Kita selalu dipesan agar jangan menerima
apa-apa makanan atau minuman yang diberikan oleh individu yang kita
kurang kenali. Risiko diberikan makanan yang sudah dimasukkan bahan yang
boleh memabukkan adalah tinggi. Kita akan mudah diapa-apakan sekiranya
sudah menjadi khayal atau mabuk. Hal ini sudah kerap diceritakan orang
berlaku kepada anak-anak gadis dan wanita. Dalam filem-filem selalu
ditayangkan hal ini bagi menunjukkan bagaimana kemungkinan itu boleh
berlaku.
Adakah makanan atau minuman yang di dalam bungkusan, iaitu yang belum dibuka selamat dari risiko ini?
Gambar di atas adalah antara teknik yang dilakukan oleh penjenayah untuk
mengkhayalkan bakal mangsanya menggunakan kotak minuman yang kelihatan
baru dan masih belum dibuka. Padahal, sebenarnya ia sudah disuntik
dengan bahan yang memabukkan. Tetapi disembunyikan tanda itu dengan
melekatkan semula bahagian yang ditebuk.
Melihat gambar ini, saya teringatkan satu
seminar yang pernah saya hadiri beberapa tahun lalu yang dianjurkan
oleh Agensi Dadah Kebangsaan di Klang. Penceramah ada menceritakan
mengenai pengalaman pahit seorang wanita yang dirogol di sebuah bilik
hotel oleh seorang lelaki yang dikenalinya melalui chatting.
Pertemuan antara lelaki dan wanita itu telah dirancang setelah beberapa bulan mereka ber’chatting’ di
internet. Mereka telah merancang untuk melakukan perjumpaan pertama
mereka di sebuah kedai makanan untuk berkenalan dan mengeratkan
perhubungan antara mereka. Malangnya, perkara buruk pula berlaku.
Wanita tersebut menceritakan bahawa
perkara terakhir yang dia ingat selepas dirogol ialah dia diberi sebotol
air mineral yang dalam keadaan belum dibuka, iaitu masih baru.
Menurutnya, memang dia berhati-hati tidak mahu minum dari cawan atau
gelas yang dibelanja oleh lelaki tersebut. Tetapi, memandangkan botol
air mineral yang diberikan oleh lelaki tersebut adalah botol baru, maka
dia pun terima dan meminumnya. Sedar-sedar dia sudah di atas katil
dalam keadaan tanpa seurat benang.
Penceramah yang menceritakan peristiwa
tersebut memberitahu bahawa taktik yang digunakan oleh lelaki tersebut
mirip seperti gambar di atas. Iaitu lelaki perogol itu sudah menyuntik
bahan dadah yang memabukkan ke dalam botol air mineral tersebut sebelum
memberikannya kepada wanita itu. Botol itu kelihatan baru dan masih
belum dibuka. Dan kes seumpama ini agak biasa sudah berlaku.
Na`udzu billahi min dzalik.
Hal ini benar-benar membuatkan kita risau
bercampur marah. Risau kerana perkara ini boleh terjadi kepada
mana-mana wanita dan anak gadis kita. Dan marah kerana sifat
kesyaitanan yang bermaharajalela dalam jiwa sesetengah manusia yang
rakus dan jahat.
Sebagai pengajaran:
1) Janganlah mudah terima pemberian
(terutama makanan atau minuman) dari orang yang dikenali, apatah lagi
yang tidak atau baru sahaja dikenali. Sedangkan orang yang kita kenal
pun belum tentu boleh dipercayai. Inikan pula seseorang yang baru
dikenali atau tidak dikenali. Jangan! Jangan! Jangan!
2) Jangan mudah mesra dan layan dengan orang yang agak asing dalam kehidupan kita.
3) Sentiasa fikir ‘worst case scenario’
iaitu senario terburuk yang mungkin berlaku dalam kehidupan harian kita
supaya kita sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga dan meningkatkan
kewaspadaan.
4) Jika mahu berjumpa dengan seseorang
yang kurang dikenali peribadinya, eloklah dibawa teman sekali dan jangan
sesekali berjumpa di tempat yang terpencil.
5) Jaga batas pergaulan seperti yang dianjurkan oleh agama.
6) Berdoa dan bertawakkal kepada ALLAH
sentiasa. Bertawakkal di sini bermaksud melakukan semua usaha untuk
mempertingkatkan diri dengan keselamatan dan berusaha mencegah
faktor-faktor yang boleh menjerumuskan kita kepada kesusahan. Selepas
usaha dilakukan, serahkan urusan kita kepada ALLAH.
Mudah-mudah peringatan ini bermanfaat.
Jika tuan/puan ada cadangan dan atau ingin menambah senarai pengajaran,
silalah komen di bahagian komen di bawah.
muzir.wordpress
Tiada ulasan:
Catat Ulasan