Jika Britain mempunyai British Special Air Service (SAS), Amerika
Syarikat dengan Navy Sealsnya dan Israel dengan Shayetet 13, Palestin
turut berada di dalam kelas tersendiri dengan barisan tentera
penggempurnya yang berani mati, Briged Izzuddin al-Qassam atau lebih
dikenali sebagai al-Qassam, sebuah unit elit yang amat digeruni oleh
rejim Zionis.
Al-Qassam, sebuah sayap tentera Hamas, dipelopori penubuhannya oleh
pejuang Palestin seperti Syeikh Ahmed Yasin, Dr. Ibrahim Al-Maqadema dan
Syeikh Salah Shehada pada tahun 1984. Nama al-Qassam diberi bersempena
nama seorang pejuang ulama' yang syahid berdekatan Jenin pada tahun
1935, Syeikh Izzuddin al-Qassam.
Baru-baru ini, penulis yang berada di Gaza atas tujuan rakaman siri
dokumentari telah dijemput oleh kerajaan pemerintah Gaza, Hamas untuk
mengunjungi pusat latihan Al-Qassam bagi menyaksikan satu demonstrasi
latihan taktikal serangan briged itu. Difahamkan peluang sebegitu jarang
sekali dibuka kepada rakyat Palestin; apatah lagi kepada orang luar.
Penulis diberi taklimat oleh komander yang tidak mahu dikenali atas
tujuan keselamatan. Beliau berkata, briged elit itu dianggotai oleh
pemuda yang berusia 30 tahun dan ke bawah sahaja.
"Objektif utama penubuhan al-Qassam adalah untuk mempertahankan tanah
suci Palestin daripada penjajahan Zionis yang zalim, membebaskan tanah
Palestin dan seluruh tanahnya yang dirampas di Tebing Barat serta
memantapkan semangat jihad dalam kalangan orang Palestin," katanya.
Apabila ditanya jumlah tentera al-Qassam pada masa ini, komander
tersebut yang pada mulanya engga menjawab memberitahu, bilangannya dalam
lingkungan 25,000 orang.
SYARAT UTAMA KEANGGOTAAN SEBELUM DIPILIH
[1] Mesti menjaga solat 5 waktu secara berjemaah.
[2] Kuat mengamalkan sunnah Rasulullah SAW.
[3] Gigih berpegang dengan ajaran Islam.
[4] Mengimani perjuangan pembebasan al-Aqsa dan Palestin.
[5] Berdisiplin dan mentaati amir.
[6] Mencintai dan bersedia untuk syahid.
Sudah menjadi perkara biasa apabila kedengaran letupan dan bunyi
tembakan di Gaza, bukan kerana serangan tentera Israel tetapi sebaliknya
ia merupakan sesi latihan tentera al-Qassam yang dijalankan.
Briged ini juga terkenal dengan roket al-Qassam, roket artileri buatan
sendiri yang dikeluarkan dalam tiga model sepanjang tahun 2001 hingga
2011. Roket itu ditembak dari Gaza dan sering membawa kemusnahan yang
dahsyat sehinggakan media Israel menggelarkan setiap roket yang memasuki
Semenanjung Barat sebagai Qassam.
Penulis juga dibawa berjumpa dengan beberapa anggota elit al-Qassam
sebelum mereka bergegas untuk menunaikan solat Asar. Namun penulis
diberitahu rakaman gambar tidak dibenarkan sama sekali kerana ingin
merahsiakan identiti setiap anggota mereka. Penulis sungguh terkejut
apabila mereka membuka topeng hitam mereka, kesemuanya memiliki wajah
yang berseri, muka bersih dan bersinar.
Jelas nampak keikhlasan pada raut wajah mereka untuk menjadi tentera Islam yang tidak takut mati.
Keimanan para anggota Briged al-Qassam ini cukup tinggi sehinggakan ada
di antara mereka menyatakan bahawa mereka tak perlukan apa-apa bantuan,
cuma cukuplah sekadar minta didoakan. Bukan doakan mereka selamat tetapi
doakan agar mereka cepat menemui syahid! Inilah kunci kekuatan dan
rahsia sebenar kehebatan mereka yang amat digeruni oleh 700,000 ribu
tentera Israel di sana!
Semoga Allah terus bantu dan hadirkan pertolongan buat pejuang
Islam seperti mana yang Dia telah bantu dan beri pertolongan kepada
umat-umat yang terdahulu dalam menentang golongan kuffar ini.
Sesungguhnya tiadalah daya dan upaya kami melainkan dengan kekuasaan-Mu.
Bantulah mereka....Ya Qahhar Ya Jabbar Ya Mutakabbir!
mazeermohamad.blogspot.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan