Isnin, 14 Oktober 2013

Istiqamah

Ya Allah.. aku sangat cemburu apabila melihat sahabat-sahabat mampu berterusan atau dengan kata lainnya, istiqamah turun ke masjid/surau untuk solat fardu secara berjemaah.

Aku menjadi cemburu melihat sahabat-sahabat yang mampu istiqamah dalam pembacaan al-Mathurat selepas subuh dan selepas asar.

Aku cemburu kepada sahabat-sahabat yang mereka mampu istiqamah membaca Al-Quran setiap hari.

Aku cemburu kepada sahabat-sahabat yang mampu istiqamah dan maintain kan hafazan Al-Quran mereka malahan dapat menambahkan lagi ayat-ayat dan surah-surah hafazan bagi mereka yang belum habis menghafaz.



Aku merasa cemburu kepada sahabat-sahabat yang dapat istiqamah dalam mengamalkan solat sunat Dhuha tiap-tiap hari dan juga bagi mereka yang dapat istiqamah dalam solat sunat hajat. Lebih-lebih lagi kepada mereka yang dapat mengamalkan solat sunat rawatib.

Cemburu dengan sahabat-sahabat yang sentiasa berselawat ke atas junjungan mulia Rasulillah SAW. Selawat dan salam ke atas baginda. Dan juga sahabat-sahabat yang sentiasa beristighfar kepada Allah SWT dan sentiasa berzikir mengingati Allah SWT.

Sangat cemburu kepada sahabat-sahabat yang istiqamah dalam belajar ilmu agama (Tolabul Ilmi).
Aku terlalu cemburu kepada sahabat-sahabat yang istiqamah dalam membina kekuatan rohani iaitu qiamullail di waktu 2/3 malam.

Hadis nabi yang bermaksud:-
Daripada Syufyan Ibn Abdillah As-Saqafi berkata, Aku berkata, “Wahai Rasulullah katakanlah kepadaku satu perkataan dalam Islam yang aku tidak akan bertanya kepada seorang pun selain engkau. Baginda bersabda, “Katakanlah, “Aku beriman kepada Allah, kemudian beristiqamahlah (jangan menyimpang).”
(Hadis Riwayat Muslim)

Istiqamah merupakan satu perkara yang sangat payah untuk dilakukan. Kadang-kadang terasa kaslan (malas), kadang-kadang terasa nak menangguh, terkadang masa tak mencukupi. Hendak melakukan sesuatu amalan secara istiqamah bukanlah sesuatu perkara yang mustahil tetapi sesuatu perkara yang cukup mencabar keimanan seseorang muslim. Sebagaimana yang kita tahu, amalan yang sedikit tetapi kita istiqamah dalam melakukannya lebih baik daripada kita melakukan banyak amalan tetapi tidak secara istiqamah.

Namun jangan pula diambil mafhum ayat di atas dengan mengatakan :

“Aku nak pilih amalan yang sedikit je la, lagi senang kan….”

Betulkanlah kefahaman kita. Sesungguhnya bukanlah istiqamah di sini hanya sekadar cukup dengan amalan yang sedikit namun Rasulullah SAW lebih mendidik kita agar lebih mengutamakan kualiti daripada kuantiti. Selagi mana kita mampu beramal dan beristiqamah dengan amalan kita, teruskan. Dan sekiranya kita mampu lagi untuk menambahkan amalan kita dan dapat beristiqamah dengannya, maka teruskanlah. Setelah yakin dapat istiqamah dengan amalan itu, maka tingkatkanlah dengan amalan lain pula.  Itu yang seelok-eloknya.
Ingat sahabat-sahabat… manusia yang bodoh ialah manusia yang hari ini sama dengan hari semalam manakala manusia yang pandai dan berjaya ialah manusia yang hari ini lebih baik dan ada peningkatan daripada hari semalam.

Teringat kepada kata-kata seorang teman,

“Payah ke istiqamah? Tengok aku, istiqamah je main game FIFA/PES.”

Saya hanya ketawa tanpa berkata apa-apa dan hanya berfikir itu hanyalah gurauan semata walaupun sebenarnya kata-kata itu menyedarkan saya tentang sesuatu iaitu istiqamah! Hati saya terdetik, mungkin Allah mahu memberitahu saya :

“Jika kita mahu mengekalkan dan istiqamah dalam melakukan sesuatu, kita mesti punya minat dalam melakukan ia. Dan dari sudut lain, perlu ada kesedaran betapa bermaknanya sesuatu itu. Memaknakan sesuatu yang bermakna! 

Justeru, minat, kecintaan dan kesungguhan dalam melakukan sesuatu perkara juga perlu untuk disebatikan di dalam diri. Demikianlah para  ulama’ yang sentiasa  istiqamah di dalam ibadah yang dilakukan. Di dalam hati mereka hanya ada cinta kepada Allah dan Rasul-Nya lantas mereka dapat merasakan kekusyukan dan kemanisan dalam beribadat kepada yang Maha Esa.

Lantaran didikan Rasulullah SAW itu lah, mereka sentiasa istiqamah dan menjadi hamba yang punya kualiti di dalam ibadahnya, punya taqwa yang tinggi di dalam hatinya. Kita?

“Ya Allah, jauhnya darjat ku ni berbanding dengan mereka ini. Semoga aku dapat bersama dengan mereka beristiqamah dalam agama islam. Insya Allah…”

“Maka tetaplah (istiqamahlah) kamu pada jalan yang benar, sebagaimana diperintahkan kepadamu dan (juga) orang yang telah taubat beserta kamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan”. 
(Surah Hud, ayat 11)

Ambillah pedoman daripada cerita sang Abid, Barsisa yang tekun beribadat selamat 70 tahun, namun kecundang dengan tipudaya syaitan. Berakhir dengan sujud kepada syaitan dan kufur kepada Allah. Ia menunjukkan betapa hebatnya cabaran dan susahnya untuk istiqamah dalam beribadah kepada Allah. Kita sering kali gagal untuk terus istiqamah kerana pujuk rayu syaitan yang menggiurkan.

Berhubung dengan ini,  Allah SWT menyatakan di dalam firmanNya yang berbunyi:-

“Dan ketika syaitan mencantikkan bagi mereka perbuatan mereka, dan dia berkata, ‘Tidak ada seorang manusia pun yang dapat mengalahkan kamu pada hari ini, dan sesungguhnya aku adalah pelindungmu.”
(Surah Al-Anfaal, ayat 48)

Semoga Allah jauhkan kita daripada perkara-perkara yang menyebabkan manusia tergelincir dari jalan islam dan tergolong dari mutasaqitun (golongan yang tercicir).

“Ya Allah. Istiqamahkan kami dalam ketaatan kepada-Mu dan tetapkan langkah kami dalam memperjuangkan agama-Mu. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.”

- Artikel iluvislam.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...