Al-Hajjaj ibn Yusuf al-Thaqafi adalah
nama tidak asing kepada peminat sirah Islam. Al-Hajjaj adalah panglima
yang hidup sezaman dengan ramai tokoh tabiin dan sahabat. Beliau
dipercayai lahir pada awal Jun 661 Masihi bersamaan dengan 40 Hijrah.
Al-Hajjaj dikaitkan dengan pelbagai kontroversi sehingga hampir
menenggelamkan jasanya meluaskan empayar Islam Umayyah dalam jangka masa
yang singkat.
Antara kontroversi paling diingati yang
membabitkan Al-Hajjaj adalah membunuh hampir ribuan nyawa atas nama
politik termasuk anak sahabat Rasulullah saw iaitu Abdullah bin Zubair bin Awwam.
Dalam peristiwa pembunuhan Abdullah bin Zubair, ramai tokoh sirah Islam
seperti Ibnu Kathir dalam kitabnya, Al-Bidayah menceritakan bagaimana
dashyat dan ngerinya pembunuhan Abdullah bin Zubair ini.
Pembunuhan Abdullah bin Zubair bin Awwam
Ia bertitik tolak daripada Abdullah bin
Zubair yang menabalkan dirinya sebagai Khalifah wilayah-wilayah Hijaz
sekaligus memberontak terhadap kepimpinan Khalifah Umayyah, Malik bin
Marwan. Bimbang dengan pengaruh Abdullah bin Zubair yang didokong oleh
ramai sahabat dan ulama, Malik bin Marwan mengarahkan Al-Hajjaj yang
terkenal bengisnya untuk memerangi pasukan pimpinan Abdullah bin Zubair.
Akibat terdesak, Abdullah bin Zubair
mengambil tindakan berlindung di sekitar Kaabah. Pasukan Al-Hajjaj yang
bagaimanapun tidak memperdulikan kemuliaan Rumah Allah itu terus
membedil pasukan Abdullah bin Zubair dengan menggunakan manjanik
daripada Bukit Abu Qubais.
Akhirnya, Kaabah hampir roboh dibedil
pasukan Al-Hajjaj dan Abdullah bin Zubair berjaya dibunuh. Kepala
Abdullah bin Zubair dipenggal dan diarak sekitar kota Mekah atas arahan
Al-Hajjaj. Ketika peristiwa tersebut berlaku, masih ramai lagi Sahabat
dan Tabiin hidup. Mereka menangisi nasib yang berlaku kepada Abdullah
bin Zubair sepertimana mereka menangisi nasib cucu Rasulullah saw,
Hussein Bin Ali dalam peristiwa Karbala pada 680 Masihi. Perisitiwa
pembunuhan Abdullah bin Zubair berlaku pada 692 Masihi.
Jasanya meluaskan empayar Islam Umayyah
Tidak salah untuk mengatakan bahawa
Al-Hajjaj bertanggungjawab menguatkan pengaruh Dinasti Umayyah pada masa
pemerintahan Malik bin Marwan. Al-Hajjaj mempunyai beberapa panglima
yang hebat dan pintar, hampir setaraf dengan beliau. Kesemua mereka
adalah hasil didikan beliau. Beliau adalah Musa bin Nusair, Muhammad bin Qasim dan Qutaiba bin Muslim. Di
bawah kepimpinan Musa bin Nusair, Afrika Utara dan Semenanjung Iberia
telah berjaya ditawan. Tariq bin Ziyad adalah panglima Musa bin Nusair
yang membantunya menawan Semenanjung Iberia.
Muhammad bin Qasim pula berjaya menawan
Turkestan manakala Qutaiba bin Muslim menjelajah sejauh Pakistan untuk
menawan wilayah Sindh.
Musuh para Ulama dan Tabiin
Ramai penulis zaman kini cuba membela
Al-Hajjaj atas nama politik mahupun untuk kepentingan peribadi. Ingatlah
bahawa Al-Hajjaj jikalau beliau adalah seorang yang baik dan soleh,
beliau tidak akan tergamak menyentuh tubuh alim ulama dan para tabiin.
Antara ulama dan tabiin yang terkenal yang mana maut di tangan beliau adalah Sa’id bin Jubair.
Dialog antara Sai’d bin Jubair dan Al-Hajjaj sebelum detik kematian
Sai’d bin Jubair adalah antara dialog paling diingati yang mana
menunjukkan seorang alim tidak mudah untuk ditewaskan dengan sebilah
pedang. Sai’d bin Jubair maut setelah dipenggal kepalanya atas perintah
Al-Hajjaj yang sendiri menyaksikannya.
Ulama dan tokoh sufi terkenal, Hasan al-Basri
adalah antara tokoh yang kerap mengkritik dasar Al-Hajjaj yang keras,
kejam dan kuku besi. Beliau sendiri turut serta dalam satu pemberontakan
menentang Al-Hajjaj di bawah pimpinan Abdul Rahman bin Al-Ash’ath. Dalam pemberontakan tersebut, selain Hasan al-Basri, ulama lain seperti Abdul Rahman bin Abu Laila, Said bin Jubair, Al-Sha’bi, Abu al Bakhtari dan ramai lagi turut sama bangkit ke medan perang. Pemberontakan Abdul Rahman bin Al-Ash’ath berlaku pada 700 Masihi.
Akibat kekejaman dan sering menumpahkan darah, Khalifah Umar bin Abdul Aziz
yang terkenal adil dan saksama telah membuat satu polisi yang
menggariskan mana-mana individu pernah berkhidmat walau satu hari dengan
Al-Hajjaj tidak dibenarkan berkhidmat dalam kerajaannya. Khalifah yang
memerintah Dinasti Umayyah daripada tahun 717 Masihi sehingga 720 Masihi
ini sangat benci dengan kekejaman yang dilakukan oleh Al-Hajjaj
sepanjang menjadi Gabenor dan Panglima Khalifah Malik bin Marwan dan
Al-Walid bin Marwan.
Pada 715 Masihi, tokoh paling kontroversi
dalam sirah Islam ini meninggal dunia di Iraq akibat masalah
kecacingan. Ulama seperti Hasan al-Basri dan para sahabatnya meluahkan
rasa bersyukur kepada Allah swt atas pemergian Al-Hajjaj yang terkenal
kejamnya ini. Malah, Umar bin Abdul Aziz yang ketika itu belum lagi
menyandang jawatan khalifah turut meluahkan rasa bersyukur ke hadrat
Ilahi.
Balasan Allah swt
Diriwayatkan oleh Abu Hazim al-Khunasiri al-Asadi bahawa
Umar bin Abdul Aziz pernah bermimpi melihat Al-Hajjaj dalam keadaan
terseksa akibat azab Allah swt yang pedih. Umar menceritakan kepada Abu
Hazim bagaimana beliau bermimpi dalam keadaan seakan-akan sudah berada
di Hari Penghitungan dan Kebangkitan. Pada mula diseru oleh suara
misteri melaungkan suara Abu Bakar As-Siddiq, kemudian Umar Al-Khattab,
kemudian Uthman bin Affan dan kemudian Ali bin Abi Talib. Keempat-empat
mereka yang juga digelar Khulafa Ar-Rashiddin dihisab dengan bergitu
mudah dan dibawa oleh dua Malaikat ke Syurga Allah swt.
Kemudian, dilaungkan nama Umar bin Abdul
Aziz yang juga nama beliau. Kemudian dihisab sehingga menurut Umar
dihisab amalannya daripada yang sekecil sehingga yang sebesar-besarnya.
Umar membayangkan beliau pasti tidak akan terlepas hisab yang Allah swt
berikan. Namun, dengan rahmat Allah swt, beliau dimasukkan ke dalam
syurga sebagaimana Abu Bakar As-Siddiq, Umar Al-Khattab, Uthman bin
Affan dan Ali bin Abi Talib.
Ketika Umar bin Abdul Aziz di bawa oleh dua Malaikat menuju ke syurga, beliau terlihat bangkai yang dicampakkan ke dalam abu.
Umar lantas bertanya: “Bangkai apakah
itu?” Jawab para malaikat: ”Dekatilah bangkai itu dan tanya dia sendiri,
nescaya dia akan memberitahumu.”
Lalu Umar menghampiri bangkai tersebut,
menyentuhnya dengan kakinya dan bertanya kepadanya: “Siapa kamu?”
Bangkai tersebut lalu menjawab pertanyaanku dengan katanya: “Siapa juga
kamu?” Jawab Umar: “Aku Umar bin Abdul Aziz.”
Bangkai itu bertanya lagi: “Apa yang telah dikurniakan Allah swt kepadamu dan sahabat-sahabatmu?”
Jawab Umar: “Berkenaan dengan empat orang
sebelumku, mereka semua telah diperintah oleh Allah swt ke golongan
kanan iaitu ke syurga. Sementara mereka yang sesudahnya aku tidak tahu
apa yang telah Allah swt lakukan terhadap mereka.”
Dia bertanya lagi: “Apa yang telah Allah swt kurniakan kepada dirimu sendiri?
Jawab Umar: “Allah swt telah
memberikankan kurnia-Nya kepadaku dengan merahmati aku dan kemudian
memerintahkan aku ke golongan kanan iaitu ke syurga.”
Kemudian Umar bertanya kembali: “Siapakah engkau?
Jawab bangkai tersebut: “Saya adalah Al-Hajjaj bin Yusuf al-Shaqafi”
Umar pun bertanya lagi: “Wahai Hajjaj! Apakah balasan Allah yang Allah swt telah timpakan kepadamu?
Jawab Hajjaj: “Aku telah datang menemui
Tuhan yang sangat keras azab-Nya, sangat dahsyat tindakan-Nya dan sangat
pendendam terhadap siapa yang melakukan maksiat terhadapnya. Lalu aku
dengan perintah Allah swt telah dibunuh berkali-kali iaitu mengikuti
sebanyak jumlah pembunuhan yang telah aku lakukan sewaktu di dunia
dahulu. Saat ini aku sedang diadili dihadapan Tuhanku dan sedang menanti
keputusan daripada-Nya sebagaimana yang dinantikan oleh mereka yang
mengesakan Allah swt iaitu apakah ke syurga atau ke neraka.”
Hikmah
Cerita berkisarkan Al-Hajjaj wajar
dijadikan pedoman. Miskipun kita berjuang untuk menyebarkan empayar bagi
perluasan empayar Islam, ia tidak bermakna kita wajar menumpahkan darah
para ulama dan para alim mahupun rakyat jelata yang tidak berdosa. Ia
tidak selari dengan sunnah Rasulullah saw. Rasulullah saw dalam kempen
peperangan baginda, baginda melarang mana-mana tentera Islam menyentuh
wanita-wanita, anak-anak kecil dan orang-orang tua. Ia bersesuaian
dengan firman Allah swt,
Dan perangilah di jalan Allah
orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui
batas, kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang
melampaui batas.
Surah Al-Baqarah ayat 190
takusahtrisau
Tiada ulasan:
Catat Ulasan