Ahad, 15 Januari 2012

Kenali : Penyakit Kulit Psoriasis dan Kesannya

Sel kulit mati tidak sekata

pix_middle

RENDAH diri, malu, tertekan dan terasing antara perasaan yang dialami pesakit kulit psoriasis. Apabila penyakit menyerang, perasaan tidak mahu langsung berjumpa orang ramai membuak dalam diri.

Kulit pesakit akan menjadi berbintik atau membengkak, bertompok merah dan kulit pada bahagian berkenaan menebal serta keras. Ada kalanya tompokan sel ini berubah menjadi hitam akibat kehadiran melanin.

Dalam masa beberapa hari, kulit yang tebal menjadi tua dan apabila sel mati, ia tertanggal sendiri sebagai kepingan putih berkilat. Bahagian kulit yang tebal ini juga akan terasa gatal dan panas seolah-olah terbakar.

Perunding Dermatologi dan Pakar Bedah Laser, Dr Mohd Noh Idris, berkata psoriasis adalah penyakit kulit disebabkan proses penggantian kulit berlaku terlalu cepat, iaitu dalam masa tiga atau empat hari, berbanding individu normal yang mengambil masa lebih kurang 30 hari.


“Psoriasis ialah penyakit yang tidak boleh sembuh tetapi rawatan jangka panjang mampu mengawal penyakit ini. Adakala ia wujud dan sebaliknya. Ia berlaku disebabkan faktor keturunan, misalnya jika ibu bapa menghidap penyakit sama, kebarangkalian anak mendapat penyakit itu mencecah 70 peratus.

“Kepala, siku, lutut, tubuh badan dan muka pula antara bahagian yang sering diserang psoriasis, malah dianggarkan 30 peratus penyebab kepada penyakit sendi,” katanya ketika ditemui di Klinik Pakar Kulit miliknya di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

Beliau berkata, punca sebenar psoriasis masih tidak diketahui hingga kini, tetapi ia dipercayai mempunyai komponen genetik tinggi.

Antara faktor lain menjadi penyebab psoriasis bertambah buruk ialah tekanan, berhenti mengambil kortikosteroid, pengambilan alkohol yang berlebihan, merokok, jangkitan, kecederaan kulit dan tindak balas terhadap bahan kimia atau ubat-ubatan tertentu.

“Tahap jangkitan psoriasis bermula daripada tompok kecil pada satu bahagian hinggalah ke seluruh permukaan badan. Psoriasis menyebabkan tompok bersisik dikenali sebagai plak psoriatik dan ia adalah bahagian keradangan dengan pengeluaran kulit berlebihan.

“Seterusnya, kulit menjadi tebal dan keras di kawasan radang ini serta mengakibatkan sel mati berwarna perak. Ia sering didapati di siku, lutut, tetapi juga boleh dijangkiti di mana-mana bahagian badan termasuk kulit kepala, punggung, tapak kaki dan kemaluan,” katanya.

Sesiapa saja tanpa mengenal jantina dan umur boleh diserang penyakit ini. Begitupun, kebiasaannya ia berlaku buat pertama kalinya pada peringkat umur antara 15 hingga 25 tahun.

Luka radang pula boleh menimbulkan rasa pedih, gatal dan menyebabkan bahagian berkenaan kelihatan hodoh. Malah, psoriasis menggugat fizikal dan emosi pesakit.

Apabila ia berlaku, kulit menjadi merah, tebal (akibat berlebihan sel), keras dan menggelupas sebelum tanggal sebagai kepingan nipis berwarna putih keperangan.

Ia juga menyebabkan kulit menjadi gatal dan membuatkan pesakit sering menggaru hingga berdarah. Gejala ini juga bergantung kepada tahap dan bahagian yang diserang psoriasis.

Pesakit juga mungkin mengalami ketidakselesaan dan kecacatan fizikal yang kecil atau besar. Kegatalan dan kesakitan boleh mengganggu fungsi asas seperti penjagaan diri, berjalan dan tidur.

Pesakit psorisis juga alah kepada cahaya matahari. Jika terdedahkan, kulit akan menjadi merah jambu seperti warna ikan salmon manakala plak yang timbul pada bahagian tangan dan kaki juga mungkin menyebabkan pergerakan individu terbatas, terutama dalam bersukan, malah aktiviti riadah.

Plak yang tumbuh di bahagian kulit kepala pula boleh menjadi perkara memalukan disebabkan kepingan bersisik yang boleh menjadi kelemumur. Individu yang mengalami psoriasis mungkin berasa malu mengenai diri mereka dan mempunyai rasa rendah diri bimbang dijauhi masyarakat atau kebimbangan mengenai psikoseksual.

Kajian dilakukan Yayasan Psoriasis Kebangsaan Amerika Syarikat bersama 426 pesakit psoriasis pada 2008 menyatakan, 71 peratus menganggap penyakit ini menjadi masalah besar dalam kehidupan seharian mereka.

Pada masa sama, kajian berasingan melaporkan psoriasis juga memberi kesan terhadap kualiti kehidupan berasaskan kesihatan, terutama kepada 10 hingga 30 peratus pesakit, yang juga mungkin mengalami artritis psoriatik.

Dianggarkan 10 hingga 15 peratus pesakit muda mula mengalami masalah kulit sebelum berumur 10 tahun dan tahap serangan psoriasis ditentukan berdasarkan keadaan fizikal dan keluasan kulit yang mengalami keradangan.

Ia juga mengakibatkan kesan buruk terhadap penyakit kronik lain, misalnya kemurungan, bengkak jantung (myocardium infarction), hipertensi, kegagalan jantung kongestif atau kencing manis. Pesakit yang menghidapi psoriasis teruk juga biasanya mempunyai jangka hayat lebih pendek.

Jelas Noh, ramai masih keliru dan takut terhadap penyakit ini walaupun sebenarnya, ia tidak berjangkit.

Katanya, orang ramai tidak perlu risau jika berdepan kawan atau saudara mara kerana mereka juga seperti individu lain.

“Psoriasis bukan penyakit berjangkit dan ini satu fakta penting yang perlu disebarkan kepada umum supaya tanggapan dan kebimbangan mengenai penyakit itu dapat diperbetulkan.

“Mengenai rawatan, pesakit biasanya hanya diberi krim bergantung kepada tahap penyakit masing-masing. Methotrexate, Neotigason, Cyclosporine and Calcipatriol adalah ubat krim yang biasa diberi kepada pesakit,” katanya.


Jenis psoriasis:

  • Paling lazim adalah psoriasis yang bertompok

  • Jenis teruk yang memerlukan rawatan di hospital dipanggil erythrodermic psoriasis

  • Lampin psoriasis

  • Pustular psoriasis

  • Guttate psoriasis

  • Plaque psoriasis


    Mitos umum mengenai psioriasis:


  • MITOS 1: Psoriasis berjangkit.

    Hakikatnya: Psoriasis, terutama dalam bentuk sederhana atau teruk, mudah kelihatan di permukaan kulit. Disebabkan pertumbuhan abnormal sel kulit, tompok merah bersisik di kulit akan kelihatan.

    Bagaimanapun, psoriasis tidak berjangkit. Anda tidak boleh dijangkiti penyakit ini daripada orang lain dan tidak boleh memindahkannya kepada orang lain hanya dengan menyentuh mereka atau dekat dengan mereka.


  • MITOS 2: Psoriasis hanya penyakit kulit. Satu masalah kosmetik.

    Hakikatnya: Psoriasis ialah penyakit kronik dalam sistem imuniti badan yang menyebabkan pertumbuhan sel kulit tidak normal.

    Sel kulit biasa matang dalam masa 28 hingga 30 hari dan ia gugur daripada permukaan kulit. Tanpa disedari, sel kulit psoriatik mengambil masa hanya tiga hingga empat hari untuk matang dan timbul di permukaan kulit, menyebabkan sel berlapis dan membentuk luka bersisik.

    Luka psoriasis mengakibatkan kepedihan dan kegatalan, dan ia boleh pecah dan berdarah. Dianggarkan 30 hingga 50 peratus pesakit psoriasis menghidap artritis psoriasis yang menyebabkan kesakitan, kekejangan dan bengkak sekitar sendi.


  • MITOS 3: Psoriasis hanya memberi kesan kepada pesakit secara fizikal.

    Hakikatnya: Selain masalah fizikal, wujud juga kesan psikologi dan emosi dialami pesakit psoriasis. Mereka sering dilaporkan mengalami perasaan tidak berdaya, putus harapan, marah, kekecewaan dan kemurungan berkaitan keadaan kulit mereka dan bagaimana reaksi orang lain terhadap keadaan mereka.

    Ada pesakit yang menghidap psoriasis teruk mengalami tekanan sehingga ingin membunuh diri. Pesakit juga sering membandingkan kecacatan mereka dengan pesakit yang menghidapi penyakit kronik seperti kencing manis atau penyakit jantung.


  • MITOS 4: Psoriasis disebabkan tidak menjaga kebersihan.

    Hakikatnya: Psoriasis juga penyakit sistem imuniti badan dan tiada kena-mengena dengan faktor kebersihan. Punca yang boleh menyebabkan psoriasis termasuk jangkitan, tekanan atau kebimbangan, perubahan hormon, kecederaan kulit, alkohol, obesiti, pemakanan tidak sihat, dan ubat-ubatan tertentu.


  • MITOS 5: Psoriasis boleh diubati.

    Hakikatnya: Psoriasis penyakit kronik yang dialami seumur hidup.

    Tiada ubat yang boleh menyembuhkannya buat masa ini tetapi dengan pilihan rawatan terbaru dan sedia ada yang dipertingkatkan, pesakit kini mempunyai pelbagai kaedah untuk membantu mengawal simptom ini.


  • MITOS 6: Psoriasis mudah didiagnosis.

    Hakikatnya: Kebanyakan keadaan yang memberi kesan kepada kulit kelihatan lebih kurang sama, contohnya simptom awal psoriasis, seperti kegatalan dan tompok merah, kelihatan sama seperti ekzema atau atopik dermatitis.


  • MITOS 7: Psoriasis tidak boleh diwarisi.

    Hakikatnya: Anggaran 40 hingga 60 peratus pesakit mempunyai hubungan genetik. Begitupun, kecenderungan genetik tidak bermakna seorang individu akan mendapat penyakit itu.

    Faktor yang boleh mencetuskan penyakit ini termasuk kecederaan atau infeksi yang mungkin bertindak dengan beberapa gen, atau corak keturunan spesifik gen, seterusnya bertindak balas menyebabkan psori



  • metro

  • Tiada ulasan:

    Catat Ulasan

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...