Rabu, 5 Ogos 2015

MENARIK - Tips Mudah Bagaimana Saya Menghafal Al-Quran Dalam Masa 4 Bulan

Perkongsian ini adalah dari Fadhil Azman yang berasal dari Singapura. Berusia 22 tahun, beliau kini  menyambung pelajaran di University of Jordan dalam bidang Islamic Theology.

Artikel asal adalah dalam Bahasa Inggeris. Kami menukarkannya ke Bahasa Melayu untuk memudahkan kita semua memahaminya, dan semoga dapat memberi inspirasi pada yang lain.

“Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah atas segala rezeki dan rahmat yang diberi. Aku bermohon pada Allah agar selalu permudahkan urusanku dalam mengulang al-Quran & berikan aku petunjuk untuk berkongsi dan memberi inspirasi pada orang lain.”

Saya ingin berkongsi bahawa saya telah menghafal lebih kurang 9 juzu’ semasa di sekolah rendah, sekolah menengah dan matrikulasi.

Jadi, sebenarnya saya cuma menghafal lebih kurang 20 juzu’ yang baru dan hanya mengulang 9 juzu’ lama sahaja dalam masa 4 bulan.

Saya juga tidak mempunyai komitmen lain selain dari berbuat baik kepada ibu bapa. Tetapi, bagi sesiapa yang berkehendak menghafal ayat al-Quran kerana Allah, Insya Allah, Allah akan permudahkan.

Ini adalah pengalaman saya dan semoga ia dapat memberikan inspirasi pada yang lain.

Berikut adalah tips yang saya amalkan;



1. Betulkan niat

Menghafal al-quran
Foto Kredit: Facebook Fadhil Azman
Ini adalah poin yang paling penting yang perlu dititik beratkan, lakukannya ikhlas kerana Allah, mengharapkan rahmat-Nya, keredhaan-Nya & untuk memperoleh syurga. Bukan sebab kawan, keluarga atau untuk menunjuk-nunjuk. Ya Allah lindungilah kami darinya.
Semoga Allah tetapkan hati kita untuk melakukannya semata-mata kerana Allah.

2. Mulakan sekarang.

Jangan tangguh-tangguh. Kalau  niat sudah ada, itu sudah bagus. Jangan ingat kalau bertangguh, ia jadi lebih baik.
Usah berikan alasan tidak cukup masa. Cari masa untuk diri sendiri dan dalam menghafal Al-Quran. Saya kenal beberapa orang, yang mempunyai niat, tetapi tidak mempunyai motivasi.
Pada saya, untuk mencari motivasi, fikirkan tentang betapa besar faedah yang kita akan dapat. Percayalah, anda akan dapat banyak sangat kebaikan.  Pahala juga dikira hanya dengan membaca satu huruf. Juga ada banyak kisah yang menarik dalam Al-Quran yang akan anda temui.
Cuba baca Al-Quran selepas solat. Insya Allah, anda akan dapat momentum dari situ.

3. Gunakan mushaf yang sama.

Menghafal al-quran
Foto Kredit: quranflash.com
Saya telah menggunakan mushaf  yang sama sejak berumur 14 tahun. Inilah perkara yang selalu diingatkan oleh asatizah (guru-guru). Sebabnya ialah, apabila anda menggunakan mushaf yang sama, mata anda telah terbiasa dengan cara penulisan, warna dan hiasan dalamnya. Ini membuatkan minda anda terbiasa dengannya Insya Allah.

4. Mendengar pembacaan ayat al-Quran

Perkara ini mungkin susah, tetapi Allah boleh mempermudahkannya untuk anda: tinggalkan lagu-lagu anda, muzik pop dan rock. Dua benda yang bertentangan tidak dapat wujud dalam masa yang sama. Tetapi, sudah tentu terdapat beberapa pendapat mengenai hal ini. Adakah anda lebih suka mendengar muzik dari mendengar ayat al-Quran yang dikatakan menenangkan hati seseorang?
Saya suka mendengar bacaan surah dalam Quran yang saya sedang hafal atau surah seterusnya yang akan dihafal kemudian, saya akan ulang surah yang sama sambil melakukan kerja lain.
Perkataan tersebut akan masuk ke dalam minda kita tanpa disedari. Anda akan dapati menghafal surah menjadi lebih mudah. Saya juga akan membuka mushaf sambil mendengar bacaan Quran untuk membiasakan dengan mukasurat tersebut. Kemudian saya akan mulakan hafalan.

5. Pengulangan dan pembahagian halaman adalah asas untuk menghafal

Baca keseluruhan halaman beberapa kali, anda boleh memilih untuk membahagikan halaman kepada tiga atau dua bahagian. Ini bergantung kepada berapa mudah untuk menghafal halaman tersebut. Hafal bahagian pertama sebelum meneruskan ke bahagian seterusnya. Elakkan pergi ke muka hadapan sebelum anda dapati hafalan tersebut tersimpan utuh dalam ingatan.

6. Pemahaman adalah kunci penting dalam menghafal

Adalah sangat menyeronokkan jika anda memahami apa yang disampaikan oleh-Nya. Demi Allah, saya dapati al-Quran sangat cantik, ia boleh membawa anda ke titik terendah dan membuka anda kepada perubahan yang lebih besar.
Fokus pada apa yang anda baca untuk memahami ayat tersebut. Jangan memikirkan hal lain ketika membacanya.
Muat turun aplikasi terjemahan / tafsir al-Quran dalam telefon anda. Atau boleh juga menggunakan mushaf yang mempunyai terjemahan di bahagian tepi. Ustazah saya (semoga Allah anugerahkan kebaikan kepadanya) sentiasa menasihati kita bahawa kefahaman telah menjawab sebahagian dari soalan. Jadi, dalam konteks ini, pemahaman adalah sebahagian penghafalan ayat tersebut, Insya Allah.

7. Mulakan dengan perlahan-lahan

Ambil selangkah demi selangkah, Insya Allah anda akan dapati menghafal dengan konsisten lebih mudah.

8. Jangan putus asa

Tidak bermakna jika hari ini terasa susah, esok juga akan terasa susah. Bacalah doa sebelum memulakan hafalan. Ingatlah di mana jua anda sekarang (dalam menghafal) adalah satu langkah untuk menamatkan penghafalan seuruh al-Quran. Yang penting, jangan berhenti.

9. Berkawan dengan mereka yang turut menghafal

Menghafal al-quran
Foto Kredit: Facebook Fadhil Azman
Dengan mempunyai rakan yang turut menghafal, ia boleh membuatkan anda lebih bermotivasi untuk menghafal dan mengulang.

10. Merancanglah

Secara asasnya, saya menghafal lebih kurang 4-6 halaman setiap hari. Untuk menghafal satu halaman, saya mengambil masa lebih kurang 30 min, bergantung pada tahap kesukaran halaman tersebut. Ada halaman yang mengambil masa 20 min untuk dihafal.
Alhamdulillah, Allah permudahkan bagi saya. Manakala bagi halaman yang lebih susah, saya mengambil masa 45 minit.

11. Masa yang terbaik

Untuk menghafal al-Quran adalah selepas subuh atau fajar, iaitu ketika minda masih segar. Ketenangan fajar akan memasuki minda anda. Ustaz saya selalu menasihatkan kami untuk lebih produktif pada waktu pagi.
Selain itu, waktu selepas solat adalah masa yang sesuai untuk menghafal selain dari waktu antara Maghrib dan Isya’.

12. Jadilah produktif

Bacalah al-Quran dalam perjalanan ke sekolah atau tempat kerja. Secara peribadi, saya lebih suka menaiki kereta api berbanding memandu kerana masa perjalanan tersebut saya boleh isi dengan menghafal atau mengulang.

13. Bawalah mushaf anda ke mana jua anda pergi

Ia akan menjadi peringatan untuk anda membacanya Insya Allah.

14. Jagalah mata anda

Menghafal al-quran
Foto Kredit: Facebook Fadhil Azman
Dari memandang atau melihat aurat berlainan jantina. Telinga anda dari mendengar gossip. Mulut anda dari berkata belakang, mengumpat dan dari semua perbuatan yang dilarang. Ustazah saya sering kali mengingatkan dan meminta kami untuk menghafal puisi Imam Syafi’ie sebagai peringatan.
Aku mengadu kepada Wakii’ (Imam Syafi’ie) mengenai ingatanku yang lemah.
Dia menasihatku untuk meninggalkan dosa
Dan dia memberitahuku bahawa ilmu adalah cahaya
Dan cahaya Allah tidak akan sampai pada pendosa

15. Bertaubatlah

Bertaubatlah selalu, kadang kalau kita melakukan dosa tanpa menyedarinya. Apabila seseorang membuat dosa, dia perlulah segera bertaubat kepada Allah. Allah menerima taubat orang yang ikhlas, Insya Allah.

16. Minta seseorang mendengar bacaan anda ; tasmii’.

Carilah seorang kawan, ahli keluarga atau guru untuk tasmii’ anda. Dia mestilah seorang yang tahu membaca al-Quran dengan betul, jadi apabila berlaku kesalahan kecil, dia dapat membetulkannya.

17. Muraja’ah (ulang) apa yang anda telah hafal.

Menghafal al-quran
Foto Kredit: Facebook Fadhil Azman
Carilah seseorang untuk mendengar anda mengulang bacaan. Seseorang itu perlulah memperkukuhkan hafalannya dengan selalu mengulang.

18. Makan kismis & madu

Saya tidak pasti dengan mendalam mengenai hal ini, tetapi saya diajar bahawa memakan kismis & madu dapat mengukuhkan ingatan Insya Allah.

19. Tunaikanlah solat malam

Buatlah sekurang-kuranya dua rakaat, kemudian berdoalah. Ia amat membantu Insya Allah.
“Doa semasa tahajjud diibaratkan seperti busar panah yang tidak pernah tersasar dari sasarannya” – Imam Syafi’ie

20. Berdoalah selalu dan harapkan pertolongan Allah

Menghafal al-quran
Foto Kredit: Facebook Fadhil Azman
“Jangan memandang rendah kuasa doa. Ketahuilah bahawa tiada yang lebih disukai Allah lebih dari hambanya berdoa kepada-Nya.” (Tirmidhi)

Berdoalah kepada Allah agar memudahkan minda dan hati anda untuk menghafal dan tidak melupakan hafalan tersebut. Mohon padaNya agar dikuatkan ingatan dan mohonlah agar Allah singkirkan sifat malas dalam diri.

21. Doakanlah kebaikan untuk orang lain

Semasa anda berdoa untuk diri sendiri, selitkan sekali doa untuk orang lain yang mungkin amat memerlukan rahmat Allah.
Doa seorang Muslim untuk saudaranya (muslim lainnya) yang tidak berada di hadapannya akan dikabulkan oleh Allah. Di atas kepala orang muslim yang berdoa tersebut terdapat seorang malaikat yang ditugasi menjaganya. Setiap kali orang Muslim itu mendoakan kebaikan bagi saudaranya, niscaya malaikat yang menjaganya berkata, “Aamiin (semoga Allah mengabulkan) dan bagimu hal yang serupa.” (Muslim)

22. Minta ibu bapa anda mendoakan anda

Apabila saya mula menghafal al-Quran, saya memberitahu ibu saya akan niat tersebut & meminta ibu bapa saya mendoakan saya. Ia sangat membantu.
Itu sahaja, saya harap perkongsian ini bermanfaat dalam apa sudut sekali pun meskipun sedikit. Semoga Allah permudahkan bagi anda untuk menghafal dan mengulang al-Quran dan semoga Allah permudahkan segala urusan kita.

mengadu-luah-perasaan-love-cinta-rasa
Semoga kita semua mendapat kekuatan untuk mengikut jejak langkah Fadhil Azman dalam menghafal al-Quran. Aamiin.
Siraplimau

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...