Ibu
itu menangis di hadapan saya. Dia seorang ibu tunggal. Suaminya entah
sudah hilang ke mana. Oleh kerana kesempitan dia terpaksa membuat
pelbagai jenis kerja untuk menyara hidup dan menanggung dua orang
anaknya yang sedang bersekolah.
Anak
sulungnya seorang perempuan yang sedang belajar di Tingkatan Dua. Anak
keduanya seorang lelaki yang sedang belajar di sekolah rendah. Anak
perempuannya yang tidak pulang ke rumah.
Saya
kenal akan pelajar ini kerana pernah dirujuk kepada saya atas masalah
ponteng. Dia pernah didenda, dan diberikan nasihat. Pelajar ini agak
cantik tetapi tidak dapat menumpukan perhatian dalam kelas.
Ibunya
memberikan beberapa nama pelajar lain yang sering kali bersamanya. Dia
meminta saya mencari anaknya. Dia sangat bimbang akan keselamatan
anaknya kerana sudah semalaman tidak pulang ke rumah.
Setelah
berbincang dengan pembantu saya, kami keluar mencari pelajar yang
hilang. Kami mencari di bandar, di tempat-tempat hiburan dan di
taman-taman. Akhirnya berjaya juga kami menemui pelajar tersebut bersama
seorang pelajar lain sedang bermain buaian.
Mereka
tidak lari melihat kedatangan kami dengan bas sekolah. Mereka juga
tidak kelihatan takut. Mereka penat dan seolah-olah hilang arah tuju.
Kami membawa mereka kembali ke sekolah.
Secara
berasingan kami betemu dengan kedua-dua orang pelajar sekembali ke
sekolah. Oleh kerana permintaan ibunya, saya memilih untuk menyoal
pelajar Tingkatan Dua tadi. Kami berbual agak panjang. Saya tidak marah
kepadanya kerana tidak pergi ke sekolah tetapi cuba mendapatkan cerita
sebenar di sebalik tindakannya itu.
Dia
tidak banyak bercakap pada mulanya. Tetapi apabila soalan yang sama
tetapi ditanya dengan pelbagai cara akhirnya dia terperangkap dan rahsia
terbongkar sedikit demi sedikit. Dia keluar bersama teman lelakinya.
Mereka berdua-duaan dalam kerete di tepi pantai. Sebelum subuh mereka
kembali ke rumah teman lelakinya. Ibu bapa lelaki itu sudah tidur.
Mereka tidur bersama.
Itulah
pengakuannya setelah hampir sejam kami bercakap. Dia tahu dia telah
melakukan kesalahan dan tidak berani pulang ke rumah kerana tidak mahu
menghampakan ibunya. Dia sayang dengan ibunya dan mengharapkan kasih
sayang tetapi ibunya terlalu sibuk mencari nafkah.
Dia
faham akan tanggungjawab dan pengorbanan ibunya terhadap dirinya dan
juga adik lelakinya. Dia juga sedar betapa tinggi harapan ibu kepadanya.
Dia anak sulung. Dialah yang diharapkan akan dapat belajar
bersungguh-sungguh dan menjadi orang yang berjaya.
Namun
apakan daya, sebagai seorang gadis meningkat remaja dia juga
mengharapkan kasih sayang daripada ibu bapanya. Bapanya sudah
menghilangkan diri entah ke mana sejak dia masih kecil. Ibunya sekadar
dapat memberikan keperluan material kepadanya.
Bentuk
kasih sayang yang dapat diberikan oleh ibunya adalah sekadar keperluan
asas. Pengorbanan ibu untuk anak-anaknya sebenarnya lahir daripada kasih
sayang yang amat mendalam. Tetapi anak kecil yang membuat perbandingan
dengan orang lain, dengan kawan lain, dengan keluarga lain yang lebih
bahagia, merasa kecil hati dengan apa yang apa pada dirinya.
Meminta
seorang gadis muda berumur 14 tahun untuk menerima realiti hidup pada
usia yang terlalu muda amat kejam. Dia tidak dapat menerimanya. Lalu dia
mencari kasih sayang daripada kawan-kawannya, dan berakhir dengan teman
lelakinya.
Apabila
sudah terlanjur dengan perbuatan diri sendiri ditambah dengan
kesempatan yang diambil oleh teman lelakinya, penyesalan sudah
terlambat. Apa lagi yang boleh dilakukannya?
Saya
sedar dan turut bersedih akan perasaan dan apa yang menimpa dirinya.
Saya bertambah sedih memikirkan perasaan ibunya apabila diberitahu
keadaan yang sebenar. Saya tidak dapat bayangkan bagaimana reaksinya
nanti.
Tetapi
apa lagi pilihan yang lebih baik yang ada untuk kami jika tidak
memberitahu perkara ini kepada keluarganya? Nasi sudah jadi bubur.
Setelah berbincang dengan pembantu saya dan setelah mendapatkan nasihat
daripada pengetua kami, kami mengambil keputusan untuk menelefon ibunya.
Pada
ketika itu sudah hampir jam tujuh malam. Semua guru dan pelajar sudah
pulang meninggalkan sekolah semenjak jam 6 petang lagi. Hanya kami
berempat sahaja yang masih tinggal di sekolah.
Sebentar
kemudian ibunya datang dengan seorang lagi ahli keluarga lain yang
tidak kami kenali. Dengan hati yang berat kami memaklumkan apa yang kami
dapati daripada siasatan kami. Ibunya terkejut besar mendengar apa yang
kami katakan.
Kedua
beranak itu terus memeluk satu sama lain dan mula menangis. Tugas kami
terpaksa dihentikan setakat itu sahaja. Kami tidak boleh mencampuri
urusan rumah tangga mereka. Mereka terpaksa mencari penyelesaian yang
terbaik.
Beberapa
hari kemudiannya kami dimaklumkan pelajar tersebut telah meminta untuk
berhenti sekolah. Teman lelakinya sanggup mengahwininya setelah sedar
bahawa jika dia tidak mahu bertanggungjawab dia akan dihukum merogol
gadis bawah umur.
Apa
yang boleh kami lakukan sekadar mendoakan semoga mereka bahagia. Tetapi
doa kami tidak kesampaian. Belum sampai setahun mereka berkahwin mereka
telah bercerai. Pelajar perempuan berumur 14 tahun tadi menjadi janda
dalam sekelip mata. Teman lelaki atau bekas suaminya terlepas daripada
sebarang pendakwaan undang-undang.
Bayangkan
masa depan seorang gadis dihancurkan begitu sahaja apabila tersilap
langkah. Bayangkan betapa hancurnya hati ibunya yang banyak berkorban
untuk anaknya. Menanggung malu barangkali perkara yang kedua tetapi
apabila masa depan seorang anak dimusnahkan begitu sahaja bukanlah
senang untuk diterima oleh seorang ibu tunggal.
Apa
yang terjadi sudah terjadi. Tiada gunanya kita persalahkan sesiapa
kerana yang hilang tetap sudah hilang. Tetapi siapakah pula yang akan
menjadikan kejadiaan ini sebagai teladan kepada ramai lagi anak-anak
muda yang sedang menjejak kasih yang tidak mungkin? Siapakah yang akan
memastikan bahawa perkara yang sama tidak berlaku lagi pada anak-anak
yang lain?
Biarpun
peristiwa ini sudah lama berlalu tetapi apa yang berlaku masih jelas
dalam ingatan saya. Ia menyentuh hati saya dengan begitu mendalam
sekali. Saya cuma sedar apabila sesuatu yang buruk berlaku biar apapun
yang kita lakukan kita tidak dapat mengubahnya.
Biarpun
kita sering memberikan nasihat dan memberikan peringatan, sebelum
seorang benar-benar terjerat dan terperangkap dalam rasa ingin tahunya
sendiri, dia tidak akan dapat memahami betapa nasihat seorang guru atau
ibu bapa begitu penting.
Anak-anak
muda yang sedang meningkat remaja biasanya terlalu mudah untuk
dipengaruhi. Tanpa hubungan yang rapat di antara anak dengan ibu bapa
pada waktu ini, satu kesilapan kecil sahaja mungkin membawa padah yang
terasa sehingga seumur hidup.
Berapa
hari yang lepas apabila saya mengunjungi sebuah syarikat kerana urusan
pekerjaan. Salah seorang kakitangan di sana mengecam saya. Katanya dia
pernah berjumpa dengan saya beberapa tahun yang lepas. Saya memerhatikan
wanita tersebut beberapa ketika tetapi saya tidak dapat mengingati sama
ada saya pernah berjumpa dengannya atau tidak.
Dia
kemudian memberitahu saya bahawa dia pernah berjumpa dengan saya semasa
saya menyampaikan satu ceramah motivasi kepada ibu bapa dan
pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan SPM dan PMR. "Cikgu
Leelah yang best," katanya. Merah muka saya dipujinya.
Dalam
sesi motivasi tersebut saya menekankan pentingnya ibu bapa menjalinkan
hubungan yang mesra biarpun anak-anak mereka meningkat remaja. Adalah
menjadi kebiasaan anak-anak remaja lebih suka berkongsi masalah dengan
rakan sebaya mreka.
Bagi
saya ibu bapa harus mengambil tahu apa yang anak-anak mereka lakukan di
sekolah dan juga di luar rumah. Jika ibu bapa kurang mengambil tahu
dengan alasan sibuk maka hubungan mereka dengan anak akan menjadi
renggang.
Anak-anak
akan beranggapan ibu bapa mereka semakin hari semakin tidak memahami
perasaan mereka. Ini secara tidak langsung memaksa anak-anak kita
mencari sahabat lain dan mendapatkan kasih sayang yang mereka perlukan
daripada orang lain.
Saya
juga mencadangkan bahawa salah satu cara untuk merapatkan hubungan di
antara anak dengan ibu bapa ialah dengan cara sentuhan secara fizikal
dan yang paling baiknya dengan pelukan. Malah saya membuat demonstrasi
dengan meminta semua yang hadir bangun dan cuba memeluk diri mereka
sendiri.
Saya
bertanya kepada mereka apakah perasaan apabila dipeluk. Mereka jawab
seronok. Ada yang menjawab merasa diri mereka diperlukan. Kemudian saya
meminta mereka berpelukan antara ibu atau bapa dengan anak-anak mereka.
Permintaan
saya ini tidak disambut dengan segera. Ramai yang merasa begitu janggal
walaupun sekadar memeluk anak mereka sendiri. Setelah permintaan saya
diulangi dan diyakinkan bahawa berpelukan begitu sebenarnya satu tanda
kasih sayang.
Maka
satu demi satu mereka mula mendekati satu sama lain dan mula
berpelukan. Percayalah saya tidak pernah melihat keadaan yang begitu
terharu sekali. Begitu ramai anak dan ibu bapa yang menangis apabila
mereka berpelukan. Pelukan yang begitu lama diharapkan tetapi tidak
pernah dizahirkan. Hari ini saya telah berjaya membawakan pelukan yang
mereka tunggu-tunggu. Saya sendiri turut menitiskan air mata menyaksikan
suasana yang sungguh mengkagumkan.
Saya
dapat bayangkan telah sekian lama hubungan yang renggang di antara ibu
bapa dengan anak-anak mereka telah menjejaskan komunikasi yang sebenar
di antara mereka. Biarpun dengan satu pelukan ini, saya percaya saya
telah berjaya merapatkan hubungan mereka. Pastinya hubungan yang baik
akan dapat memberikan lebih banyak sokongan dan keyakinan kepada
anak-anak mereka untuk menghadapi peperiksaan.
Bagi
saya matlamat sesi motivasi saya telah berjaya. Apabila bertemu semula
dengan ibu bapa yang pernah mendengar ceramah saya dan diberitahu bahawa
anaknya telah berjaya mendapat keputusan yang lebih baik daripada
dijangkanya, saya bertumpang gembira.
Saya
hanya mengharapkan lebih ramai ibu dan bapa memeluk anak-anak mereka
dan begitulah sebaliknya. Biar apa juga keadaan keluarga kita, tidak
usah menyalahkan orang lain tentang apa yang berlaku. Kita sendiri dapat
memberikan kasih sayang, biar dalam bentuk yang berbeza. Kita sendiri
bertanggungjawab untuk mencari kebahagiaan untuk keluarga kita.
p/s:Tidak usahlah menjejak kasih dari luar, semuanya ada dalam tangan kita. Mahu atau tidak, itulah yang membezakannya.
puspitakirana.blogsport
Tiada ulasan:
Catat Ulasan