Jumaat, 24 Januari 2014

Info - Masalah Pendarahan Hidung Kalangan Kanak Kanak|Faktor Dan Rawatan


berdarah Masalah pendarahan hidung atau epistaxsis dalam kalangan kanak-kanak lazimnya tidak serius. Dalam kebanyakan kes, pendarahan berhenti dengan sendiri, tetapi ia sering menimbulkan kerisauan ibu bapa atau penjaga.


Epistaxsis kerap berlaku dalam kalangan kanak-kanak berusia dua hingga 10 tahun yang sering berlaku secara tiba-tiba dan berulang.
Namun, pendarahan hidung perlu dipandang serius kerana bimbang sekiranya ia memberi petanda penyakit lain yang lebih kronik.

Hidung berdarah boleh disebabkan pelbagai penyakit termasuk penyakit hidung, sinus, darah tinggi, demam denggi dan penyakit darah.



sebanyak 90 peratus kes pendarahan hidung kanak-kanak berlaku di kawasan yang dinamakan Kiesselbach plexus atau Little’s area iaitu lapisan dalam.

Kawasan ini terletak di bahagian hadapan tengah hidung iaitu septum yang mempunyai banyak salur darah dan senang berlaku pendarahan.

Rawatan bergantung kepada tahap penyakit dan penyebab berlakunya pendarahan hidung.

Pakar Perunding Jabatan Otorinolaringologi Hospital Selayang Dr Mohd Sazafi Mohd Saad berkata, beberapa punca dikenal pasti boleh mengundang penyakit ini.

Antara faktor utama:
    • Kecederaan kecil dan kecederaan besar seperti mengorek hidung, kecederaan pada hidung dan muka yang disebabkan terjatuh, terkena pintu, kemalangan atau ditumbuk seseorang.
    • Trauma kecil iaitu luka di dalam hidung apabila mengorek menggunakan kuku atau objek tajam misalnya, kanak-kanak suka memasukkan sesuatu ke dalam hidung mereka menyebabkan luka dan berlaku pendarahan.
    • Jangkitan seperti jang­kitan saluran pernafasan atas (URTI) dan sinusitis.
    • Keradangan seperti masalah alahan hidung yang tidak terkawal atau selalu bersin.
    • Terdedah kepada persekitaran panas yang akan menyebabkan kanak-kanak mudah berhingus serta gatal.
  • Bendasing dalam hidung juga boleh menyebab­kan pendarahan hidung dan selalunya dikaitkan dengan masalah hidung busuk.


Masalah lain menyumbang kepada epistaxsis kanak-kanak termasuk penyakit gangguan darah seperti hemophilia, leukemia, pe­nyakit keturunan seperti telengectesia serta barah di dalam hidung seperti juvenile nasoangiofibroma yang selalunya terjadi dalam kalangan kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun ke atas.

Pendarahan hidung nasoangiofibroma selalu­nya serius dan memerlukan rawatan lanjut seperti pembedahan.

Menurutnya, ibu bapa atau penjaga hendaklah sentiasa tenang dan jangan panik sekiranya anak mengalami hidung berdarah.

Rawatan segera atau lang­kah pertama yang boleh dilakukan di rumah adalah melalui kaedah trotter. Pastikan pesakit dalam keadaan duduk dan sedikit tunduk le hadapan.
Lakukan tekanan yang berterusan ke atas hidung yang berdarah selama lima hingga 10 minit dan bernafas melalui mulut.

Letakkan ketulan ais di atas dahi untuk mengurangkan pendarahan. Ais sejuk dan berkumur boleh dilakukan. Kiub ais diletakkan ke dalam mulut sehingga cair.

Antara kesilapan yang sering dilakukan ibu bapa adalah dengan menyuruh pesakit baring untuk me­ngurangkan pendarahan hidung, ini akan menyebab­kan darah mengalir masuk ke dalam tekak dan seterusnya ditelan pesakit.

Dengan itu jumlah sebenar pendarahan tidak dapat diukur dengan tepat dan menyebabkan komplikasi lain seperti muntah darah.

Jika pendarahan tidak berhenti, kanak-kanak perlu dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

Antara tindakan yang akan dilakukan untuk memberhentikan pendarahan sederhana adalah cara Cautery (pembakaran salur darah).

Cautery yang biasa digunakan adalah sejenis bahan kimia manakala jika pendarahan banyak, alat pek nasal akan diletakkan di dalam lubang hidung berdarah.

Nasal packing dibiarkan di dalam hidung selama 24 hingga 48 jam manakala pesakit dimasukkan ke wad untuk pemerhatian.

Sekiranya pendarahan masih gagal diberhentikan, pemeriksaan akan dilakukan dalam keadaan pesakit diberikan pembiusan (pesakit tidak sedar) untuk mencari punca pendarahan.

Di samping itu, cecair seperti saline normal atau hartmann diberikan melalui salur darah untuk menggantikan cecair yang hilang dari badan.

Ujian darah juga akan dilakukan untuk menilai tahap hemoglobin dan mengetahui jenis kumpulan darah sebagai langkah persediaan sekiranya pesakit me­ngalami pendarahan yang ­banyak.

Masalah epistaxsis boleh dirawat dan selalunya tidak berbahaya dalam kalangan kanak-kanak.

Sekiranya anak anda mengalami masalah ­pendarahan hidung berulang, hendaklah dirujuk kepada klinik otorinolari­ngologi untuk pemeriksaan lanjut.
 http://www.mummynemo.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...