Ada lebih 100 penyakit yang memudaratkan kesihatan hati tetapi
penyakit hati yang lazim berlaku ialah penyakit hati berlemak tanpa
alkohol (Non-Alcoholic Fatty Liver Disease atau NAFLD).
NAFLD terjadi akibat pengumpulan lebihan lemak yang bukan disebabkan
oleh pengambilan alkohol. Ia disebabkan punca lain seperti obes,
gangguan insulin dan diabetes.
Dianggarkan lebih 30 peratus orang dewasa di negara maju menghidap
NAFLD dan antara 70 peratus hingga 90 peratus daripada mereka yang obes
atau menghidapi diabetes berdepan masalah NAFLD.
Di Malaysia, dianggarkan sebanyak 17 peratus individu dewasa
mengalami penyakit ini dan angka ini dijangka meningkat berikutan gaya
hidup dan amalan pemakanan tidak sihat dalam kalangan rakyat.
Adalah sesuatu yang normal untuk hati mengandungi sedikit lemak.
Namun, anda boleh tergolong sebagai pesakit hati berlemak jika jumlah
lemak pada hati melebihi lima peratus daripada berat keseluruhan organ
berkenaan.
Penyakit hati berlemak tanpa alkohol (NAFLD) mungkin bukan penyakit
biasa yang didengar oleh kebanyakan orang, namun penyakit ini semakin
menjadi kebimbangan di seluruh dunia dalam hal berkaitan kesihatan.
NAFLD ialah sejenis gangguan hati kronik yang utama dan kebanyakannya
berlaku di negara perindustrian seperti Amerika Utara, Eropah dan
Australasia, malah NAFLD juga didapati semakin meningkat pada kadar
membimbangkan di kawasan Asia Pasifik.
Kajian menunjukkan kadar tersebar luas menjangkau 30 peratus di
Taiwan dan Jepun serta 20 peratus di China, terutama dalam kalangan
mereka yang berusia 50 tahun ke atas.
Di Malaysia pula, NAFLD membabitkan sebanyak 60 peratus populasi
rakyat obes termasuk mereka yang mempunyai kekurangan tolerans glukosa.
Presiden Yayasan Hepar Malaysia, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican
berkata, ketika ini kesedaran di Malaysia mengenai NAFLD serta bahaya
penyakit itu masih rendah.
"NAFLD boleh wujud bertahun-tahun tanpa dikesan hingga pemeriksaan
rutin dijalankan. Pada tahap itu, penyakit berkenaan mungkin kian
mudarat ke peringkat seterusnya seperti pembentukan parut pada hati
(sirosis) atau lebih teruk lagi.
"Peningkatan kesedaran mengenai NAFLD adalah penting selain
penyemaian pendekatan lebih proaktif ke arah menangani NAFLD yang lebih
baik," katanya pada tutorial media mengenai NAFLD yang dianjurkan
Yayasan Hepar Malaysia dengan kerjasama Sanofi Malaysia di Petaling
Jaya, Selangor baru-baru ini.
Secara umum, NAFLD ditafsirkan sebagai merangkumi penyakit hati tanpa
sejarah pengambilan alkohol yang serius. Penyakit hati ini termasuk
fibrosis dan Steatosis Bukan Alkoholik (NASH, rentetan kepada NAFLD yang
boleh membawa kepada sirosis), kegagalan hati dan kanser hati.
Penyakit ini tidak membezakan sesiapa, jadi semua individu berisiko
mendapat hati berlemak. Walaupun penyebab sebenar belum dikenal pasti,
penyakit ini banyak dikaitkan dengan masalah obesiti, kencing manis
melitus jenis 2 dan sindrom metabolik (MS).
Dalam kebanyakan kes, NAFLD tidak menyebabkan berlaku apa-apa tanda
atau gejala hinggalah mencapai tahap lebih malignan yang menyukarkan
diagnosis.
Setakat ini, biopsi hati kekal sebagai cara utama dalam menentukan
penyakit, manakala kaedah diagnosis lain yang biasa digunakan termasuk
Tomografi Berkomputer (CT scan), Pengimejan Resonans Magnetik (MRI),
ultrasonografi (US) serta penggabungan teknik.
Mengulas cara NAFLD ditangani di Malaysia pada waktu ini, Ketua
Pegawai Eksekutif Yayasan Hepar Malaysia, Prof Dr Nor Shahidah
Khairullah berkata, disebabkan kaitannya yang sangat rapat dengan
obesiti dan Diabetes Mellitus Jenis 2, amalan gaya hidup sihat kekal
sebagai cara paling baik dalam menangani NAFLD.
"Pesakit dinasihatkan supaya mengamalkan tabiat pemakanan lebih
sihat, lebih aktif secara fizikal dan mengurangkan berat badan
berlebihan.
"Pun begitu, bagi perubahan ketara yang berlaku, semua pihak sama ada
kerajaan dan pesakit itu sendiri harus memainkan peranan lebih besar
dalam mengatasi NAFLD yang kian meningkat di Malaysia.
"Jururawat juga harus bekerja di samping doktor bagi memastikan
pesakit konsisten dengan pelan rawatan serta membantu mereka dalam apa
jua masalah yang mungkin dihadapi berkenaan penyakit itu," katanya.
Jelasnya, dalam sesetengah kes, beberapa diet tambahan boleh membantu
mengurangkan kemak hati. Bagaimanapun, kajian masih dijalankan untuk
menentukan kepentingannya dalam rawatan NAFLD.
"Setakat ini terapi ubatan yang terbukti masih belum ada, namun
kajian awal menunjukkan Fosfolipid Penting (EPL) mempamerkan
keberkesanan tinggi dalam menangani hati berlemak.
"Fosfolipid dikenali sebagai unit asas dalam binaan membran sel hati yang menyokong fungsi utama organ itu," katanya.
Sebuah kajian perbandingan turut menunjukkan EPL mempunyai kadar
penyerapan yang sangat bagus iaitu lebih 90 peratus jika dibandingkan
dengan tisel susu yang hanya berkadar 23 hingga 47 peratus.
Kadar penyerapan yang tinggi ini menyumbang kepada keberkesanan EPL
dalam membran sel serta meresap ke dalam sel untuk memberikan kesan
pemulihan.
Tanda atau gejala:
Kebanyakan pesakit yang menghidap hati berlemak tidak mempunyai apa-apa tanda. Namun berikut adalah gejala yang boleh didapati:
- Letih
- Kurang selesa pada bahagian abdome -di rusuk kanan
- Pembesaran hati (hepatomegaly)
- Ujian darah fungsi hati (Liver Function Test) yang tidak normal
(alanine amino transaminase atau ALT dan aspartate transaminase atau
AST) Kebanyakan pesakit dikesan melalui cara ini.
Biasanya pesakit yang mempunyai risiko untuk menghidap hati berlemak
(seperti obesiti dan diabetes) akan dikesan mempunyai keganjilan pada
ujian darah fungsi hati atau kadar ALT atau AST yang tinggi.
Seterusnya ujian skan abdomen akan mengesahkan kewujudan hati
berlemak. Namun pada sesetengah pesakit, biopsi hati mungkin dijalankan
untuk memastikan kewujudan penyakit itu dan tahap penyakit berkenaan.
Komplikasi
Pesakit yang menghidap penyakit hati berlemak pada jangka panjang
boleh mendapat sirosis seperti pesakit sakit hati kronik yang lain.
Pesakit yang menghidap sirosis boleh mendapat gejala ascites
(pengumpulan cecair di abdomen), muntah darah disebabkan oleh pendarahan
salur varices di salur pemakanan dan juga hepatik enkephalopathi (koma
disebabkan oleh kegagalan fungsi hati).
Pesakit yang menghidap sirosis juga berisiko tinggi untuk mendapat
kanser hati atau hepatoma. Pesakit yang menghidap penyakit yang
mempunyai risiko untuk hati berlemak seperti diabetes, darah tinggi dan
dyslipidemia hendaklah menjalani rawatan susulan yang berterusan dengan
doktor masing-masing kerana ia adalah penyakit yang tidak mempunyai
tanda yang ketara pada peringkat awal.
Pencegahan awal akan dapat mengelakkan pesakit mendapat sirosis dan seterusnya mengalami komplikasi yang disenaraikan di atas.
Pencegahan
Amalan gaya hidup sihat penting bagi mengelak penyakit hati berlemak.
Tabiat pemakanan yang seimbang adalah penting bagi mengelakkan masalah
obesiti dan konsultasi pakar diet atau pemakanan boleh membantu.
metro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan