Hamparan karpet atau permaidani bukan sekadar mengelakkan tapak kaki kedinginan tatkala memijak lantai, malah menjadi elemen pelengkap dekorasi kediaman. Anda juga perlu mengambil kira beberapa cara memilih dan penjagaan karpet yang sesuai dengan ruang rumah. 
 
 
Pemilihan karpet
 
  • Jangan beli karpet warna sedondon dengan warna perabot, dinding dan langsir. Suasana akan nampak pelik. Dekorasi rumah akan kelihatan lebih menarik apabila warna karpet itu sejajar dan serasi dengan warna dinding. 
  • Bagi ruang tamu yang menempatkan set perabot warna gelap atau suram, permaidani warna terang serta kontra adalah pemilihan ideal.
  • Bagi bilik bersaiz kecil atau sempit, pilih permaidani berwarna cerah atau putih. Namun warna berkenaan tidak bersesuaian bagi keluarga yang memiliki anak kecil kerana karpet akan mudah comot.
  • Selain mengambil kira aspek keluasan ruang, konsep dekorasi rumah turut memainkan peranan penting dalam pemilihan karpet. Sebagai contoh, gaya hiasan ala Bali atau etnik sesuai dipadankan dengan ambal yang diperbuat daripada rotan atau buluh. Jika memilih seni hiasan konsep tradisional Melayu atau Asia Barat, maka permaidani motif kerawang dan flora buatan Mesir, Iran atau Turki merupakan pilihan yang bijak. Bagi dekorasi urban, pilih saja karpet jenis shaggy yang bak bulu kucing dan semakin popular. 
  • Beli karpet bermutu, terbaik dan ideal setimpal dengan wang ringgit yang dilaburkan. 
  • Sebelum membeli karpet, anda perlu mengukur keluasan ruang konsep dekorasi dan warna cat dinding. 
 
 
Penjagaan karpet
  • Gulung atau hamparkan kain bersih di atas permaidani setiap kali hendak masuk tidur atau sewaktu hendak meninggalkan rumah. Ia bagi menjaga kebersihan permukaan permaidani yang mudah memerangkap habuk.
  • Guna vakum setiap kali ada debu dan kotoran kecil. Ia bagi menyedut noda atau tompok pada permukaan karpet. 
  • Untuk mencegah pembiakan hama pada bulu permaidani, jemur permaidani di bawah panas terik matahari beberapa jam sekurang-kurangnya dua bulan sekali. 
  • Gunting hujung benang yang terkeluar jika terdapat jahitan benang atau bulu permaidani yang tercabut. Jangan ditarik kerana ini boleh menyebabkan keseluruhan benang tanggal.
  • Penjagaan lebih teliti perlu diberi untuk permaidani yang mahal dan berkualiti. Pastikan permaidani dibersihkan dan dikeringkan sebelum digulung dan dibalut dengan kertas warna coklat untuk disimpan. Tutup bahagian hujung gulungan supaya tidak dimasuki habuk dan serangga. Simpan di tempat gelap dan berudara. 
  • Cara lebih selamat hantar ke dobi untuk cucian. Ada sabun khas yang digunakan untuk menghapuskan kuman dan bakteria.
mingguan wanita