Sumber : Google |
Kebenaran itu satu perkara yang baik
namun kadang kala menyakitkan. Bukan semua manusia boleh menerima kebenaran
kerana sifat kebenaran yang kadang kala menyakitkan itu tadi. Sungguh pun
kebenaran itu boleh muncul di hadapan mata kita namun kadang kala kita cuba menafikannya
atau kita tidak berjaya melihatnya kerana sebab sebab tertentu yang hanya
diketahui oleh diri kita sahaja.
Seperti
yang saya sebutkan di atas,
bukan semua manusia boleh menerima kebenaran dan boleh melihat kebenaran
yang
sebenarnya. Hanya manusia yang diterangi dengan cahaya keimanan yang
jitu sahaja mampu melihat dan menerima kebenaran dengan tabah dan redha.
Selebihnya,
ada di antara kita yang sukar untuk melihat dan menerima kebenaran tadi
kerana
sebab sebab tertentu termasuklah diri saya sendiri.
Suka saya mengupas tentang sebab
sebab manusia yang sukar melihat dan menerima kebenaran itu. Mungkin manusia yang
sukar melihat dan menerima kebenaran tersebut terlalu taksub dan percaya dengan
pegangannya. Mungkin juga kerana dia menerima imbuhan imbuhan tertentu sehingga
dia tega menolak kebenaran. Mungkin juga kerana dendam kesumat dan perasaan
benci yang terlalu pekat di dalam sanubari terhadap seseorang dan mungkin juga kerana
mereka kurang diterangi cahaya keimanan.
Sebab sebab di atas adalah mungkin
menjadi faktor seseorang manusia itu sukar melihat dan menerima kebenaran
walaupun kebenaran itu tertegak di hadapan matanya. Walaubagaimanapun,
kebenaran yang muncul itu mestilah bersandar pada Al Quran dan As Sunnah. Jika
kebenaran itu sudah tidak lagi berada dalam lingkungan Al Quran dan As Sunnah
serta berlandaskan kepada logik akal manusia semata mata, kebenaran itu saya
sifatkan sudah tidak relevan lagi. Jangan terkejut apabila kita mengetahui
kebenaran itu bukanlah kebenaran yang sebenarnya tetapi kebenaran yang dimomok
momokkan sebagai kebenaran, berlandaskan kepada logik akal semata mata dan
jelas bercanggah dengan Al Quran dan As Sunnah.
Dalam Islam, logik akal memang
diterima tetapi mestilah bersandarkan kepada Al Quran dan As Sunnah serta
bersandarkan kepada Ijmak dan Qias ulamak. Jika logik akal bercanggah dengan
empat perkara asas dalam Islam itu tadi, logik akal itu perlu ditolak dengan
kadar segera. Sebagai contoh, ramai orang beranggapan bahawa teori yang
mengatakan manusia berasal daripada monyet yang dicetuskan oleh Charles Robert
Darwin suatu ketika dahulu adalah benar namun apabila teori tersebut bercanggah
dengan Al Quran dan As Sunnah, teori itu perlu diketepikan dengan serta merta.
Oleh sebab itulah, saya menganjurkan
agar kebenaran perlu dilihat dengan akal dan mata hati dan bukannya mata kasar.
Mata kasar ini memang bersifat ilusi semata mata. Cantik di mata kita tidak
semestinya cantik pada pandangan agama. Sebagai contoh, memang kita akan
kelihatan cantik jika kita memakai pakaian yang seksi tetapi adakah memakai
pakaian yang seksi tadi diterima oleh agama kita?
Oleh itu, kebenaran tidak boleh
dipandang dengan mata kasar dan tidak boleh diterjemahkan dengan logik akal
semata mata. Kebenaran mesti dipandang dengan mata hati, disulami dengan akal,
dan berpandukan kepada Al Quran dan As Sunnah. Barulah kita dapat melihat
kebenaran yang sebenar dan Insha Allah… kita pasti boleh menerima kebenaran
tersebut.
Kebenaran itu memang pahit, perit dan
kadang kala menyakitkan. Ada juga kebenaran yang sungguh membahagiakan tetapi
bergantung kepada keadaan yang kita hadapi. Saya yakin kita pasti suka dengan
kebenaran yang membahagiakan tetapi kita juga tidak boleh sama sekali menolak
kebenaran yang menyakitkan.
Contoh kebenaran yang menyakitkan
adalah kita sangat sayang akan anak kita. Kita menjaganya umpama menatang
minyak yang penuh. Dihadapan kita dia memang kelihatan baik namun di belakang
kita dialah hantu segala hantu yang wujud di muka bumi ini. Pelbagai kenakalan
yang telah dia lakukan. Kita tidak tahu akan kenakalan anak kita itu
sehinggalah ada pihak yang memberitahu kita dan dapat membuktikan kepada kita.
Itulah satu kebenaran yang pahit dan menyakitkan tetapi kita perlu terima
kerana penerimaan kita itu pasti akan menyusul satu tindakan yang betul dari diri
kita sendiri untuk mengubah diri anak kita tadi.
Oleh itu, sukalah saya mengingatkan
kepada anda semua supaya memandang kebenaran itu dengan mata hati dan akal yang
dikurniakan oleh Allah s.w.t. Kebenaran yang kita mahu lihat dan terima itu
tadi mestilah berlandaskan kepada Al Quran dan As Sunnah dan bukannya logik
akal semata mata. Jika kita dapat melihat dan menerima kebenaran, saya yakin
hidup manusia akan lebih harmoni dan bahagia.
sayapejuangbahasa.blogspot
Tiada ulasan:
Catat Ulasan