Iktibar peristiwa hijrah Rasulullah
: Esok, kalendar Islam akan bertukar ke tahun baru 1434 hijrah. Sambutan
awal Muharam atau Maal Hijrah di Malaysia disambut pada peringkat
negara dan tema kali ini ialah ‘Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah’.
Hijrah bertitik tolak daripada peristiwa
hijrah Rasulullah SAW dan banyak peristiwa penting berlaku selepas itu.
Pastinya, banyak pengajaran dapat dipelajari daripada perjuangan
Rasulullah yang sewajarnya dijadikan iktibar.Firman Allah SWT: “Kemudian, sesungguhnya Tuhanmu
(memberikan pertolongan) kepada orang yang telah berhijrah sesudah
mereka difitnahkan (oleh kaum musyrik), kemudian mereka berjihad serta
bersabar; sesungguhnya Tuhanmu – sesudah mereka menderita dan bersabar
dalam perjuangan – adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah
an-Nahl, ayat 110)
Allah SWT tidak menjadikan sesuatu
peristiwa itu sia-sia bahkan ada pengajaran atau ‘ibrah’ di sebaliknya
bertujuan sebagai pengajaran serta panduan kepada umat berikutnya.
Firman Allah SWT: “Demi sesungguhnya,
kisah nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi
orang yang mempunyai akal fikiran. (Kisah nabi-nabi yang terkandung
dalam al-Quran) bukanlah ia cerita yang diada-adakan, tetapi ia
mengesahkan apa yang tersebut dalam kitab agama
yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan
tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum
yang (mahu) beriman.” (Surah Yusuf, ayat 111)
Begitu juga dengan apa yang terjadi
kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, sebagai pemimpin dan pembawa
kebenaran kepada seluruh umat. Banyak sirah Baginda yang berlaku untuk
membimbing kepada jalan kebenaran.
Maksud hijrah
Perkataan ‘hijrah’ bermaksud berpisah atau berpindah dari satu tempat ke tempat lain dan dalam konteks lain, hijrah juga dikaitkan dengan perubahan sikap atau tingkah laku. Dalam hal ini Allah SWT menyarankan umat Islam berhijrah ke arah iman lebih kukuh dan mantap.
Setiap manusia yang hidup pasti akan
menerima ujian, lebih-lebih lagi orang yang beriman. Semakin tinggi
darjat keimanan seseorang itu, maka semakin tinggilah ujian keimanan
yang akan dihadapinya.
Antara ujian itu disebut dalam firman
Allah SWT: “Kemudian, sesungguhnya Tuhanmu (memberikan pertolongan)
kepada orang yang telah berhijrah sesudah mereka difitnahkan (oleh kaum
musyrik), kemudian mereka berjihad serta bersabar; sesungguhnya Tuhanmu –
sesudah mereka menderita dan bersabar dalam perjuangan – adalah Maha
Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah an-Nahl, ayat 110)
Hijrah juga dapat dikaitkan dengan aspek
pengorbanan dan jihad kerana hijrah adalah antara cara untuk
mempertahankan akidah Islam yang suci serta menjaga kehormatan diri.
Ini bertepatan firman Allah SWT:
“Sesungguhnya orang yang beriman, dan orang yang berhijrah serta
berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam),
mereka itulah orang yang mengharapkan rahmat Allah dan (ingatlah),
Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Baqarah, ayat
218)
Sempena sambutan tahun baru hijrah 1434
ini, sewajarnya setiap kita bermuhasabah diri atau memperbetulkan amalan
supaya tidak melakukan perbuatan bertentangan syariat Islam agar
sambutan yang diadakan lebih bermakna.
Transformasi lebih berjaya
Ini selaras persetujuan ulama yang memahami peristiwa hijrah nabi adalah titik perkembangan dakwah Islamiah bagi membina masyarakat dan menjurus seluruh umat Islam melakukan transformasi ke arah lebih berjaya.
Umat Islam di negara ini hendaklah
mengambil peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW untuk menghayati ajaran
Islam supaya hidup mereka lebih bermakna serta berjaya. Biarlah niat
hijrah kita menjanjikan kebahagiaan serta kejayaan di dunia dan akhirat.
Firman Allah SWT: “Dan sesiapa yang
berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya
ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki
yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan
berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian ia mati (dalam
perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi
Allah. dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
(Surah an-Nisa’, ayat 100)
Selain itu, semoga kita sama-sama dapat
menghayati maksud doa awal tahun yang sering dibaca bagi menyambut tahun
baru hijrah yang bermaksud: “Wahai Tuhan, Engkaulah yang kekal abadi,
yang qadim, yang awal dan ke atas kelebihan-Mu yang besar dan
kemurahan-Mu yang melimpah dan ini adalah tahun baru yang telah muncul
di hadapan kami. Kami memohon pemeliharaan dari-Mu di sepanjang tahun
ini dari syaitan dan pembantu-pembantunya dan tentera-tenteranya dan
juga pertolongan terhadap diri yang diperintahkan melakukan kejahatan
dan usaha yang mendekatkanku kepada-Mu Wahai Tuhan yang Maha Agung dan
Maha Mulia. Wahai Tuhan yang Maha pengasih dari mereka yang mengasihi
dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad. Nabi yang ummi dan
ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan kesejahteraan ke atas
mereka.”
Semoga kehadiran 1 Muharam 1434 akan
membawa kebaikan dalam segala aspek kehidupan diri dan masyarakat.
Marilah bersama menghayati firman Allah SWT: “Dan berpegang teguhlah
kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu
bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu
bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dulu), lalu Allah menyatukan di antara
hati kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka
menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara dan
kamu dulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu
semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan
nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat
keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.” (Surah
Ali-Imran, ayat 103)
– Longoi.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan