Kebanyakan ibu mengandung akan mengalami pengalaman yang hampir sama. Ada yang menyeronokkan dan ada yang membuatkan ibu tidak selesa sehingga kalau boleh hendak ia berakhir dengan cepat. Tetapi percayalah selepas ibu melahirkan bayi, pasti ibu akan merindui pengalaman berharga tersebut. Berikut adalah beberapa perkara utama yang pasti berlaku sepanjang mengandung.
 
  1. Morning Sickness Teruk
Bagi yang pertama kali mengandung dan mengalami morning sickness yang teruk pasti tidak akan melupakan pengalaman ini. Mual, loya, muntah, tak lalu makan, asyik nak tidur dan banyak lagi yang tiba-tiba berlaku pada diri sendiri adalah pengalaman paling tidak seronok semasa mengandung.


  1. Pertama Kali Dengar Degup Jantung Si kecil
Rasa macam nak menangis bila pertama kali dengar degup jantung si kecil! Macam tak percaya ada insan kecil yang perlu dilindungi dalam perut anda. Biasanya degup jantung dapat didengar semasa doktor membuat ujian imbasan semasa kandungan berusia 12 minggu.
  1. Tendangan Pertama Orang Dalam
“Oh macam ni rupanya rasa kena tendang dari dalam perut.” Mungkin itu yang terlintas di fikiran anda. Cute je rasa bila kaki kecil bayi anda mula membuat gerakan tendangan dalam perut. Terasa geli tetapi dalam masa yang sama muncul perasaan bahagia. Biasanya ibu mula merasakan tendangan pertama ketika usia kandungan antara 16 – 24 minggu.
  1. Berbual Dengan Bayi
Terasa seronok apabila boleh berbual-bual dengan bayi  sambil mengusap lembut perut.  Ia merupakan rangsangan awal yang terbaik kepada bayi anda. Bayi akan memberikan respon pergerakan apabila ibu kerap berbual dengannya. Itu tandanya bayi kenal anda adalah ibunya.
  1. Isyarat Bayi Kenyang Dalam Perut
Kalau ibu terasa lapar, bayi kerap membuat pergerakan tetapi bila ibu sudah makan, biasanya bayi tidak banyak ragam dan akan kurang pergerakan serta tidur lena di dalam rahim ibu.
  1. Menatap Wajah Bayi Dalam Bentuk 4D
Ok, yang ini memang ramai ibu yang mengalirkan air mata gembira. Seronok tak terhingga melihat pergerakan dan wajah si kecil dalam perut.  Terus rasa tak sabar nak lahirkan anak dalam kandungan. Menatap wajah bayi dalam bentuk 4D benar-benar membuatkan ibu menangis bahagia.
  1. Membeli Pakaian Mengandung
Perubahan fizikal bentuk badan ibu mengandung membuatkan anda perlu menukar pakaian sedia ada dengan pakaian mengandung. Belilah koleksi yang boleh dipakai dua dalam satu iaitu baju mengandung termasuk baju menyusu.
  1. Mencari Nama Bayi
Terujanya! Jangan sampai anda suami isteri bertengkar kerana memilih nama bayi sudah. Pilihlah nama bayi yang mempunyai makna yang elok.
  1. Membeli Kelengkapan Bayi
Ini juga antara perkara yang paling menyeronokkan apabila hendak sambut orang baharu. Kalau tak tahu nak mula beli barang apa dulu, lebih baik anda buat senarai barang yang perlu ada untuk menyambut kelahiran bayi. Utamakan membeli barangan kelengkapan yang wajib ada dahulu, jangan membazir beli barang yang tidak perlu walaupun anda tidak tahan melihat ‘kecomelan’ barangan tersebut.
  1. Merasa Kontraksi Pertama
Pengakhiran sebuah kehamilan adalah merasai kesakitan kontraksi untuk melahirkan bayi. Kesakitan yang memang tidak boleh dibayangkan oleh kebanyakan wanita yang pertama kali mengandung pasti akan menjadi kenangan yang paling tidak akan dilupakan oleh mereka sampai bila-bila.
Kepada ibu yang sedang hamil ketika ini, nikmati segala pengalaman baharu yang anda lalui itu dengan penuh kegembiraan kerana ia sangat berharga.
pama