“Wanita-wanita yang keji adalah untuk lelaki-lelaki yang keji, dan lelaki-lelaki yang keji adalah untuk wanita-wanita yang keji. Dan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik…..”
Dengan ini ramai di antara kita
menggunakan ayat ini untuk menyatakan tentang hal-hal berkaitan jodoh.
Tetapi ada sesetengah di antara kita kurang jelas dengan maksud ayat ini
kerana pada pandangan mereka, ramai pasangan yang mereka temui tidak
selalunya demikian. Ada lelaki yang baik tetapi berkahwin dengan
perempuan yang derhaka. Ada juga perempuan yang baik tetapi si suami
begitu zalim.
Untuk menjelas hal ini kita perlu
memahami maksud sebenar ayat di atas. Ayat itu perlu dibaca sampai
habis. Kita perlu tahu bahawa ayat di atas sebenarnya diturunkan
bersempena peristiwa ‘Al-Ifki’, iaitu ketika Sayyidatina Aisyah
r.a difitnah oleh puak-puak munafik di Madinah bahawa beliau telah
melakukan perbuatan curang dengan seorang sahabat yang baik bernama
Sofwan bin Mu’attol.
Allah s.w.t. mempertahankan kesucian
Aisyah r.a. dengan menegaskan bahawa jika benar-benar Aisyah itu jahat,
beliau tidak akan didampingi orang yang baik-baik seperti Nabi Muhammad
s.a.w. sendiri. Bahkan Rasulullah amat menyayangi Aisyah.
Pengajaran yang kita dapat ambil dari
ayat ini adalah hubungan baik seseorang itu bergantung kepada sikapnya
sendiri. Jika dia seorang yang baik, mustahil dia akan bergaul dengan
orang yang jahat dan begitulah sebaliknya. Seperti juga hubungan suami
isteri. Wanita yang baik tidak akan bersama dengan suami yang jahat.
Seandainya mereka telah dijodohkan bersama, mereka tetap tidak akan
dapat bersatu. Sebab itu dalam Islam sendiri perceraian adalah perkara
yang halal. Bukan haram. Meskipun begitu, ia adalah perkara halal yang
paling dibenci oleh Allah.
Ini bukan bermaksud kita tidak boleh
mengambil jalan terakhir untuk bercerai, tetapi seandainya kita boleh
berusaha mengubah pasangan menjadi lebih baik, bersabar dan bertawakkal
kepada Allah, maka hendaklah kita berusaha terlebih dahulu. Namun jika
tidak mampu berbuat apa-apa lagi kerana sifat isteri yang sering derhaka
atau suami yang terlalu zalim, maka bercerai adalah langkah yang jauh
lebih baik dari membiarkan diri terseksa dan rumah
tangga yang dipenuhi kemurkaan. Kerana tidak mungkin seorang yang baik
itu akan bersama dengan seorang yang jahat. Inilah maksud yang kita
perlu fahami.
Selain itu kita juga perlu jelas bahawa
orang yang baik-baik jarang sekali mengaku dirinya baik. Memang kita
semua akui bahawa kita mahu mencari yang terbaik sebagai pasangan hidup
kita. Namun sekiranya kita adalah seorang yang berilmu, kita tidak
seharusnya memandang hina pada orang yang kurang bernasib baik seperti
kita. Jika kita manusia yang alim, maka membimbing dan mentarbiah
pasangan adalah tanggungjawab kita.
Saya hairan dengan sesetengah sikap
manusia yang merasakan dirinya baik, punyai keluarga yang beragama
tetapi memandang hina insan lain. Bagi mereka orang-orang yang tidak
berlatarbelakang agama dan hidup dengan penuh sosial itu begitu hina dan
tidak layak untuk mendampingi mereka. Perkara ini benar jika
orang-orang itu tidak mahu berubah ke arah kebaikan dan ingin mengheret
kita ke jalan maksiat. Tetapi tidak jika mereka mahu berubah, mereka
ingin belajar tentang Islam dan ingin kembali kepada Allah. Mereka perlu diberi peluang untuk bersama kita menghayati keindahan Islam.
Namun sikap sesetengah manusia yang
merasakan dirinya alim ini begitu mementingkan diri sendiri. Mereka
mengabaikan manusia-manusia yang tidak bernasib baik. Ada yang
menjauhkan diri dari mereka, malah tidak kurang juga yang menghina.
Tidak hairanlah diakhirat esok terdapat 3 golongan
yang apabila mereka dicampakkan ke dalam neraka, ahli neraka sendiri
akan merasa hairan. Kerana 3 golongan ini kelihatan begitu alim sewaktu
hidupnya tetapi siapa tahu, hatinya kotor!
Untuk mendapatkan yang terbaik, biarlah
kita sendiri yang mengubah sikap menjadi yang terbaik. Sesiapa sahaja
yang kita dampingi, samada baik atau jahat, kita mungkin tidak akan
tahu. Elakkan diri dari memilih orang yang tidak sepatutnya namun
elakkan juga dari bersangka buruk dan menghina orang lain. Kita
diberikan akal untuk berfikir, maka buatlah pilihan yang baik.
Harus diingat, wanita semulia Asiah
sendiri dijodohkan dengan Firaun yang begitu zalim. Seandainya kita ini
sebaik dan semulia Asiah, kita juga masih belum layak untuk mengakui
bahawa kita hanya layak menerima pasangan yang baik. Namun sebagai hamba
yang disayangi-Nya, Allah tidak akan sesekali menzalimi kita.
Sebaik atau sejahat manapun pasangan
yang kita terima setakat ini, itulah yang terbaik buat kita. Allah tidak
pernah salah dalam aturannya. Namun untuk mencari yang lebih baik,
Islam telah memberikan garis panduan yang jelas dalam ajarannya. Kita
hanya perlu belajar dan mula mengamalkannya.
wanwma.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan