Jumaat, 20 Februari 2015

Lihat Kebenaran Dengan Akal Dan Mata Hati, Bukan Mata Kasar

Sumber : Google
Kebenaran itu satu perkara yang baik namun kadang kala menyakitkan. Bukan semua manusia boleh menerima kebenaran kerana sifat kebenaran yang kadang kala menyakitkan itu tadi. Sungguh pun kebenaran itu boleh muncul di hadapan mata kita namun kadang kala kita cuba menafikannya atau kita tidak berjaya melihatnya kerana sebab sebab tertentu yang hanya diketahui oleh diri kita sahaja.
Seperti yang saya sebutkan di atas, bukan semua manusia boleh menerima kebenaran dan boleh melihat kebenaran yang sebenarnya. Hanya manusia yang diterangi dengan cahaya keimanan yang jitu sahaja mampu melihat dan menerima kebenaran dengan tabah dan redha. Selebihnya, ada di antara kita yang sukar untuk melihat dan menerima kebenaran tadi kerana sebab sebab tertentu termasuklah diri saya sendiri.
 
Suka saya mengupas tentang sebab sebab manusia yang sukar melihat dan menerima kebenaran itu. Mungkin manusia yang sukar melihat dan menerima kebenaran tersebut terlalu taksub dan percaya dengan pegangannya. Mungkin juga kerana dia menerima imbuhan imbuhan tertentu sehingga dia tega menolak kebenaran. Mungkin juga kerana dendam kesumat dan perasaan benci yang terlalu pekat di dalam sanubari terhadap seseorang dan mungkin juga kerana mereka kurang diterangi cahaya keimanan.
 
Sebab sebab di atas adalah mungkin menjadi faktor seseorang manusia itu sukar melihat dan menerima kebenaran walaupun kebenaran itu tertegak di hadapan matanya. Walaubagaimanapun, kebenaran yang muncul itu mestilah bersandar pada Al Quran dan As Sunnah. Jika kebenaran itu sudah tidak lagi berada dalam lingkungan Al Quran dan As Sunnah serta berlandaskan kepada logik akal manusia semata mata, kebenaran itu saya sifatkan sudah tidak relevan lagi. Jangan terkejut apabila kita mengetahui kebenaran itu bukanlah kebenaran yang sebenarnya tetapi kebenaran yang dimomok momokkan sebagai kebenaran, berlandaskan kepada logik akal semata mata dan jelas bercanggah dengan Al Quran dan As Sunnah.  
Dalam Islam, logik akal memang diterima tetapi mestilah bersandarkan kepada Al Quran dan As Sunnah serta bersandarkan kepada Ijmak dan Qias ulamak. Jika logik akal bercanggah dengan empat perkara asas dalam Islam itu tadi, logik akal itu perlu ditolak dengan kadar segera. Sebagai contoh, ramai orang beranggapan bahawa teori yang mengatakan manusia berasal daripada monyet yang dicetuskan oleh Charles Robert Darwin suatu ketika dahulu adalah benar namun apabila teori tersebut bercanggah dengan Al Quran dan As Sunnah, teori itu perlu diketepikan dengan serta merta.
Oleh sebab itulah, saya menganjurkan agar kebenaran perlu dilihat dengan akal dan mata hati dan bukannya mata kasar. Mata kasar ini memang bersifat ilusi semata mata. Cantik di mata kita tidak semestinya cantik pada pandangan agama. Sebagai contoh, memang kita akan kelihatan cantik jika kita memakai pakaian yang seksi tetapi adakah memakai pakaian yang seksi tadi diterima oleh agama kita?
Oleh itu, kebenaran tidak boleh dipandang dengan mata kasar dan tidak boleh diterjemahkan dengan logik akal semata mata. Kebenaran mesti dipandang dengan mata hati, disulami dengan akal, dan berpandukan kepada Al Quran dan As Sunnah. Barulah kita dapat melihat kebenaran yang sebenar dan Insha Allah… kita pasti boleh menerima kebenaran tersebut.  
Kebenaran itu memang pahit, perit dan kadang kala menyakitkan. Ada juga kebenaran yang sungguh membahagiakan tetapi bergantung kepada keadaan yang kita hadapi. Saya yakin kita pasti suka dengan kebenaran yang membahagiakan tetapi kita juga tidak boleh sama sekali menolak kebenaran yang menyakitkan.
Contoh kebenaran yang menyakitkan adalah kita sangat sayang akan anak kita. Kita menjaganya umpama menatang minyak yang penuh. Dihadapan kita dia memang kelihatan baik namun di belakang kita dialah hantu segala hantu yang wujud di muka bumi ini. Pelbagai kenakalan yang telah dia lakukan. Kita tidak tahu akan kenakalan anak kita itu sehinggalah ada pihak yang memberitahu kita dan dapat membuktikan kepada kita. Itulah satu kebenaran yang pahit dan menyakitkan tetapi kita perlu terima kerana penerimaan kita itu pasti akan menyusul satu tindakan yang betul dari diri kita sendiri untuk mengubah diri anak kita tadi.
Oleh itu, sukalah saya mengingatkan kepada anda semua supaya memandang kebenaran itu dengan mata hati dan akal yang dikurniakan oleh Allah s.w.t. Kebenaran yang kita mahu lihat dan terima itu tadi mestilah berlandaskan kepada Al Quran dan As Sunnah dan bukannya logik akal semata mata. Jika kita dapat melihat dan menerima kebenaran, saya yakin hidup manusia akan lebih harmoni dan bahagia.
 sayapejuangbahasa.blogspot

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Anda Berkenan .

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...