Polisi yang membenarkan anggota Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
mengeluarkan keseluruhan simpanan persaraan mereka pada usia 55 tahun
adalah dikekalkan pada masa ini, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk
Donald Lim Siang Chai.
Beliau bagaimanapun berkata cadangan daripada banyak pihak untuk
menaikkan umur bagi pengeluaran penuh simpanan KWSP adalah selaras
dengan pelaksanaan umur persaraan minimum pada usia 60 tahun.
"Ini adalah selepas Akta Umur Persaraan Minimum 2012 diluluskan Dewan
Rakyat pada 27 Jun lepas dan dibentangkan di Dewan Negara pada 16 Julai
lalu.
"Oleh kerana Skim KWSP adalah suatu skim simpanan untuk persaraan
pekerja, maka adalah wajar pengeluaran caruman selaras dengan umur
persaraan 60 tahun.
"Tujuannya adalah untuk memastikan anggota mempunyai lebih banyak
simpanan untuk perbelanjaan sara hidup mereka apabila tidak bekerja,"
katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Idris Haron
(BN-Tangga Batu) pada sidang Dewan Rakyat Isnin.
Idris ingin tahu sama ada kerajaan akan melaksanakan peraturan
pengeluaran wang KWSP secara keseluruhan pada usia 60 tahun berbanding
pada usia persaraan 55 tahun yang dilaksanakan pada masa ini. - BERNAMA
MindaRakyat Tidak dikemaskini, sila ke 1 Media - https://www.1media.my/
2 tahun yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan