Isnin, 30 April 2012

Budak Yang Mempunyai Tahi Lalat Gergasi Selamat dibedah


                      KEADAAN belakang Montalvo sebelum pakar bedah membuang tahi lalat gergasi.

BOGOTA: Nasib ‘budak penyu’ yang mempunyai tahi lalat gergasi pada badannya kini berubah selepas dia menjalani pembedahan membuang ketumbuhan berkenaan, lapor media semalam.

Berasal dari Colombia, Didier Montalvo, 6, lahir dengan masalah itu - dikenali dalam istilah perubatan sebagai Congenital Melanocytic Nevus - dan berpotensi membahayakan dirinya.

Bagaimanapun, disebabkan keadaan ekonomi ibunya, Luz, tidak mengizinkan, mereka gagal mengumpul wang mencukupi bagi membolehkan dia menjalani pembedahan membuang tahi lalat berkenaan.



MONTALVO selepas dibedah.
Hidup di kawasan pedalaman juga menyebabkan keluarga Montalvo terikat dengan kepercayaan tahyul.

Berdasarkan pandangan pawang, budak itu dipercayai mula menjadi janin ketika gerhana.

Mereka juga bimbang Montalvo mungkin diganggu roh jahat dan ia akan menghalangnya untuk bersekolah atau dibaptiskan.

Namun, sekumpulan doktor, diketuai pakar pembedahan plastik dari Britain, Neil Bulstrode, menawarkan diri membantu Montalvo secara percuma selepas mengetahui kisahnya.

Menurut Bulstrode, dia pergi ke Bogota untuk membantu sekumpulan pakar bedah negara itu membuang tanda lahir pada badan kanak-kanak terbabit.

Disebabkan tahi lalat itu terlalu besar, doktor terpaksa menjalankan siri pembedahan yang merangkumi beberapa tahap.

Kata Bulstrode, kejadian menimpa Montalvo adalah kes paling serius pernah dihadapinya.

“Kira-kira tiga per empat badan budak itu terjejas akibat tanda lahir berkenaan,” katanya. Untuk membolehkan Montalvo membesar seperti kanak-kanak biasa, kata Bulstrode, budak itu perlu melalui sejumlah pembedahan menyakitkan.

“Tapi kami berpendapat, ia memang berbaloi,” katanya. Setakat ini, pakar perubatan belum mengetahui dengan jelas bagaimana tanda lahir seumpama itu boleh berlaku, tetapi ia mungkin membabitkan perubahan sel kulit pada janin akibat mutasi gen. - DM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...