Alhamdulillah, ini
adalah antara artikel yang sempat saya kirimkan dan kiriman yang ulung
kali dalam tahun ini (2013) dalam merungkai sebuah misteri lama di zaman
nabi Allah Sulaiman as. Isu Haikal Nabi Sulaiman pernah saya kupaskan
sebelum ini dalam sebuah artikel saya yang bertajuk “Keruntuhan Al Aqsa
Petanda Awal Kiamat“, saya tergerak untuk mengkaji sejarah misterinya
sebagai satu bahan ilmiah yang mungkin boleh dikongsikan bersama kepada
semua pembaca. Sesungguhnya Sejarah Haikal Sulaiman bermula di
Baitulmaqdis dan merupakan sebuah kota yang terletak di dalam wilayah
Palestin dan diiktiraf sebagai kota ketiga paling suci bagi umat Islam
selepas Mekah dan Madinah. Dalam kalangan masyarakat antarabangsa, kota
ini lebih dikenali dengan nama Jerusalem yang bermaksud ‘tempat yang
aman untuk didiami’.
Catatan sejarah
menunjukkan kota ini telah diduduki manusia selama sekitar 5,000 tahun
sekaligus merupakan antara kota yang tertua di dunia dan masih dihuni
sehingga sekarang. Kota ini merupakan tempat pertembungan antara tiga
agama samawi iaitu Islam, Yahudi, dan Kristian bahkan setiap agama
mempunyai kawasan masing-masing di sekitar kota lama yang mengelilingi
sebuah tanah tinggi yang terkepung dengan tembok yang tinggi lagi kukuh.
Masyarakat dunia
menamakan kawasan tanah tinggi ini sebagai ‘Mount Temple’ disebabkan
sejarahnya yang pernah menempatkan kuil Yahudi kuno iaitu dipanggil juga
sebagai Haikal Sulaiman sebelum ia dimusnahkan, dibina semula dan
sekali lagi dimusnahkan selepas kota ini dijajah oleh kerajaan-kerajaan
yang berbeza.
Mengikut catatan
sejarah, umat Islam pada era awal Islam dahulu menggelarkan kawasan di
mana terletaknya ‘Mount Temple’ sebagai Madinah Baitulmaqdis yang
membawa erti ‘City of the Temple’ yang mengambilkira akan kewujudan
Haikal Nabi Sulaiman A.S yang menjadi tempat ibadat pertama kaum Yahudi
sebelum dimusnahkan oleh orang Babylon pada tahun 586 sebelum Masihi.
Selepas kemusnahan
pertama itu, Haikal ini dibina semula kira-kira selepas 70 tahun
kemusnahan pertamanya apabila orang Babylon berjaya diusir, namun ia
diruntuhkan kembali pada tahun 70 Masihi oleh Empayar Roman. Manakala
kawasan kota yang wujud di sekeliling ‘Mount Temple’ ini dipanggil
Iliya, berasal daripada nama ‘Aelia Capitolina’ yang diberikan semasa
penjajahan orang Roman. Kawasan ‘Mount Temple’ pada asalnya agak tinggi
dengan keadaan yang tidak rata tetapi pada tahun 19 sebelum Masihi,
pemerintah ketika itu iaitu Herod the Great telah membina tembok tinggi
mengelilingi kawasan ini lalu meratakan permukaannya di dalam kawasan
tembok sepertimana keadaan sekarang.
Selepas pengislaman Kota
Baitulmaqdis yang bermula ketika zaman khalifah Umar al-Khattab, nama
‘Mount Temple’ telah ditukarkan kepada Haram al-Sharif yang
menggambarkan kedudukan kawasan suci ini yang mendapat tempat yang mulia
di dalam Islam sementara kota disekitarnya inilah dinamakan
Baitulmaqdis.
Pada Zaman Khalifah
Sulaiman iaitu salah seorang khalifah di dalam era Turki Uthmaniyyah,
beliau telah membina semula dinding seakan-akan sebuah tembok di
sekeliling kota Baitulmaqdis. Sekarang ini Baitulmaqdis yang asal
dirujuk sebagai kota lama Baitulmaqdis iaitu kawasan yang dikepungi
tembok tadi. Di kota inilah terletaknya Masjid al-Aqsa yang telah
disebut di dalam kitab suci al-Quran dan al-Hadis yang mana beribadat di
dalamnya mendapat seribu ganda pahala berbanding di tempat-tempat lain.
Masjid al-Aqsa di dalam
bahasa Arab bermaksud ‘masjid yang jauh’, merujuk pada jaraknya yang
berjauhan daripada bumi Mekah yang menempatkan Masjid al-Haram. Di sini
juga menjadi tapak kepada salah satu peristiwa terpenting di dalam Islam
iaitu Isra’ dan Mikraj yang mana ketika itu, Nabi Muhammad S.A.W telah
dinaikkan ke langit untuk menghadap Allah S.W.T. Baitulmaqdis juga
menjadi kiblat pertama umat Islam sebelum berpindah ke Mekah, iaitu
kira-kira selama enam belas bulan. Kedua-dua peristiwa besar Islam ini
iaitu pembinaan Masjid al-Aqsa dan peristiwa Isra’ Mikraj ini berlaku di
atas tapak Haram al-Sharif.
Selain itu, Masjid Kubah
Batu turut dibina berdekatan dengan Masjid al-Aqsa dan telah dibina
pada zaman pemerintahan Khalifah Abdul Malik semasa era Bani Umayyah.
Diriwayatkan senibina masjid ini yang begitu indah dengan kubah berwarna
keemasannya yang menonjol adalah untuk menyaingi kehebatan senibina
gereja-gereja di sekitar Baitulmaqdis yang menjadi tumpuan ramai
pelawat. Kini Masjid Kubah Batu menjadi antara monumen tertua orang
Islam yang sangat dikenali.
Masjid ini mendapat
namanya berikutan dipercayai didirikan di atas tapak batu terapung yang
terjadi ketika peristiwa Isra’ dan Mikraj. Ironinya batu ini juga
dianggap suci oleh penganut Yahudi disebabkan kepercayaan bahawa ia
merupakan pusat bagi ‘Mount Temple’ dan dianggap sebagai asas untuk
pembinaan kuil mereka satu masa nanti.
Tetapi menurut catatan
sejarah ketika Khalifah Umar al-Khattab r.a yang bertanggungjawab
menjadikan Baitulmaqdis sebagai salah sebuah wilayah Islam, setibanya di
kota ini beliau lalu bertanyakan mengenai batu yang menjadi tempatnya
Baginda Rasul dinaikkan ke langit, lalu ditunjukkan oleh penduduk kota
pada sebuah batu terbiar di atas tanah tinggi yang dikepungi oleh
tembok. Lebih malang apabila kaum Yahudi mengotorkan kawasan itu dengan
najis dan sampah sarap sebagai tanda penghinaan kepada lokasi peristiwa
Isra’ Mikraj itu. Khalifah Umar membersihkan kawasan itu bersama-sama
dengan orang Mukmin yang lain dan membina Masjid al-Aqsa buat kali
pertamanya di bumi Baitulmaqdis itu
Masyarakat Yahudi
menganggap Haikal ketiga dan sepatutnya menjadi yang terakhir seharusnya
dibangunkan di atas lokasi yang sama iaitu Haram al-Sharif bahkan
perkara yang sama turut dicatatkan di dalam kitab Injil. Perebutan tapak
suci inilah yang menjadi teras konflik antara Islam dan Yahudi
selanjutnya menjadikan kawasan suci ini sebagai tempat krisis yang masih
belum selesai sehingga sekarang.
Salah satu tembok yang
mengelilingi Haram al-Sharif ini, iaitu tembok di bahagian barat ataupun
‘Western Wall’ ini menjadi tempat suci bagi penganut Yahudi. Tembok
yang dibina lebih daripada 2,000 tahun yang lampau ini merupakan
satu-satunya bahagian Haikal kedua mereka yang masih wujud. Mereka
menganggap Tuhan mereka berada di sebalik tembok itu dan pandangan
mereka terhalang disebabkan dosa-dosa yang telah mereka lakukan. Oleh
kerana itu lokasi ini menjadi tempat mereka beribadat dan meratap di
atas dosa-dosa yang mereka lakukan dan amalan ini masalah berlangsung
sehingga sekarang ini, susulan dengan itu kadang-kadang tembok ini juga
dirujuk sebagai ‘Wailing Wall’ ataupun tembok ratapan.
Mengikut agama Kristian
pula, Baitulmaqdis juga mendapat kedudukan yang mulia dan dianggap
sebagai tanah suci mereka. Nabi Isa A.S yang dilahirkan di Baitullaham
iaitu sebuah bandar yang berhampiran dengan Baitulmaqdis terus dibawa ke
Baitulmaqdis sebaik sahaja dilahirkan. Semasa remajanya, penganut
Kristian percaya bahawa Nabi Isa A.S pernah berkhidmat untuk mencuci
Haikal kedua yang pada ketika itu masih tertegak utuh di Baitulmaqdis.
Selain itu juga, peristiwa penyaliban dipercayai berlaku di dalam
kawasan Baitulmaqdis tetapi lokasi yang tepat masih lagi menjadi
pertikaian sarjana-sarjana Kristian.
Pendapat yang paling
diterima ramai adalah peristiwa itu berlaku pada tapak di mana
tertegaknya sebuah gereja yang dianggap paling suci oleh penganut
Kristian iaitu Gereja ‘Holy Sepulchre’, salah sebuah gereja di dalam
kawasan kota lama. Di sini juga dianggap sebagai lokasi orang yang
mereka percayai sebagai Nabi Isa A.S dimakamkan. Kota Baitulmaqdis
sehingga kini masih menerima pengunjung Kristian yang ramai dari seluruh
dunia terutamanya menjelang musim Easter.
Perang Salib yang
berlaku pada 1099 Masihi juga menunjukkan keazaman penganut Kristian
untuk menawan tanah suci ini daripada penguasaan orang Islam dan mereka
telah berjaya menduduki kota ini selama kira-kira 200 tahun sehinggahlah
kota ini dibebaskan oleh panglima Islam yang unggul iaitu Salahuddin
al-Ayubbi pada tahun 1187 Masihi. Diriwayatkan bahawa ketika tentera
salib dihalau sepenuhnya dari kota, Salahuddin al-Ayubbi sendiri yang
membersihkan Masjid al-Aqsa yang dijadikan kandang kuda oleh tentera
salib, manakala Masjid Kubah Batu yang dijadikan sebagai gereja
dikembalikan fungsinya sebagai sebuah masjid.
Penguasaan orang Islam
berterusan sehinggalah ke akhir zaman Khalifah Uthmaniyyah yang
menyaksikan Baitulmaqdis dikuasai oleh British sehinggalah mandat
penguasaan itu tamat. Kewujudan negara Israel pada tahun 1948
menyaksikan peperangan antara Arab dan Yahudi berlaku untuk menguasai
wilayah Palestin yang ketika itu dibahagikan secara berat sebelah oleh
badan dunia PBB.
Penduduk Arab yang
mewakili dua pertiga diperuntukkan hanya sepertiga kawasan sementara
sepertiga Yahudi mendapat selebihnya tanah Palestin. Ketika itu PBB
mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai wilayah antarabangsa tetapi
pertempuran tentera Israel dan Arab menyebabkan bahagian barat kota
jatuh ke tangan Yahudi dan diisytiharkan sebagai ibu kota negara Israel
tetapi tidak diiktiraf oleh dunia.
Bahagian timur
Baitulmaqdis dikuasai oleh negara Jordan, termasuklah kawasan kota lama
Baitulmaqdis ini. Sehingga waktu ini, Haram al-Sharif merangkumi
keluasan hampir seperlima daripada keluasan kota lama Baitulmaqdis masih
dikuasai oleh orang Islam.
Kota lama Baitulmaqdis
terbahagi kepada empat bahagian. Bahagian pertama adalah bahagian orang
Islam iaitu bahagian yang terbesar antara kesemua bahagian, Kompleks
Haram al-Sharif adalah sebahagian daripada kawasan orang Islam. Bahagian
kedua adalah bahagian Yahudi dan selebihnya merupakan bahagian Kristian
dan bahagian Kristian Armenia, iaitu bahagian yang paling kecil antara
semua. Walaupun Orang Armenia juga merupakan penganut Kristian, tetapi
mereka mendapat kawasan mereka sendiri di dalam kota dan bilangan mereka
juga hanya kecil jika dibandingkan dengan kumpulan-kumpulan lain.
Ketika Jordan menguasai kota lama, penganut Yahudi tidak dibenarkan
beribadat di sekitar ‘Western Wall’ ataupun tembok ratapan itu dan
kebanyakan tempat ibadat Yahudi ditutup dan sebahagian bahagian orang
Yahudi di kota lama turut menempatkan penduduk Arab yang menjadi
pelarian akibat wilayah mereka dirampas oleh Israel.
Tetapi perang pada tahun
1967 merubah lanskap kota ini sampai sekarang. Penglibatan Jordan di
dalam perang negara-negara Arab dengan Israel menyebabkan bahagian timur
kota ini jatuh ke tangan Yahudi, lebih teruk apabila wilayah Palestin
yang selebihnya turut jatuh bersama sehinggalah ke Tebing Barat Sungai
Jordan. Mesir pula kehilangan Semenanjung Sinai dan Genting Gaza
sementara Syria terlepas Tanah Tinggi Golan.
Bermulanya kejatuhan
Baitulmaqdis ini menyaksikan banyak pencabulan dilakukan oleh bangsa
Yahudi ke atas Baitulmaqdis. Antaranya menjadikan kawasan ‘Western Wall’
sebagai tapak ibadat mereka selain pembinaan penempatan haram Yahudi
yang mengelilingi kejiranan Arab di dalam usaha memastikan kota ini
didominasi secara penuh oleh Yahudi. Penempatan masyarakat Yahudi turut
dibina di dalam bahagian orang Islam.
Rumah-rumah penduduk
Palestin dirampas dan digantikan dengan perumahan Yahudi. Lebih teruk
lagi apabila kerajaan Israel meluluskan akta yang menggabungkan timur
dan barat Baitulmaqdis sebagai satu kota dan menjadi ibu kota Israel
yang rasmi menggantikan Tel Avivyang sebelum ini menempatkan
kedutaan-kedutaan asing. Pejabat Presiden dan Perdana Menteri, kediaman
Presiden dan Perdana Menteri, bangunan Parlimen, Mahkamah Agung dan
kementerian-kementerian Israel semuanya dipindahkan ke Baitulmaqdis
secara beransur-ansur.
Masjid al-Aqsa juga
beberapa kali telah dicabuli termasuklah dibakar oleh fanatik Yahudi
sehingga membawa kemusnahan mimbarnya. Paling diingati adalah peristiwa
yang berlaku pada tahun 2000, lawatan penuh provokasi Perdana Menteri
Israel ketika itu iaitu Ariel Sharon ke kompleks Haram al-Sharif. Untuk
rekod, Ariel Sharon terlantar koma akibat serangan strok semasa masih
bertugas sebagai Perdana Menteri pada tahun 2006 dan masih tidak
sedarkan diri.
Perlu diingatkan bahawa
walaupun Israel menguasai kota ini secara total namun pengawalan
kompleks Haram al-Sharif diberikan kepada badan Islam sebagai kawasan
wakaf dan juga Raja Jordan dianggap sebagai penjaga Masjid al-Aqsa.
Bendera negara Israel juga tidak dibenarkan dikibarkan di sekitar Haram
al-Sharif. Penganut agama lain juga dilarang memasuki kompleks suci ini
dan askar-askar serta polis Israel berkawal di pintu masuk dan
pengunjung mesti membuktikan mereka ini adalah Islam sebelum memasuki
kompleks untuk beribadat. Langkah ini diambil bagi mengelakkan
terjadinya pertikaian seterusnya membawa kepada pertumpahan darah
memandangkan lokasi ini amat sensitif bagi semua penganut agama samawi.
Namun sampai bilakah
langkah ini berterusan menjadi tanda tanya memandangkan sikap kerajaan
zionis Israel sendiri yang suka melakukan provokasi ke atas penduduk
Palestin dan pengyahudian Baitulmaqdis bukan lagi sesuatu agenda yang
rahsia.
Hari ini, Kota
Baitulmaqdis masih berada di bawah kekuasaan bangsa Yahudi yang
menyimpan impian untuk meruntuhkan Masjid al-Aqsa yang mahu digantikan
dengan Haikal ketiga mereka yang dipercayai menjadi Haikal terakhir
mereka, malahan mereka bertungkus lumus melakukan aktiviti carigali di
sekitar kompleks Haram al-Sharif untuk menguatkan dakwaan pemilikan
mereka ke atas kawasan suci itu sebelum terbinanya masjid-masjid di
atasnya.
Mengikut berita yang
tersebar luas, mereka melakukan penggalian di bawah tapak masjid
sehingga meletakkan Masjid al-Aqsa dan Masjid Kubah Batu di dalam risiko
keruntuhan akibat aktiviti yang kononnya berlandaskan kerja-kerja
arkeologi itu. Kaum Yahudi kelihatan begitu teruja untuk merealisasikan
pembinaan Haikal Sulaiman mereka itu, bagi mereka pembinaan itu adalah
sesuatu yang menjadi tuntutan agama mereka dan perlu dilaksanakan, yang
menjadi persoalan hanyalah bila Haikal Sulaiman itu akan dibangunkan?
*Sumber dari johneox.wordpress.com
detik islam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan