Kira-kira jam 3 petang polis menerima panggilan kecemasan dari Gunung Nuang, Hulu Langat meminta bantuan akan kes menyelamatkan seorang pendaki yang cedera.
Lebih menggusarkan, apabila panggilan turut menyatakan bahawa mangsa diserang histeria.
Cabaran paling utama ialah untuk sampai ke lokasi mangsa dengan keadaan cuaca buruk, trek yang licin, curam, bergaung dan risiko pokok tumbang di pertengahan pendakian.
Rujuk kes ini di dalam ondscene:
16 September 2011 - Kes Gunung Nuang 1-Malam Yang Gelap
17 September 2011 – Kes Gunung Nuang 2-3 Pendaki Cedera
Untuk operasi menyelamat di sini, cara paling cepat untuk sampai di pertengahan pendakian ialah mengunakan pacuan 4 roda, tetapi yang telah diubahsuai dengan segala kelengkapan ‘hardcore’ dan mereka yang benar-benar pakar mengendalikannya.
Walaupun risikonya begitu tinggi terutama dalam cuaca buruk, 4 x 4 amat diperlukan dalam operasi ekstrem sebegini.
Pasukan bantuan awal terdiri dari anggota bomba dan JPAM memulakan perjalanan naik kira-kira jam 5 petang setelah 2 buah 4 X 4 sedia untuk membawa mereka.
Dan akhirnya kira-kira jam 6 petang, setelah lebih 1 jam 4 X 4 mendaki dalam hutan belantara , mangsa ditemui di ‘check-point’ pertama iaitu di Lolo bersama ahli kumpulannya.
Apakah yang berlaku sebenarnya?
Pagi, 10 Mac 2012, sekumpulan 38 pelajar dan 2 jurulatih @ pensyarah dari Wataniah Politeknik Port Dickson memulakan pendakian untuk perkhemahan di puncak Gunung dan dijangka turun semula 11 Mac 2012.
Kira-kira jam 1 petang, dalam pendakian dari Lolo ke Pacat (check-point ke 2), salah seorang pendaki, Norfatimahsa Mohamed Sazali, 19 tahun ,difahamkan tiba-tiba mengalami kekejangan otot dan tiba-tiba diserang histeria.
Keadaan menjadi agak panik dan usaha memulihkannya menjadi sukar kerana mangsa menjadi aggresif dan berlarutan kira-kira sejam.
Bantuan diperlukan segera, tetapi laluan itu tiada liputan telefon bimbit.
Akhirnya 2 ahli kumpulan terpaksa turun ke bawah sehingga Lolo untuk mendapatkan isyarat talian telefon bagi membuat panggilan kecemasan.
Mangsa dijumpai
Setelah pasukan penyelamat menemui mangsa, usaha untuk membawanya turun tergendala.
Mereka dimaklumkan mangsa akan meneruskan perkhemahan dan ketua ekspedisi juga enggan membatalkan perkhemahan dan akan meneruskannya juga.
Sementara itu, di kaki gunung, pusat operasi menyelamat yang mendapat makluman itu melalui radio 2 hala (walkie-talkie), terkedu mendengar maklumat tersebut.
Mangsa pula dilihat berada semakin lemah dan keputusan perlu diambil segera untuk membawa mangsa turun, kerana cuaca semakin gelap dan trek semakin merbahaya untuk dilalui.
Di lokasi kejadian, mangsa akhirnya di bawa turun juga kira-kira jam 7 malam, bersama 3 lagi rakannya sebagai pengiring, manakala ahli lain berada di Lolo.
Jam 7.45 malam, kenderaan yang membawa turun mangsa masih belum tiba di kaki gunung , dan keputusan terpaksa diambil segera untuk menghantar 5 kenderaan dan 5 anggota JPAM untuk mendaki sebagai ‘back-up’ dan mengambil baki 36 ahli untuk dibawa turun.
Bagaimanapun, semua kenderaan terbabit terpaksa berpatah balik kerana laluan yang terlalu merbahaya dan tidak memungkinkan kenderaan yang turun dapat berselisih dengan mereka kerana trek yang sempit dan hanya muat untuk 1 kenderaan melaluinya sehala.
Nota -
1-Gunung Nuang merupakan puncak tertinggi di Selangor, dengan ketinggian 1,498 meter dari aras laut.
2- Ia mempunya 3 ‘check-point’ sehingga tiba di puncak iaitu Lolo, Pacat dan Pengasih.
3 – Untuk tiba di ‘check-point’ pertama iaitu Lolo, ada 2 cara untuk tiba :
i-Berjalan kaki melalui trek mengambil masa kira-kira 45 minit untuk pendaki yang ‘fit’ dan sehingga 2 jam bagi pendaki amatur dan bergantung kepada cuaca.
ii-Pacuan 4 roda/motosikal scrambler – perjalanan kira-kira 30 minit. Laluan hanya muat untuk perjalanan satu hala pacuan 4 roda. Jika cuaca buruk, perjalanan sehingga 2 jam.
4 – Dari Lolo, tiada kenderaan dapat melaluinya dan mesti mendaki secara berjalan mengambil masa kira-kira 20-45 minit ke Pacat.
5 – Dari Pacat, perlu mendaki lagi kira-kira 30-45 minit lagi untuk tiba ke puncak Gunung Nuang iaitu ‘check-point’ Pengasih.
ondscene
Tiada ulasan:
Catat Ulasan