila kamu di waktu petang, janganlah tunggu ke waktu pagi, apabila kamu di waktu pagi, janganlah kamu menunggu ke waktu petang. Ambillah peluang semasa kamu sihat sebelum sakit dan semasa kamu hidup sebelum mati”. (Bukhari)

6. Sedekah pada waktu sihat lebih afdhal
Bersedekah semasa dalam keadaan sihat ialah antara amalan yang disukai Rasulullah. Dari Abu Hurairah r.a, berkata:

“Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah saw: “Ya Rasulullah, apakah sedekah yang paling afdhal? Lalu dijawab: “Kamu bersedekah ketika sihat bertenaga, ketika kamu mengingini menjadi kaya dan takut menjadi miskin, Kamu menangguh-nangguh hingga sampai ke halkum. Kamu katakan: kepada fulan sekian, kepada fulan sekian”. (Fath al-Bari: 5/373/2748)

Sabda nabi: “Ketika kamu sihat bertenaga”, kerana pada waktu sihat kebiasaan susah untuk mengeluarkan harta, di mana syaitan menimbulkan perasaan bimbang dan membayangkan tentang umur yang panjang dan keperluan kepada harta seperti firman Allah:

“Syaitan menjanjikan (menakut-nakuti) kamu dengan kemiskinan”. (Al-Baqarah: 268)

Menurut setengah ulamak salaf tentang segelintir mereka yang memiliki kemewahan: Mereka melakukan maksiat kepada Allah tentang harta mereka sebanyak dua kali: Mereka bakhil untuk bersedekah sedangkan harta mereka ada di sisi mereka, iaitu di dalam hidup mereka, membelanjakan dengan boros apabilan telah hilang dari sisi mereka, iaitu selepas kematiannya. (Fath al-bari dan Syarah Muslim oleh Nawawi)

7. Bersyukur dengan kata-kata
Kadang-kadang seorang muslim merasa berat untuk bersyukur dengan perbuatan, bahkan dia tidak berupaya melakukannya. Oleh yang demikian, dia boleh menyempurnakan tuntutan syukur dengan pujian kepada Allah (al-hamdulillah).

Sulaiman at-Taimi berkata: Allah telah mengurniakan nikmat ke atas hambanya berdasarkan ketentuanNya dan memberi tugas bersyukur kepada mereka berdasarkan kemampuan mereka sehingga Allah meredhai kesyukuran dari mereka dengan hati mereka mengiktiraf nikmat Allah dan lidah mereka menyebut al-hamdulillah. Daripada Abdullah bin Ghanam, dari nabi saw. Baginda bersabda:

“Sesiapa yang berkata pada waktu paginya: اللهم ما أصبح بي من نعمةٍ أو بأحدٍ من خلقك، فمنك وحدك لا شريك لك، فلك الحمد ولك الشكر , maka dia telah bersyukur pada hari itu. Sesiapa yang berkata demikian pada waktu petang, maka dia telah bersyukur pada waktu malamnya”. (Abu Daud 5073)

8. Nikmat keselamatan dan keamanan
Di antara nikmat Allah kepada hamba ialah nikmat keamanan di dalam rumah dan dalam sebuah negeri yang mana apabilan disatukan dengan nikmat kesihatan, maka seolah-olah menghimpunkan dunia dan segala isinya.

Daripada Salamah bin Ubaidullah bin Mahsan al-Ansori, dari bapanya, berkata.; Rasulullah saw telah bersabda: Dia memiliki kekuatan pada hari itu, seolah-olah menghimpunkan dunia untuknya bagi orang yang sihat pada anggota tubuhnya dan berasa selamat (tanpa bimbang terhadap diri dan keluarga)”. (Tuhfatul Ahwazi: 7/11/2449 dan Ibn Majah: 2/1387/4141)

Mereka dikurniakan nikmat keamanan di dalam diri, rumah dan negeri mereka, maka mereka hendaklah menegakkan syariat Allah di dalam diri, rumah dan negeri mereka, nescaya mereka akan ditambahkan keamanan dan keimanan. Ini berdasarkan petujuk dari al-Quran di dalam firman Allah:

“Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan Pemilik rumah Ini (Ka’bah). Yang Telah memberi makanan kepada mereka untuk menghilangkan lapar dan mengamankan mereka dari ketakutan”. (Quraisy: 3-4)

9. Syukur yang wajib dan syukur yang sunat
Bersyukur di atas nikmat Allah ada dua derjat:
Syukur yang wajib, iaitu melakukan perkara-perkara yang diwajibkan dan menjauhi perkara yang diharamkan. Hal ini mestilah dilaksanakan. Memadai mensyukuri nikmat-nikmat ini dengan melaksanakan seperti yang disarankan oleh nabi saw: “Seandainya kamu tidak mampu melaksanakan, maka memadai kamu menahan diri daripada keburukan”. Tidak akan tercapai bagi seorang muslim itu menahan diri dari keburukan melainkan jika di atelah melaksanakan perkara-perkara fardu dan menjauhi perkara-perkara haram kerana keburukan yang paling besar ialah meninggalkan perkara fardu. Dari sini setengah ualamak salaf mengatakan: Bersyukur itu ialah meninggalkan maksiat.

Syukur yang sunat, iaitu seorang hamba itu melakukan perkara sunat selepas melaksanakan ibadah fardu dan menjauhi perkara yang haram. Inilah derjat “para sabiqin dan muqarrabin” seperti yang dinyatakan nabi saw dalam hadith yang lalu. Begitu juga nabi saw bersungguh-sungguh di dalam solat, bangun dan mendirikan solat malam sehingga pecah tapak kakinya. Ada sahabat yang bertanya: Bukankah tuan telah diampunkan dosa yang terdahulu dan yang akan datang? Lalu nabi menjawab: “Bukankah aku termasuk dalam hamba yang bersyukur?”. (Bukhari dan Muslim. Dipetik dari Jami’ Ulum wa al-Hikam)

10. Nikmat kelapangan masa
Di antara nikmaat yang ramai orang lupa, yang tidak mengetahui kadarnya dan tidak melaksanakan hak syukur yang sebenarnya ialah nikmat kelapangan masa. Maksud kelapangan masa ialah tidak sibuk dan penuh urusan duniawi yang menghalang seseorang dari sibuk dengan urusan akhirat. Setengah para salihin pernah mengungkapkan: Kelapangan masa dari kesibukan merupakan nikmat yang besar. Apabila seorang hamba mengengkari nikmat ini akan membuka pintu hawa nafsu ke atas jiwanya dan memberi peluang memimpin syahwatnya serta menimbulkan was was di dalam hatinya .

Sesungguhnya seorang muslim yang mempunyai iman yang sebenar hanya melihat pada dua keadaan: Berusa untuk kehidupan dunia atau menambahkan bekalan untuk akhirat.

Seorang muslim apabila mengharapkan kurniaan Allah sebenarnya ia sebagai pertolongan untuknya bagi mendapatkan akhirat berdasarkan firman Allah:

“Dan carilah pada apa yang Telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah Telah berbuat baik, kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerusakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerusakan”. (al-Qashash: 77)

Di antara ciri seorang muslim ialah merebut peluang semasa memiliki kelapangan masa sebelum sibuk dan kesihatan sebelum sakit berdasarkan sabda nabi saw.

Dari Ibn Abbas r.a, bahawa nabi saw telah bersabda kepada seorang lelaki sebagai memberi nasihat untuknya: “Rebutlah lima perkara sebelum dating lima perkara; masa mudamu sebelum tua, sihatmu sebelum sakit, kayamu sebelum miskin, masa lapangmu sebelum sibuk dan hidupmu sebelum mati”. (Bukhari)

.gempak.org/forum/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Anda Berkenan .

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...