Selasa, 24 Januari 2012

Jangkitan Kuman Bukan Penyebab Utama Kematian Mengejut Dua Bayi: KP Kesihatan

KUALA LUMPUR, 24 Januari (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Selasa mengesahkan jangkitan kuman bukan penyebab utama kematian mengejut membabitkan dua bayi di Pusat Jagaan Kanak-Kanak Adila Kids, di Taman Permata, di sini, Khamis lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman berkata ini berdasarkan keputusan awal pemeriksaan histopatologi sampel tisu paru-paru dan beberapa organ lain kedua-dua bayi tersebut.

Bagaimanapun, beliau berkata kemungkinan kejadian tersedak susu sebagai penyebab utama kematian mengejut kedua-dua bayi tersebut masih belum dapat ditolak.

"Keputusan muktamad akan hanya dapat dibuat setelah semua keputusan ujian termasuk ujian analisis kimia oleh Jabatan Kimia diperolehi, yang dijangka mengambil masa antara dua hingga tiga minggu lagi," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Pada Khamis lalu, dua bayi lelaki, Muzaffar Mohd Faizal berusia tiga bulan setengah dan Arif Amsyar Ruhi Budiman, 7 bulan, yang ditinggalkan di pusat asuhan tersebut meninggal dunia dipercayai akibat tersedak susu.

Katanya memandangkan laporan polis telah dibuat oleh waris kedua-dua bayi itu, kejadian itu kini sudah menjadi kes perundangan perubatan dan laporan akhir berhubung kes tersebut akan diserahkan oleh kementerian itu kepada pihak polis bagi tindakan lanjut.

Dr Hasan berkata sehingga semalam 53 daripada 55 kanak-kanak yang dijagai pusat jagaan tersebut dalam keadaan sihat, sementara dua lagi mengalami demam selsema yang ringan.

Kementerian itu juga mendapati tiada wabak penyakit berjangkit yang serius berlaku di kalangan kanak-kanak di pusat jagaan tersebut berdasarkan kajian epidemiologi serta keputusan ujian makmal.

"Sejumlah sembilan sampel tekak yang diambil di kalangan kanak-kanak di pusat jagaan tersebut, telah diuji dan didapati negatif terhadap virus Influenza A," katanya.

Beliau berkata anggota kesihatan telah membuat pemeriksaan ulangan di pusat jagaan berkenaan dan turut memberi tunjuk ajar daripada segi aspek penjagaan bayi dan amalan kebersihan diri serta persekitaran kepada pengasuh pusat tersebut.

Kesemua tujuh pekerja pusat jagaan itu telah diarahkan untuk menjalani pemeriksaan perubatan rutin, dan pusat jagaan itu akan hanya dibenarkan beroperasi apabila semua syarat operasi termasuk nisbah pekerja dengan kanak-kanak dipatuhi.

bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...