Pakar pemakanan sependapat;
sarapan pagi adalah sumber pertama untuk memulakan hari kita,
sebagaimana dituntut dalam Islam untuk bangun bersahur, walaupun ada
yang boleh bertahan sehingga menjelang waktu berbuka.
Kajian
terbaru menunjukkan, orang yang bersarapan secara tetap menikmati
kehidupan berkualiti, tersusun, bersikap positif, lebih langsing dan
memiliki daya tumpuan lebih baik. Pemilihan sarapan, terutama yang
kaya karbohidrat, membekalkan tenaga, mampu menahan rasa lapar dan
mengawal keinginan untuk makan di antara waktu sarapan dan makan tengah
hari.
Malangnya, ramai meninggalkan sarapan dengan alasan tiada
selera makan pada waktu pagi atau tidak sempat (kerana bangun lambat).
Jika anda tergolong dalam kumpulan ini, ada baiknya anda terus membaca
untuk mengetahui ‘rahsia’ di sebalik hidangan ringkas yang dipanggil
sarapan.
Ada saintis menggelar sarapan sebagai makanan untuk otak.
Kajian menunjukkan sarapan ada kaitan rapat dengan kecergasan mental.
Secara ringkasnya, sarapan dikatakan memberikan kesan positif terhadap
aktiviti otak - lebih cergas, peka dan fokus.
Ini secara tidak
langsung mendatangkan pengaruh positif terhadap diri individu itu untuk
melaksanakan tugasnya, sama ada di sekolah atau tempat kerja; walaupun
hanya mengambil sarapan seringan sekeping roti dan secawan kopi.
Rangsang paras glukos
Karbohidrat
yang diambil pada waktu pagi akan merangsang paras glukos dan mikro
nutrien dalam otak. Contohnya, vitamin B yang diperkaya dalam roti dan
bijirin sarapan dikenal pasti mampu memberikan kesan positif kepada
fungsi otak.
Kesan lebih ketara di kalangan kanak-kanak dan remaja
yang mengambil sarapan kaya karbohidrat kompleks ialah mereka boleh
menumpukan perhatian terhadap pelajaran dan menyelesaikan masalah dengan
lebih baik.
Justeru itu, tidak hairan jika pengusaha roti dan
bijirin berlumba-lumba menghasilkan produk yang diperkaya dengan
pelbagai khasiat dan vitamin.
Kajian dijalankan Food Facts Asia
dengan kerjasama empat universiti di Asia ke atas remaja berusia antara
10 hingga 12 tahun yang mengamalkan sarapan rata-rata jauh lebih
langsing dan kurang berdepan masalah berat badan berlebihan.
Bahkan,
kajian di Amerika Syarikat ke atas 3,000 sukarelawan menunjukkan mereka
dapat mengurangkan berat badan dan mengekalkan berat badan unggul
dengan hanya mengamalkan sarapan. Walaupun ada banyak pilihan
untuk sarapan seperti nasi lemak, mi atau mihun goreng, tetapi ramai
lebih suka sarapan ringan dan ringkas. Ini termasuk roti, bijirin
dimakan bersama susu serta jus buah yang tanpa disedari membekalkan
banyak khasiat seperti Vitamin A, B (riboflavin dan folat) dan D, zat
besi, kalsium serta zink.
Tabiat meninggalkan sarapan lebih kerap
berlaku di kalangan orang dewasa kerana tidak sempat dan beranggapan
mereka boleh tahan lapar. Bagaimanapun, sikap ini sebenarnya lebih
banyak merugikan, terutama kepada mereka yang ingin mengurangkan berat
badan. Dalam keadaan lapar, kita terdorong untuk makan lebih
banyak - bermakna lebih banyak kalori dan lemak dalam badan.
Akibatnya,
masalah berat badan kita tidak mungkin selesai dan mungkin lebih buruk.
Ramai beranggapan menyediakan sarapan berkhasiat mengambil banyak masa.
Ia tidak semestinya betul. Demi
kesihatan, apa salahnya kita beralih daripada kebiasaan seperti sandwic
roti berserat tinggi atau bijirin diperkaya vitamin serta susu dan
buah-buahan segar boleh dihidang di atas meja dalam beberapa minit saja.
Jika tidak sempat makan di rumah, bawalah bekal yang sudah disediakan
ini ke tempat kerja.
Awal tahun ini, ada baiknya jika kita memulakan
tabiat baru dengan mengamalkan pengambilan sarapan yang sihat secara
teratur. Caranya, sediakan bahan-bahan sarapan sebelum masuk tidur dan
bangun awal setengah jam supaya anda boleh menikmati hari cemerlang!
SUMBER: PUSAT RAWATAN ISLAM AZ ZAHRAH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan