Kelebihan Bulan Muharram? ALLAH SWT berfirman (maksudnya) :
"Sesungguhnya bilangan bulan di sisi ALLAH adalah 12 bulan sebagaimana
ketetapan ALLAH ketika DIA menciptakan langit dan bumi. Di antaranya ada
empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah
kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu" (Surah at-Taubah,
9: 36)
Nabi SAW bersabda : "Waktu itu telah berputar sebagaimana biasa sejak ALLAH menciptakan langit dan bumi. Satu tahun ada 12 bulan, di antaranya empat bulan haram. tiga bulan berturut-turut, iaitu Zulkaedah, Zulhijah, Muharam, dan satu lagi ialah Rejab yang terletak di antara Jamadilakhir dan Syaaban" (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Muharam ialah bulan yang mulia dan ia memiliki keutamaannya tersendiri.
Nabi SAW menyatakan Muharam ialah bulan ALLAH, dan puasa yang paling
afdal setelah Ramadan ialah puasa dalam Muharam.
Kata Nabi SAW : "Puasa yang paling afdal setelah puasa Ramadan ialah puasa di bulan ALLAH, al-Muharam. Solat yang paling afdal setelah solat yang difardukan adalah solat pada malam hari" (Hadis Riwayat Muslim)
Dalil-dalil ini semuanya menunjukkan kemuliaan di bulan haram,
terutamanya Muharam. Selain itu, di dalamnya turut ditegaskan lagi akan
larangan menganiaya diri. Ini menunjukkan perbuatan maksiat di bulan
haram lebih diharamkan lagi berbanding bulan-bulan selainnya.
Sebaliknya, amalan soleh pula akan diberikan ganjaran yang besar.
Hikmah bulan haram
Di antara hikmah dijadikan empat bulan haram di mana tiga bulan secara
berturut-turut dan satu bulan lagi dengan menyendiri adalah bagi memberi
ketenangan kepada umat Islam yang melaksanakan ibadah haji. Iaitu
Zulkaedah merupakan satu bulan pertama sebelum bermulanya bulan haji.
Seterusnya bulan Zulhijah di mana umat Islam disibukkan dengan ibadah
haji dan melaksanakan manasiknya. Kemudian dijadikan bulan yang
seterusnya juga sebagai bulan haram, iaitu Muharam supaya pada bulan
tersebut mereka dapat kembali ke wilayah atau negara mereka
masing-masing yang saling berjauhan secara aman.
Manakala Rejab yang berada di pertengahan tahun pula adalah supaya pada
bulan tersebut umat Islam di sekitar Jazirah Arab dapat mengunjungi
Kaabah dan melaksanakan umrah dengan aman. (Lihat: Tafsir Ibnu Katsir,
4/148)
Ini adalah kerana dalam bulan-bulan haram, umat Islam diharamkan untuk
berperang melainkan sekiranya umat Islam lebih dahulu diserang atau
diperangi. Pada ketika umat Islam lebih dahulu diserang, mereka
dibolehkan untuk mempertahankan diri serta membuat serangan balas.
Amalan sunnah Muharam
Di antara amalan sunnah yang disebutkan secara khusus pada Muharam
adalah berpuasa sunnah. Sebagaimana disebutkan dalam hadis di atas,
puasa yang paling afdal setelah puasa Ramadan adalah puasa Muharam.
Maksud puasa dalam hadis tersebut adalah puasa sunnah secara umum.
Memperbanyakkan amalan puasa sunnah dalam bulan ini (Muharam)
terutamanya pada hari ke-10 Muharam adalah termasuk sunnah-sunnah yang
sangat dianjurkan.
Abdullah B Abbas r.a berkata, "Nabi tiba di Madinah dan beliau mendapati orang-orang Yahudi sedang berpuasa ‘Asyura (hari ke-10 Muharam)". Nabi bertanya "Puasa apakah ini?"Orang-orang menjawab, "Hari ini adalah hari yang baik, iaitu hari di mana ALLAH telah menyelamatkan bani Israel daripada kejahatan musuhnya, maka Musa pun berpuasa sebagai tanda syukur beliau kepada ALLAH dan kami pun turut serta berpuasa"Nabi SAW pun berkata, "Kami lebih berhak terhadap Musa daripada kamu semua". Akhirnya Nabi pun berpuasa dan memerintahkan umat Islam untuk berpuasa. (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Sejarah penetapan puasa ‘Asyura mengalami beberapa fasa. Pada awalnya,
ketika di Makkah Nabi berpuasa ‘Asyura tanpa memerintah orang lain untuk
berpuasa. Kemudian apabila sampai di Madinah, beliau tetap terus
berpuasa di hari Asyura dan memerintahkan umat Islam agar turut
berpuasa.
Tetapi setelah perintah kewajiban berpuasa Ramadan turun, puasa pada hari Asyura menjadi sunnah dan tidak diwajibkan.
Rasulullah mengatakan, "Sesiapa yang hendak berpuasa (pada hari Asyura), silakan berpuasa, bagi yang tidak berpuasa, juga tidak mengapa" (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Kemudian ketika di penghujung hayatnya, Rasulullah SAW bertekad untuk
tidak hanya berpuasa pada hari Asyura (hari ke-10) Muharam, tetapi juga
bertekad untuk puasa pada hari yang ke-9.
Ibnu ‘Abbas r.a berkata, “Ketika Nabi sedang berpuasa pada hari Asyura dan memerintahkan para sahabatnya untuk turut berpuasa, para sahabat berkata, "Wahai Rasulullah, hari Asyura adalah hari yang diagungkan oleh Yahudi dan Nashara"
Maka Rasulullah SAW berkata, "Jika begitu, tahun depan insya-ALLAH kita puasa sekali pada hari yang ke sembilannya". Ibnu ‘Abbas berkata : "Tetapi belum sempat sampai tahun depan, beliau telah wafat terlebih dahulu" (Hadis Riwayat Muslim)
Dari hadis ini, umat Islam tidak hanya disunnahkan agar berpuasa di hari
ke-10 Muharam atau dikenali sebagai hari Asyura, tetapi juga turut
disunnahkan agar berpuasa pada hari ke sembilan Muharam.
Rasulullah mengisyaratkan tentang kelebihan puasa ‘Asyura sebagaimana sabdanya :
manmalablogsport"Adapun puasa di hari Asyura, aku memohon kepada ALLAH agar ia dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu". (Hadis Riwayat Muslim)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan