Sabtu, 13 Februari 2016

Jenazah

Gambar sekadar hiasan sahaja.
 
Jenazah adalah jasad yang sudah tidak bernyawa. Jasad itu mesti dimandikan, di kafankan, di solatkan kemudian di kebumikan. Semua urusan itu kadang-kala menjadi mudah dan kadang-kala memakan masa yang lama sebelum sampai ke Tanah perkuburan. Mudah atau lambat urusan itu bergantung kepada amalan si mati sewaktu hayat masih ada.
 
Kisah yang hendak Tok Wan coret disini kali ini adalah berkaitan pengurusan jenazah. Dari pengalaman sendiri sewaktu memandikan jenazah ada jenazah yang hendak dimandikan sudah dalamkeadaan bersih dan elok walaupun telah berbulan-bulan terlantar sakit. Dan ada jenazah yang tidak bersih walaupun baru dua minggu terlantar sakit. Dengan keadaan kuku panjang yang tidak dipotong, misai panjang sampai masuk kedalam mulut membuktikan bahawa empunya jasad tidak mengamalkan kebersihan dan kaum keluarga yang dekat juga tidak prihatin dalam hal kebersihan.
 
 
Islam mengutamakan kebersihan, solat lima kali sehari boleh membersihkan diri dari kekotoran, dan jikalau terlantar sakit mintalah sesiapa dari kalangan mahram tolong wudukkan dan solat boleh diteruskan dalam keadaan berbaring. Jika perkara utama ini diamalkan pasti bila sampai waktu untuk menjadi jenazah, maka jasad dalam keadaan bersih.
 
Pernah sekali peristiwa salah seorang kawan Tok Wan sendiri beberapa bulan selepas menguruskan jenazah maka dia berkahwin dengan janda yang ditinggalkan oleh jenazah yang pernah di uruskannya itu. Alasan paling munasabah katanya ialah,'Bekas suaminya dulu lumpuh selama lebih satu tahun dan apabila menguruskan jenazah bekas suaminya itu dia dapati jasad itu bersih, dan kalau suaminya yang lumpoh itu dijaganya dengan baik terutama kebersihan maka tak rugi siapa yang kawin dengannya.' Maka mereka pun berkahwin, sesuai sangat mereka berdua ini yang lelaki umur baru 75 dan yang perempuan umur baru 60 dan masing-masing berstatus duda dan janda.
 
Tanggung jawab kita yang masih hidup sihat ini ialah memastikan orang sakit yang kita ziarahi itu dapat dijaga kebersihannya terutama kuku, misai, bulu ketiak, bulu ari-ari dan daki-daki yang dibahagian belakang tubuhnya. Berikan masa untuk menjaga kebrsihannya bukan memberinya buah-buahan atau buah-buah tangan yang cuma sebagai hadiah. Memberi masa lebih berharga dari benda-benda kerana siapa tahu sepeninggalan kita itu nanti itulah masa terakhir dapat kita bersamanya. Alhamdulillah kita sudah mengerat kukunya dan tidaklah nanti apabila sampai masa untuk dimandikan dia dalam keadaan berkuku panjang.
 
Jenazah yang kuku, misai, bulu ketiak panjang biasanya tukang mandi jenazah mandikan saja. Tak cukup masa untuk uruskan bulu ketiak atau kukunya sebab waktu solat fardhu sudah dekat dan Tanah kubur sudah siap. Lepas solat fardhu terus solat jenazah untuknya dan jikalau lambat mungkin hari beransur gelap atau awan semakin tebal yang memungkinkan membawa hujan.
 
Bukan saja mereka yang sakit atau uzur yang kita kena perhatikan kebersihannya. Mereka yang sihat disekeliling kita juga kita kena ambil tahu. Perhatikan kuku anak-anak kita dah kerat atau belum. Kuku anak-anak sedara kita, kuku anak-anak jiran kita, kalau belum kerat eloklah kita sendiri yang kerat atau suruh orang terdekat tolong keratkan. Jikalau dia masih kanak-kanak bagitau pada dia bahawa kuku panjang boleh menyimpan kuman dan apabila waktu makan kuman tersebut boleh masuk bersama makanan yang kita makan kedalam perut dan boleh mengakibatkan sakit, bila sakit kena masuk hospital, bila duduk di hospital makan kena ikut waktu tak boleh makan ikut suka.
 
Diri dan batang tubuh kita sendiri pun kita kena jaga kebersihan tersebut. Buat apalah potong rambut fesyen macam kita ini bukan orang Melayu bukan seperti orang Islam. Siapa tahu saat dan tarikh kematian kita mungkin sebentar lagi atau mungkin sejam dari sekarang. Sedar-sedar kita dalam hospital, rambut terpaksa dibotakkan sebab nak jahit luka dikepala. Sedar-sedar kita sudah berada dalam bilik disebuah masjid dan sedang melihat jasad kita dimandikan dengan rambut punk terbaring. Kita mesti tidak suka bila melihat jenazah kita dalam keadaan begitu atau begini. Bayangkanlah sendiri bagaimana jasad kita yang bernama jenazah sedang dimandikan. Mungkin kita tersangat malu dengan gaya yang ikut kawan kawan sebab nak lebih perhatian sesama manusia walhal perhatian Nabi dan Allah tidak kita utamakan.
 
Tujuan penulisan Tok Wan bukan untuk menakutkan para pembaca, tetapi takut kepada Allah itu memang dituntut. Jika kita takut kepada Allah pasti syaitan takut kepada kita. Dan apabila syaitan takut kepada kita pasti kita tidak dipengaruhinya untuk buat perkara yang Nabi s.a.w. tak suka dan Allah ta'ala juga tak suka.
.
.
La haula wala quwwata illa billah..~
blog tok wan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Anda Berkenan .

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...