Jumaat, 5 Februari 2016

Fakta - Bahaya sinar UV

 

Kita sering memberikan perlindungan terhadap kulit daripada sinaran ultralembayung (UV - ultraviolet) kerana pendedahan berlebihan boleh merosakkan kulit. Namun, kita tidak menyedari pendedahan berlebihan sinar berkenaan terhadap mata juga boleh merosakkan organ penting itu.

Seperti mana sinar UV boleh menyebabkan kulit terbakar, berkedut, mengalami penuaan dan menyebabkan kanser kulit, kesan sama juga boleh menjejaskan mata. Kerosakan mata berlaku kerana kira-kira 99 peratus sinar UV diserap oleh bahagian depan mata. Kesan kronik kerosakan mata akibat pendedahan berlebihan kepada sinar UV juga boleh menyebabkan kebutaan.

Kesan buruk sinar UV pada kelopak mata boleh menyebabkan ia mengalami ‘actinic keratosis’ iaitu tompokan kulit bersisik dan berkerak. Masalah ini jika dibiarkan berlarutan tanpa rawatan, sedikit demi sedikit membentuk kanser kulit pada mata.



Kornea mata juga mengalami selaran matahari dikenali ‘photokeratitis’ yang menyebabkan mata merah, berair, sakit dan sensitif pada cahaya, manakala pembentukan lemak pada kornea dikenali ‘actinic keratophaty’ mengakibatkan keradangan.

Konjuktiva iaitu selaput mukus jernih yang menyelaputi mata putih dan melapisi bahagian dalam kelopak mata juga terjejas dengan pembentukan tisu hingga menutup pupil mata (pterygium) dan pembentukan benjolan kuning (pinguecula) hingga mengganggu penglihatan.

Retina mata juga boleh tercedera akibat terdedah kepada cahaya terang (solar retinopathy), lapisan halus tisu yang melapisi bahagian belakang dalam mata rosak sekali gus menjejaskan keupayaan untuk menghantar isyarat cahaya ke otak (retinal degeneration). Pendedahan sinar UV berlebihan juga meningkatkan risiko katarak iaitu pengeruhan kanta mata hingga mencacat penglihatan.

Pakar Perunding Oftalmologi Kanak-kanak di International Specialist Eye Centre (ISEC), Dr Choong Yee Fong berkata, kanak-kanak juga orang dewasa mudah terkesan jika terdedah kepada sinar UV yang merosakkan mata.

Kesan sinar UV didapati kian terkumpul apabila kajian mendapati seseorang terdedah kepada cahaya matahari kira-kira 80 peratus daripada keseluruhan hidupnya sebaik berusia 18 tahun. Kanak-kanak pula mudah berisiko mengalami kerosakan mata akibat sinar UV kerana kanta mata mereka tidak terdaya menghalang kemasukan sinar UV ke dalam mata seperi kanta mata orang dewasa.

Sejurus dilahirkan, sinar UV tersebar hampir sepenuhnya menerusi kanta mata ke retina kerana kanta mata bayi belum cukup matang untuk menyekat sinar UV. Penyebaran itu berkurangan seiring kanta mata kian matang dan pada usia 25 tahun, kanta mata menyerap semua sinaran UV.

“Disebabkan kerosakan mata bersifat kumulatif, oleh itu adalah penting untuk kita melindungi mata setiap hari daripada terus-menerus terdedah kepada sinar UV berlebihan atau cahaya terang.

“Ibu bapa mempunyai tanggungjawab penting dalam penjagaan mata anak mereka kerana kanak-kanak menghabiskan banyak masa mereka dengan bermain bawah cahaya matahari.

“Malah, dengan menekankan kesihatan mata sejak kecil, ia dapat memupuk tabiat penjagaan mata kanak-kanak berikutan segelintir kerosakan mata tidak dapat dipulihkan dan seseorang boleh hilang deria penglihatannya,” katanya.

Dr Choong berkata, melindungi mata daripada kesan buruk sinar UV sebenarnya mudah iaitu dengan memakai cermin mata gelap yang ada perintang sinar UV.

“Kanak-kanak juga perlu dipakaikan cermin mata gelap ketika mereka berada di luar rumah terutama pada hari panas terik kerana setiap selaran yang terkena akan memberi kesan apabila usia meningkat.

“Malah, sebelum usia mencapai 18 tahun lagi mereka perlu lebih kerap memakai cermin mata gelap berbanding orang dewasa bagi mengurangkan sebanyak mungkin kesan kerosakan pada mata mereka akibat sinar UV,” katanya.

Menurut Dr Choong, pemakaian cermin mata gelap untuk kanak-kanak juga tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya dan memerlukan nasihat pakar mata kerana dikhuatiri bersandarkan maklumat kurang tepat, tidak merasai manfaat penuh cermin mata gelap dengan perintang sinar UV.

“Nasihat daripada pakar mata adalah penting kerana bimbang cermin mata yang diguna tidak sesuai dengan mata. Sebelum memilih cermin mata gelap, kanak-kanak digalakkan menjalani pemeriksaan mata kerana alatan yang tidak sesuai boleh menyebabkan kerosakan mata.

“Apapun, setiap orang patut mengelak melihat matahari secara terus sebaliknya sentiasa melindungi mata dengan pemakaian cermin mata gelap bagi memastikan penglihatan kekal baik bagi tempoh jangka panjang selain mengelak timbul masalah seperti katarak kemudian hari,” katanya.
mymetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...