Sumber artikel ini daripada Facebook Page Ustaz Iqbal Zain. Like page beliau untuk mendapatkan ilmu-ilmu yangsegar dan bermanfaat.
Dalam melahirkan generasi perjuangan yang mencintai Allah, bukan
semudah melafazkan akad nikah tatkala diijabkabul oleh tuan kadi. Dalam
melahirkan zuriat perjuangan, ianya bermula dari sebelum si ayah dan si
ibu diijabkabulkan.
Antara kaedah yang dilakukan oleh orang dizaman salafussoleh dalam
melahirkan zuriat perjuangan yang bakal menyambung lidah Rasulullah SAW
adalah seperti berikut :
1. Menjaga keturunan.
Firman Allah SWT :
“Jikalau ada penduduk kampung yang beriman dan bertaqwa, maka akan dibukakan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi” ( Al A’araf : 96 )
“Jikalau ada penduduk kampung yang beriman dan bertaqwa, maka akan dibukakan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi” ( Al A’araf : 96 )
Anak keturunan zina amat payah dididik untuk menerajui sesuatu
perjuangan. Sebab itu anak keturunan zina tidak ada yang menjadi Rasul,
Nabi atau pun waliyullah. Malah anak zina juga tidak berhak diwalikan
oleh lelaki yang menjadi benih kepada kelahirannya dan tidak berhak
menerima harta pesaka lelaki tersebut. Bukanlah bermakna kita ingin
menanamkan kebencian kepada keturunan zina. Tetapi begitulah hukum yang
termaktub dalam Islam.
Ini juga tidak bermakna orang yang berketurunan mujahid atau ulamak
mampu meneraju sesuatu perjuangan. Ini disebabkan iman itu bukan sesuatu
yang boleh di warisi dan dipesakai. Sejarah membuktikan, Sultan
Muhammad Al Fateh yang menjadi wira empayar Osmaniah dihina oleh
keturunannya sendiri yang juga berdarah Osmaniah. Sewaktu Itali menjajah
Libya, keturunan Turki Osmaniah melarikan diri dari medan jihad dan
berlindung dan hidup mewah dibawah panji Wahabi di Saudi meninggalkan
Gerakan Sanussi pimpinan Omar Mokhtar bersendirian menghadapi tentangan
tentera kafir musyrik Italy. Mereka melarikan diri ke tempat yang mampu
menjamin kehidupan dan kemewahan peribadi mereka. Ada juga keturunan
yang berhati dayus ini melarikan diri ke bumi Melayu.
Sejauhmana kelayakan sesuatu keturunan untuk meneraju perjuangan
ialah sejauh mana berkesan dan sistematiknya proses ta’alim dan tarbiyah
yang dilakukan ke atasnya oleh penjaga atau murabbinya. Sejarah juga
membuktikan bahawa keturunan yang baik andainya dididik dengan ta’lim
dan tarbiyah oleh para murabbi dengan betul mampu melahirkan manusia
yang hidup untuk syahid sebagaimana lahirnya Sultan Muhammad Al Fateh
dari benih Sultan Murad. Sebagaimana lahirnya Syeikh Abdul Kadir Jailani
dari percantuman benih Abu Saleh Janghidost dan Fatimah binti Abdullah
Saumi.
Maka dalam membentuk generasi perjuangan agama, maka pernikahan hendaklah dilakukan dengan mematuhi syariat.
2. Memilih Pasangan
Percantuman antara satu benih pokok yang baik dengan satu lagi benih
pokok yang baik akan menghasilkan pokok cantuman baka bermutu tinggi.
Begitulah juga dalam perjuangan. Percantuman benih dari satu keturunan
yang baik dengan satu lagi keturunan yang baik, akan melahirkan zuriat
keturunan yang lebih baik.
Rasulullah SAW telah memberi panduan untuk mencari pasangan yang baik
kepada lelaki yang baik iaitu dipilih atas dasar kecantikan, harta,
keturunan dan agama. Yang diutamakan ialah agamanya.
Nabi Muhammad SAW lahir dari percantuman benih Abdullah bin Abdul Mutallib yang amat mulia akhlaknya serta berwibawa dengan benih Aminah yang mulia dan terpelihara maruahnya. Nabi Ismail AS terhasil dari benih Nabi Ibrahim AS dengan Siti Hajar seorang wanita soleha yang mentaati suaminya dan sanggup berkorban agar ditinggalkan bersama bayinya di bumi gersang Mekah demi tunduk dan patuh kepada perintah Allah SWT.
Abu Salleh Janghidost yang berketurunan Imam Hassan ketika
bermusafir, telah termakan sebiji buah yang ditemuinya. Atas rasa
bersalah dan ingin minta dihalalkan dari pemilik buah tersebut. Abu
Salleh Janghidost sanggup menjadi pekerja kepada Abdullah Saumi yang
berketurunan Imam Hussin selama 12 tahun dan mengahwini anak gadis
Abdullah Saumi yang buta matanya, pekak telinganya, bisu lidahnya,
kudung tangan dan kakinya. Setelah diakad nikah, ternyata anak gadis
bernama Fatimah Binti Abdullah Saumi hanyalah buta dari penglihatan
maksiat, pekak dari pendengaran maksiat, bisu dari membicarakan maksiat
dan kudung tangan dan kaki dalam melakukan maksiat. Maka lahirlah Syeikh
Abdul Kadir Jailani yang menjadi Qutubul Auliya.
Sayyidina Umar Al Khattab sewaktu menjadi khalifah menjadikan
berjalan malam untuk melihat kondisi rakyatnya. Satu malam dia terdengar
dialog antara seorang ibu tua bersama anak gadisnya yang juga bernama
Fatimah. Fatimah dinikahkan dengan anak Saidina Omar Al Khattab yang
kerana Fatimah melarang ibunya mencampurkan air dalam susu untuk jualan
adalah menjadi satu kesalahan walau pun Khalifah Omar tidak melihatnya
kerana Allah masih melihat. Dari zuriat anak Saidina Omar dan Fatimah
ini maka lahir Omar Bin Abd Aziz, cicit kepada Saidina Omar Al Khattab.
3. Memasang Niat
Memasang niat untuk memperolehi anak yang beriman dan bertaqwa ketika
mula mendirikan rumahtangga dan disusul pada setiap kali berjimak.
Lakukan hubungan suami dan isteri dalam keadaan hati yang sentiasa
bertaqarrub kepada Allah SWT, bukan semata-mata untuk memuaskan hawa
nafsu. Jaga adab-adab berjimak terutama membaca doa jimak { Ya Allah, jauhkanlah kami dari syaitan dan hindarkanlah syaitan dalam apa yang engkau rezekikan kepada kami } agar terhindar dari campur tangan syaitan.
Niat untuk beroleh zuriat yang beriman dan bertaqwa boleh dikuatkan
dengan doa dan nazar. Niat yang disusuli dengan doa dan nazar memberi
pengaruh yang besar dan kuat dalam pembentukan jiwa dan roh zuriat yang
bakal dilahirkan. Firman Allah SWT :
Dan orang-orang yang berkata, “Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada
kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati kami,
dan jadikanlah kami imam bagi orang yang bertaqwa. ( Al Furqaan : 74 )
Nabi Zakaria AS berdoa kepada Allah agar dikurniakan anak yang mampu
menyambung perjuangannya. Allah nukilkan doa Nabi Zakaria AS dalam Al
Quran :
Ya Tuhan ku, berilah aku di sisi ENGKAU seorang anak yang baik. Sesungguhnya ENGKAU Maha Mendengar ( Al Imran : 38 )
( Ia Berkata ) “Ya Tuhan ku, sesungguhnya tulangku telah lemah
dan kepala ku dipenuhi uban, dan aku belum pernah kecewa dalam berdoa
kepada Engkau, Ya Tuhan ku. Dan sesungguhnya aku khuatir terhadap
mewaliku ( orang yang menyambung perjuangan) sepeninggalanku, sedangkan
isteri ku seorang yang mandul, amaka nugerahilah aku disisi Mu seorang
putera, yang akan mewarisi aku dan mewarisi sebahagian keluarga Yaakub
dab jadikanlah ia Ya Tuhanku seorang yang diredhai. ( Maryam : 4 – 6 )
Dan bernazarlah sebagaimana isteri Imran. Nazar ialah menunaikan
janji apa bila niat terkabul. Setelah nazarnya terkabul, maka isteri
Imran menyerahkan anaknya Maryam untuk berkhidmat untuk semata-mata
beribadah kepada Allah SWT.
Ingatlah ketika isteri Imran berkata ” Ya Tuhanku sesungguhnya
aku menazarkan kepada Engkau anak dalam kandunganku menjadi hamba yang
soleh dan berkhidmat 9 di Baitul Maqdis), kerana itu terimalah (nazar)
itu daripadaku. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar lagi Maha
Mengetahui”. ( Ali imran : 35 )
Inilah peranan Niat, doa dan nazar dalam membentuk jiwa perjuangan
zuriat yang bakal di lahirkan. Agar nantinya kelahiran zuriat itu
memberi manfaat kepada sekelian alam. Sabda Rasulullah SAW :
Sebaik-baik manusia ialah yang memberi manfaat kepada manusia yang lain.
Niat, doa dan nazar hendaklah dikekalkan setelah kelahiran zuriat, sebagaimana berdoanya Nabi Ibrahim AS
Dan ingatlah ketika Ibrahim berkata ” Ya Tuhanku jadikanlah negeri ini negeri yang aman, dan jauhkanlah aku dan cucu ku daripada menyembah berhala”. (Ibrahim : 35 )
“Ya Tuhanku jadikanlah aku dan anak cucuku orang-orang yang tetap mendirikan solat”. ( Ibrahim : 40)
Ternyata niat sambil disusuli doa dan nazar merupakan amalan orang
yang muqarrabin. Jika golongan muqarrabin pun berniat, berdoa dan
bernazar dalam melahirkan zuriat yang beriman dan bertaqwa, lebih-lebih
lagilah orang awam yang banyak dosa seperti kita, jika inginkan zuriat
yang beriman dan bertaqwa memang sewajarnya kita melakukan niat, berdoa
dan bernazar dengan sungguh-sungguh.
4. Memberi Ta’lim dan tarbiyah
Dalam menyambut kelahiran zuriat, sambil mengekalkan niat, doa dan nazar, usaha lahiriah perlu disusul.
a. Tarbiah di dalam kandungan
Pengalaman dan perasaan ibu perlu dikawal sewaktu hamil, kerana ianya
memberi pengaruh yang besar terhadap pembentukan sikap, akal dan jiwa
si anak. Ketenangan jiwa ibu yang sedang mengandung membantu pembentukan
ketenangan jiwa pada si anak. Bagaimana ingin mendapat ketenangan ?
Ialah dengan mengingati Allah SWT. Ingatilah Allah melalui zikir,
pembacaan Al Quran dan ibadah-ibadah sunat yang lain.
Kepatuhan Nabi Ismail AS untuk dikorbankan oleh Nabi Ibrahim AS lahir
dari ketabahan Siti Hajar yang sanggup ditinggalkan di bumi gersang
Mekah kerana perintah Allah SWT.
Begitu juga halnya dengan si bapa. Aktivitinya juga mempengaruhi
pembentukan jiwa anak di dalam kandungan. Watak yang ditonjolkan oleh
Muhammad Al Fateh adalah disebabkan pengaruh roh jihad dan roh sufi
ayahnya Sultan Murad. Maka lahirlah Sultan Muhammad Al Fateh yang
sewaktu berusia 13 tahun sudah merancang untuk menumbangkan Kota
Konstantinopel.
Malangnya, kini tidak ramai keturunan Turki Osmaniah yang mewarisi
roh jihad dan sufi Muhammad Al Fateh. Ada yang sehingga sanggup
mendayuskan diri menipu isteri tua untuk beristeri muda. Saya yakin
mereka ini tidak mempunyai hubungan keturunan dengan Muhammad Al Fateh.
Sebaliknya mereka ini mungkin keturunan hamba sahaya atau penjenayah di
era Turki Osmaniah, maka tidak hairanlah mereka ini bersifat bacul dan
dayus.
Proses tarbiah di dalam kandungan akan berterusan sehinggalah tempoh
kelahiran ke dunia nyata. Susah atau senang dalam kelahiran
menggambarkan peribadi yang dilahirkan. Aminah, ibunda kepada junjungan
besar SAW tidak pernah merasa kepayahan sewaktu melahirkan manusia
termulia ini. Begitu juga Maryam yang melahirkan Isa AS tidak merasa
kesukaran dan kepayahan sewaktu melahirkan. Begitu juga Khadijah yang
melahirkan fatimah Az Zahra.
b. Tarbiah di luar kandungan
Sabda Rasulullah SAW :
Awal-awal agama mengenal Allah
Tiap-tiap anak itu dilahirkan mengikut fitrah ( suci bersih ), maka
kedua ibu bapanyalah yang menjadikannya sama ada Yahudi, Nasrani atau
Majusi ( Bukhari dan Muslim )
Tunaikanlah hak ke atas bayi yang dilahirkan. Berikan nama yang baik.
Di aqiqahkan dan dididik dengan ayat-ayat Al Quran, selawat serta zikir
terutama sewaktu didodoikan. Ingatlah kata-kata bidalan bahawa tangan
yang menghayun buaian itu yang bakal menggemparkan dunia. Andainya
dodoian yang menjurus kepada ketaqwaan, maka anak itu nanti bakal
menggemparkan dunia sebagai mujahid sejati. Andainya dodoian yang
menjurus kepada kemungkaran, maka dunia akan digemparkan dengan maksiat
dan fasad yang dilakukan oleh anak itu.
Kawal alam persekitaran dan rakan-rakan anak-anak untuk membentuk
fizikal, akal dan jiwa anak-anak agar mencintai Allah dan Rasul melebihi
segalanya. Wujudkan alam sekiling mereka dengan suasana majlis ilmu,
muzakarah dan zikrullah. Susun program agar sentiasa berlangsung majlis
zikir, ta’alim dan muzakarah di rumah agar fizikal, akal dan jiwa anak
ini sebati dengan majlis di taman syurga. Walaupun anak-anak kurang
memahami, tetapi suasana yang wujud dapat mencorak pemikiran dan jiwa
anak-anak. Anak-anak yang tidak terdedah dan ditarbiyah dengan suasana
majlis ilmu, apabila dewasa akan biadap dan kurang ajar sewaktu majlis
ilmu berlangsung.
Hidangkan anak-anak dengan kisah-kisah orang dizaman salafussoleh.
Tonjolkan Rasulullah SAW dan para sahabat sebagai wira yang sebenar dan
bukannya watak-watak kartun ciptaan barat dan kuffar seperti ditayangkan
di media massa. Bentuk akal dan jiwanya dengan bercerita. Kerana
cerita-cerita tersebut akan meresap masuk ke dalam akal dan jiwa justeru
menjadi azam dan cita-cita si anak untuk menjadi seperti tokoh dan
watak utama dalam cerita tersebut.
5. Menjaga Makanan
Jagalah pemakanan anak-anak dari perkara yang haram, makruh mahupun
syubahah. Makanan yang haram menjadi hijab kepada hati. Makanan yang
makruh tempat kebencian Allah. Yang syubahah pula menghampiri perkara
yang haram. Ketiga-tiganya menjadi penghalang bagi hati untuk
bertaqarrub dan bermusyahadah kepada Allah SWT. Bila hati terhijab,
tidak ada tempat untuk iman bertapak.
Ibu Imam Syafie, pernah menjolok tekak anaknya kerana meminum susu
yang tidak diketahui dari mana sumbernya. Omar Al Khattab sewaktu
menjadi khalifah pernah merampas buah milik Baitul Mal dari tangan
anaknya yang kelaparan kerana merasakan sebagai seorang khalifah HARAM
bagi dirinya dan keluarganya mengambil hak rakyat. Abu Bakar memuntahkan
semula susu yang diminum kerana susu itu dibeli menggunakan wang zakat.
6. Menyerahkan Anak kepada Murabbi
Murabbi adalah guru yang mentarbiyah kehidupan duniawi dan yang
paling penting mentarbiyah kehidupan ukhrawi. Guru hanya boleh memberi
ilmu. Ilmu yang diberi belum tentu mampu diamalkan oleh si murid. Di
sini letaknya peranan murabbi. Untuk membimbing dan mentarbiyah murid
untuk beramal dengan ilmu yang diperolehi, sama ada dari guru atau pun
dari murabbi itu sendiri.
Bai’ah antara murid dengan murabbi adalah langkah pertama,
sebagaimana ditunjukkan oleh Jibrail dan Rasulullah SAW kepada Saidina
Omar Al Khattab dan sahabat yang lain sewaktu Jibrail menyampaikan ilmu
tentang Iman, Islam dan Ihsan. Dalam pembai’ahan tangan berjabat mesra,
lutut bertemu lutut dan antara hati mekar rasa kasih sayang antara murid
dan murabbinya. Ianya adalah suatu simbolik pautan hati antara murabbi
dan muridnya, yang memeterai suatu perjanjian bahawa murabbi akan
berusaha sepenuh jiwa untuk mentarbiyah muridnya dan muridnya akan
sepenuh jiwa menerima ilmu dan beramal dengan murabbinya demi menegakkan
hukum-hakam Allah di muka bumi. Murabbi menyalurkan ilmu dan membimbing
untuk beramal dengan ikhlas. Murid menerima ilmu dan rela dibimbing
dengan ikhlas. Maka terzahirlah manusia-manusia yang mengabdikan diri
kepada Allah dan berlumba menjadi khalifah Allah untuk mentadbir alam
ini.
Demi menjaga rantaian yang berkat, maka murid akan menyebut nama
murabbinya sewaktu menyampaikan ilmu kepada keluarga, sahabat atau
masyarakatnya. Sebagaimana murabbi akan menyebut nama gurunya kepada si
murid sewaktu berta’alim dan mentarbiyah. Guru murabbi pula akan
menyebut nama gurunya kepada murabbi sewaktu murabbi menjadi muridnya.
Dan begitulah rantaian rawi ilmu guru-guru atau murabbi sehinggalah
ianya bersambung kepada tabiin kemudian bersambung kepada sahabat dan
seterusnya kepada Rasulullah SAW. Dan Rasulullah SAW dididik sendiri
oleh Allah SWT. Begitulah rantaian ilmu yang berkat yang memudahkan
murid untuk beramal, bagaikan rantaian perawi hadis yang meriwayatkan
hadis yang akhirnya bersambung kepada Rasulullah SAW.
Maka tidak hairanlah, Imam Asy Syafie sering menyebut nama gurunya,
Imam Maliki dalam tarbiyah kepada muridnya. Muhammad Al Fateh menyebut
nama gurunya, Shiekh Shamsudin Wali kepada tenteranya.
Semoga Allah mengurniakan kita anak-anak yang soleh lagi menyejukkan
hati Rasulullah saw dengan perjuangan agama mereka untuk meninggikan
kalimah Allah di atas mukabumi ini.
Amiin.
Semoga tips mendapat anak soleh ini memberikan manfaat.
http://siraplimau.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan