SHEIKH Yusuf Estes ialah
seorang cendekiawan terkenal yang tidak pernah jemu mengembangkan syiar
Islam ke seantero dunia serta mengedarkan bahan-bahan ceramah dalam
pelbagai medium kepada umat manusia.
Ikuti autobiografi penghijrahan akidah beliau dari seorang pengkhutbah Kristian kepada pendakwah Muslim yang aktif dan disegani.
Midwest, tempat kelahiran Yusuf Estes
Saya dilahirkan dalam sebuah keluarga yang berpegang kuat kepada agama Kristian di Midwest, Amerika Syarikat.
Hakikatnya, nenek moyang kami bukan sahaja membina gereja-gereja dan
sekolah-sekolah di Midwest ini tetapi keturunan kami juga merupakan
orang yang paling awal datang ke situ.
Semasa
di sekolah rendah, kami sekeluarga ditempatkan semula di Houston, Texas
pada 1949. Kami selalu menghadiri gereja dan saya telah dibaptiskan
pada usia 12 tahun di Pasadena, Texas.
Pada
zaman remaja, saya teringin melawat ke gereja-gereja lain untuk
mempelajari Baptist, Methodist, Episcopalian, Charismatic movement,
Nazarene, Church of Christ, Church of God, Church of God ini Christ,
Full Gospel, Agape, Chatolic, Presbyterian dan banyak lagi.
Namun,
pengkajian saya tidak terhenti kepada agama Kristian. Agama Hindu,
Yahudi, Buddha, Metaphysics dan kepercayaan tradisi orang Amerika turut
saya kaji. Sayangnya agama Islam tidak menjadi pilihan.
Bagaimanapun,
saya tertarik dengan perbezaan jenis muzik terutamanya Gospel dan
Klasikal. Memandangkan keluarga saya ramai yang kuat agamanya dan
muzikal, ia secara tidak langsung menjadikan dua bidang ini sebagai
pengajian permulaan. Semua ini membawa saya kepada jawatan Paderi Muzik
di beberapa gereja di mana saya menjadi ahli gabungan selama lebih
setahun. Saya mula mengajar keyboard pada 1960 dan sehingga 1963, saya
berjaya memiliki studio sendiri di Laurel, Maryland yang diberi nama
Estes Music Studios.
Muzik amat sinonim dengan institusi gereja
Sepanjang
30 tahun, saya dan bapa banyak bekerjasama mengendalikan pelbagai
program hiburan. Kami juga membuka kedai piano dan organ di Texas,
Oklahoma hingga ke Florida. Meskipun memperoleh kekayaan namun sukar
untuk mendapat ketenangan fikiran.
Persoalan
seperti; "Mengapa kita diciptakan Tuhan?", "Apakah yang Tuhan mahu kita
lakukan?", "Siapa Tuhan sebenarnya?" dan "Kenapa kita percaya dengan
dosa sebenar?" sering menghantui diri. Namun semua persoalan ini dibidas
keras malah menyuruh anda menerima tanpa mempersoalkannya atau itulah
'misteri' dan anda tidak perlu mempersoalkan hal itu.
Suatu
hari tahun 1991, saya terkejut apabila diberitahu bahawa orang Islam
mempercayai kitab Bible. Malah lebih memeranjatkan, mereka juga
mempercayai bahawa Nabi Isa itu utusan Allah, Rasul, dilahirkan luar
biasa tanpa berbapa, Nabi Isa akan kembali pada akhir zaman. Memang ia
sesuatu yang sukar dipercayai, apatah lagi fikiran saya tentang Islam
agak negatif.
"Prayer Tower" di Tulsa, Oklahoma
Ayah
saya sangat aktif menyokong kerja-kerja gereja, terutamanya dalam
program sekolah sehingga beliau ditahbiskan (dipersucikan) pada 1970.
Dia dan ibu tiri saya mengenali ramai mubaligh Kristian dan pendakwah
sehingga pernah membantu pembinaan "Prayer Tower" di Tulsa, Oklahoma. Mereka berdua juga terlibat mengedarkan kaset-kaset ceramah di rumah-rumah orang tua, hospital dan rumah pesara.
Namun
pada 1991, ayah mula berurusniaga dengan seorang lelaki dari Mesir dan
menyuruh saya menemui lelaki beragama Islam itu. Pada awalnya saya agak
keberatan apa lagi mengetahui bahawa mereka adalah pengganas, perampas,
penculik dan pengebom. Bukan itu sahaja, mereka juga bukannya
mempercayai Tuhan, yang mereka tahu hanya mencium tanah lima kali sehari
dan menyembah kotak hitam di tengah padang pasir.
Tidak!
saya tidak akan berjumpa dengannya. Berkali-kali juga ayah mendesak
dengan mengatakan dia seorang yang baik. Kerana tidak tahan dengan
permintaannya, akhirnya saya bersetuju dengan syarat; pada hari Ahad,
selepas ke gereja, membawa kitab Bible, seutas salib dan memakai kep
yang tertulis 'Nabi Isa adalah Raja'. Isteri dan dua anak perempuan saya
ikut serta dalam pertemuan itu.
Saya
terkejut kerana saya menantikan seorang yang bertubuh sasa dengan
jubah, serban, berjanggut paras dada dan bulu kening bercantum di dahi.
Tetapi lelaki ini jauh berbeza, tiada janggut dan kepalanya hampir
botak. Yang pasti, orangnya menyenangkan dan mesra. Semua ini jauh
daripada sangkaan awal saya. Pun begitu, matlamat saya pada masa itu
hanya satu iaitu, 'menyelamatkannya' .
Ketuhanan
Saya
banyak bertanyakan soalan kepadanya, terutamanya yang berkaitan dengan
ketuhanan dan perihal nabi-nabi. Dia banyak mengiyakan. Kami semakin
rancak berbual dan semenjak itu hubungan kami semakin rapat. Saya dapat
rasakan yang dia seorang yang baik, pendiam dan sedikit pemalu. Banyak
topik yang kami bualkan acap kali bertemu dan ada ketikanya saya cuba
selitkan beberapa mesej tentang agama kami.
Pada
suatu hari saya dapat tahu bahawa teman Islam saya, Mohamed terpaksa
berpindah dan tinggal sementara waktu di masjid. Kami bersetuju
menumpangkan Mohamed di rumah besar kami.
Pengenalan
pendek dengan seorang lelaki yang mengakui paderi Kristian yang telah
melakukan kerja-kerja mubaligh untuk gereja lebih 12 tahun di selatan
dan tengah Amerika Syarikat dan Mexico serta di New York membawanya
tinggal bersama kami dan Mohamed. Kami berbual tentang konsep
kepercayaan dalam agama Islam.
Mengejutkan
saya apabila diberitahu bahawa setiap paderi Katolik, mereka belajar
agama Islam dan ada di antaranya yang memiliki doktor falsafah dalam
subjek itu . Ini satu yang baru bagi saya.
Semenjak
itu kami sentiasa berbincang tentang agama masing-masing. Kami pernah
bertanyakan perubahan versi kitab masing-masing. Pernah sekali saya
bertanyakan kepada Mohamed sejak 1,400 tahun sudah ada berapa versi
al-Quran. Pendek jawapannya hanya ada satu iaitu al-Quran malah ia telah
dihafal oleh jutaan manusia. Bagi saya ini sesuatu yang mustahil.
Bagaimana kitab saya boleh berubah-ubah sedangkan al-Quran tetap
terpelihara.
Pada
suatu hari teman paderi saya bertanyakan Mohamed keinginannya untuk
mengikutnya ke masjid untuk mengetahui keadaan di sana. Sekembalinya
mereka, saya bertanya kepada paderi itu apa yang dilakukan oleh orang
Islam? Dia memberitahu, tidak ada apa yang dilakukan hanya sembahyang
dan pulang. Pelik, tidak ada ceramah ataupun nyanyian.
Beberapa
hari kemudian, sekali lagi paderi itu mahu mengikut Mohamed ke masjid.
Kali ini mereka pergi agak lama sehingga hari sudah gelap. Bila pulang
saya dapati, Peter (paderi) sudah melakukan syahadah. Saya terkejut dan
semalaman memikirkan hal itu, lalu menceritakan kepada isteri. Tambah
mengejutkan, apabila isteri saya juga menyuarakan hasratnya untuk
bergelar Muslim kerana mengakui kebenaran Islam.
Saya
terus memanggil Mohamed dan kami berbincang sepanjang malam sehingga
masuk waktu solat Subuh, Mohamad meminta izin untuk melaksanakan
kewajipannya. Pada detik itu, saya menyedari erti kebenaran dan sudah
tiba masanya untuk saya membuat pilihan yang bakal menyelamatkan saya
sama ada di dunia mahupun akhirat.
Saya
ke belakang rumah, ambil sekeping papan lapis dan di situlah saya sujud
mengadap kiblat. Saya meminta, kepada-Nya petunjuk dan bimbingan.
Selepas dari itu, saya benar-benar dapat merasakan perubahan di dalam
diri. Saya terus naik ke atas dan mandi dengan harapan ia akan
membersihkan dosa-dosa. Saya kini seorang yang baru dan berazam membina
kehidupan atas dasar kebenaran.
Pukul
11 pagi hari itu, saya mengucap syahadah bersama dua saksi iaitu
sebelum ini Father Peter Jacob dan Mohamed Abel Rehman. Kemudian diikuti
isteri dan beberapa bulan selepas itu, bapa pula melafazkan syahadah.
Anak-anak saya dipindahkan dari sekolah Kristian kepada sekolah Muslim.
Sepuluh tahun kemudian mereka berjaya menghafal al-Quran. Akhir sekali,
ibu tiri saya pula mengakui kebenaran Islam."
*Sumber dari zharifalimin.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan