Kita sering disajikan dengan pelbagai masalah sosial yang semakin
hari kian meruncing dan membimbangkan. Bukan saja masalah sosial, tetapi
juga pelbagai gejala kurang sihat yang semakin membelenggu masyarakat.
Jika dibelek kebanyakan akhbar setiap hari, pasti ada saja berita kurang enak yang dilaporkan.
Akhir ini kita disajikan dengan berita serbuan demi serbuan terhadap premis urut atau pusat hiburan yang menyalahgunakan lesen perniagaan dengan menjadikan tempat mereka sebagai sarang maksiat.
Peliknya, semakin giat penguat-kuasaan dilakukan, semakin banyak
rumah urut dibuka. Malah, rumah urut lebih banyak dibuka berbanding
kedai runcit di sesetengah tempat.
Selain itu, penjualan cakera padat (CD) haram semakin meningkat walaupun pihak berkuasa sering mengadakan operasi membanteras penjualan CD cetak rompak dan lucah.
Ketika bersama kenalan makan di sebuah restoran baru-baru ini, meja kami dihampiri seorang lelaki membawa bakul penuh CD pelbagai cerita.
Saya sempat perasan ada tali yang diikat berbentuk riben di penjuru
bakul CD yang dibawa. Namun tidaklah saya menyangka sebenarnya tali itu
membawa isyarat tertentu.
Rakan saya menjelaskan, riben yang diikat di bakul itu sebenarnya
sebagai isyarat kepada pihak berkaitan bahawa tauke CD haram itu
membayar ‘yuran’ kepada pihak berkenaan untuk menjual CD haram.
Sekali gus ia menjelaskan tauke itu kebal daripada operasi membanteras CD haram dilakukan pihak berkaitan.
Sejauh mana kebenarannya saya kurang pasti. Namun jika benar, tentu
ia menyedihkan kerana ketika kerajaan sibuk melancarkan pelbagai kempen
anti rasuah, masih ada pihak tidak bertanggungjawab menyemai benih
kerosakan ini dalam masyarakat.
Jadi mungkin ada kebenarannya mengapa gejala tidak sihat ini makin
dibanteras, semakin banyak pula ia bercambah. Malah, jika pergi ke
sesetengah pasar malam, kita melihat peniaga CD haram dilengkapi ‘walkie talkie’ bagi memudahkan mereka berhubung dengan ‘orang dalam’ jika sesuatu operasi dijalankan.
Akhir zaman ini, ramai kurang sabar diuji dengan godaan harta benda.
Lapisan iman dalam diri semakin menipis kerana kerap tergoda dengan wang
yang ditawarkan depan mata. Kenaikan pelbagai harga barang dan kos sara hidup kini menjadi alasan popular untuk merasionalkan dosa besar ini.
Rasuah adalah dosa besar
Rasuah adalah satu daripada dosa besar yang diharamkan oleh Allah
SWT. Antara dosa besar lain adalah zina, minum arak dan sihir yang
mendapat kebencian daripada Allah. Pengharaman rasuah dijelaskan dalam
banyak dalil yang boleh dilihat daripada pelbagai sumber seperti contoh
di bawah:
- Firman Allah dalam Surah al Maidah, ayat 42: “Mereka sangat suka mendengar berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya).” Al Hassan dan Sa’id bin Jubair RA berkata, ‘segala yang haram’ yang disebut di dalam ayat ini bermaksud rasuah.
- Firman Allah dalam surah al Baqarah, ayat 188: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta orang lain di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”Dr Wahbah Zuhaili berkata, maksud ‘makan harta dengan jalan yang salah’ ialah melalui apa cara sekalipun. Antaranya riba, rasuah dan menipu dalam perniagaan.
- Rasulullah SAW melaknat orang yang memberi rasuah, dan penerima rasuah. Justeru, pengisian rohani dan kekuatan iman perlu dipupuk oleh diri sendiri setiap waktu dan ketika supaya tidak mudah kendur dengan godaan daripada dosa besar ini. Setiap wang yang berhasil daripada sumber haram pasti akan menatijahkan kerosakan dalam diri, bangsa dan seterusnya negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan