Jumaat, 10 Januari 2014

Manfaatkan masa yang ada

 
DALAM kehidupan, masa amat penting dimanfaatkan dengan berfaedah. Setiap manusia diberi masa 24 jam sehari semalam. Bagaimanapun, ada manusia yang tak pernah cukup masa untuk melakukan sesuatu kebaikan untuk dirinya, keluarga dan masyarakat. Malahan masa yang terluang dibiarkan berlalu tanpa membuat sesuatu yang bermanfaat.

Masa dapat diistilahkan sebagai waktu, ketika atau jangka waktu yang sentiasa bergerak menuju destinasinya tanpa henti. Masa juga diibaratkan sebagai mata pedang yang tajam memancung kita yang lalai tanpa melakukan sesuatu yang berfaedah dalam kehidupan. Masa yang dipenuhi dengan mencari ilmu, menambah amal kebaikan, amal ibadat akan mengisi kehidupan hari-hari dengan amal soleh dan ibadat dengan berfaedah.




Jika masa silam boleh berputar kembali, apakah yang anda akan lakukan dalam hidup ini? Walau apa pun, masa tidak dapat diputar kembali, lakukan kebaikan dan amal yang baik bermula saat ini demi kebaikan dan kesejahteraan hidup anda pada masa akan datang di dunia dan di akhirat.

Daripada Abdullah bin Abbas r.a, mendengar Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Hendaklah anda merebut (peluang) kesempatan daripada lima perkara sebelum datangnya lima perkara, iaitu: “Kesempatan semasa hidup anda sebelum tiba kematian anda. Kesempatan semasa sihat anda sebelum tiba kematian anda. Kesempatan di kala kelapangan anda sebelum tiba kesibukan anda. Kesempatan masa muda anda sebelum tiba masa tua anda. Kesempatan semasa kaya anda sebelum lagi tiba kepapaan anda.” (riwayat al-Baihaqi dan al-Hakim)

Hadis ini jelas menunjukkan masa amat penting dalam kehidupan untuk melakukan amalan baik semasa hidup, semasa sihat, semasa lapang, semasa muda dan semasa kaya. Peringatan daripada hadis ini sewajarnya dijadikan panduan dan ingatan kepada setiap daripada kita.


Berbuat jasa


Agama Islam menganjurkan umatnya supaya sentiasa melakukan kebaikan dan berbuat jasa. Orang yang mengisi masanya dengan berbuat jasa sangat dipuji oleh agama. Jasa di sini bermaksud kebaktian kepada diri sendiri, ibu bapa, kaum keluarga, masyarakat dan negara.

Semua amalan baik yang kita lakukan dalam mengisi masa adalah sedekah. Daripada Abu Hurairah r.a, ia berkata Nabi SAW telah bersabda yang bermaksud: Setiap anggota tubuh manusia harus bersedekah setiap hari, apabila matahari terbit. Kamu mendamaikan antara dua orang adalah sedekah. Kamu menolong seseorang menaiki tunggangannya ataupun kamu menolong mengangkat baginya barang-barang adalah sedekah dan perkara yang baik itu sedekah. Setiap langkah menuju ke tempat solat adalah sedekah. Dan kamu menjauhkan bahaya dari jalan juga adalah sedekah. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Pada akhir zaman, masa dikatakan terlalu singkat. Daripada Anas bin Malik r.a, Rasulullah SAW bersabda: "Tidak akan terjadi Kiamat sehingga masa menjadi singkat, maka setahun dirasakan seperti sebulan dan sebulan dirasakan seperti seminggu dan seminggu dirasakan seperti sehari dan sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti satu petikan api." (tiwayat Tirmizi)

Daripada keterangan hadis ini menunjukkan masa berlalu begitu cepat. Belum sempat kita berbuat sesuatu tiba-tiba masa cepat berlalu. Kita seakan-akan sibuk tetapi kita tidak faham apa yang kita sibukkan. Kita diburu masa dan ia berlalu dengan tidak ada perkara yang dapat kita selesaikan. Inilah yang dimaksudkan dengan singkatnya masa.

Menurut tokoh Islam Imam al-Karmani, apa yang dimaksudkan dengan singkatnya masa itu adalah dicabut keberkatan daripadanya. Memang benar apa yang dikatakan olehnya bahawa pada masa dahulu kita merasakan dalam sehari banyak perkara yang dapat kita laksanakan. Tetapi pada masa kini, masa begitu pantas berlalu dan kurang perkara bermanfaat dan berfaedah dapat dilakukan.
utusan
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...