Mana mungkin manusia biasa seperti saya terlepas dari cinta. Cinta
adalah fitrah buat manusia. Cinta juga adalah satu anugerah yang amat
bernilai dari Allah yang maha esa kepada hambanya. Kerana cinta itu
begitu indah dan ia sukar dilafazkan dengan kata-kata, ramai yang cuba
membuat kesimpulan apakah makna sebenar cinta.
Saya kurang faham makna sebenar cinta, saya kurang jelas mengenainya.
Namun saya cuba mencari jawapan, saya cuba membuat kesimpulan
berdasarkan pengalaman sendiri. Sebenarnya cinta itu memiliki
sifat-sifatnya yang tersendiri. Cinta tidak semestinya hanya kepada
seorang insan bernama kekasih. Tetapi cinta itu merangkumi seluruh
kehidupan. Dan dari pengamatan saya, cinta itu sebenarnya adalah..
Amanah Dari Allah
Ya, cinta itu adalah amanah! Bukan nafsu, bukan kehendak dan bukan juga
hak yang perlu dituntut. Apabila jatuh cinta kepada seseorang, kita rasa
seolah-olah kita memerlukannya. Kita mahu memilikinya, kita mahu dia
mendampingi kita dan kita mahu cinta yang kita harapkan itu terbalas.
Tidak salah mahu mendampingi orang yang disayangi, tidak salah mahu
memiliki hati dan kasih sayang mereka. Namun bukan itu yang lebih utama,
kerana orang yang kita cinta belum tentu mencintai kita, orang yang
kita suka belum tentu menyukai kita. Jadi dengan rasa cinta yang
diamanahkan oleh Allah kepada kita ini, kita hulurkanlah apa saja yang
terbaik buat mereka. Jika dapat memikat hatinya, Alhamdulillah. Tetapi
jika tidak, usahlah mengungkit dan berdendam.
Cinta itu adalah amanah dan tanggungjawab! Apabila disebutkan sebagai
tanggungjawab, ia bermakna kita perlu memberi, namun tidak semestinya
menerima. Lindungi mereka, sayangi mereka, kasihi dan berikan yang
terbaik kepada mereka, sentiasa hadir ketika mereka memerlukan tanpa
mengharapkan sebarang balasan melainkan redha dari pemberi amanah
(Allah) semata-mata.
Keikhlasan Yang Menipu
Ada pepatah menyatakan “Cinta itu adalah dua jiwa menjadi satu!”. Lalu
sesetengah orang yang cintanya tidak terbalas mula mempersoalkan qada
dan qadar yang telah ditetapkan oleh Allah kepadanya seperti :
Kenapa cinta aku tidak terbalas?
Apa salah aku?
Apa kekurangan aku?
Kenapa dia tidak menerima cinta aku?
Aku sangat ikhlas mencintainya, kenapa dia buat aku begini?
Ramai orang yang bercinta sentiasa mengaku bahawa dirinya ikhlas
mencintai seseorang. Namun pada hakikatnya mereka sedang menipu diri
sendiri! Apakah sebenarnya maksud ikhlas? Jika sekadar rasa cinta yang
jujur kepada seseorang, itu bukan ikhlas.
Ikhlas ialah melakukan sesuatu kerana Allah, tanpa mengharapkan balasan
daripada manusia. Tidak nampak keikhlasan seseorang sehinggalah dia
disakiti dan apabila dia tidak dapat apa yang diinginkannya. Mereka
berkata bahawa mereka ikhlas dalam bercinta, tetapi apabila ditinggalkan
mereka mula mengungkit, mula bercerita satu dunia bahawa keihklasan
mereka dikhianati.
Aku ikhlas mencintaimu, namun apakah yang telah kau lakukan kepadaku?
Ayat-ayat seperti ini mula diukirkan dalam hati mereka. Disebut-sebut
dan diulang-ulang supaya ramai orang bersimpati dengan mereka. Supaya
ramai orang merasakan dirinya benar dan orang yang menolak cintanya itu
telah melampau.
Cinta itu adalah amanah. Selain dari amanah untuk menyayangi, merindui
dan mengasihi, ia juga merupakan amanah untuk kita sentiasa meredhai apa
yang ditentukan oleh Allah yang esa! Tidak kira samada baik ataupun
buruk. Tidak kira samada bersatu ataupun berpisah. Tanggungjawab kita
ialah mencintai atau menunaikan amanah yang telah dikurniakan oleh Allah
semata-mata. Samada orang yang kita cintai itu menerimanya atau tidak
itu bergantung kepada qada dan qadar Allah semata-mata.
Kaitan Cinta Dengan Amanah
Mari kita susuli kenapa cinta yang dianugerahkan oleh Allah itu sebenar-sebenarnya adalah amanah:
(1) Kita diwajibkan atau diamanahkan mencintai Allah melebihi
segala-galanya dalam dunia ini. Selepas itu kita perlu mencintai
Rasulullah melebihi cinta kita kepada diri sendiri. Samada kita suka
atau tidak, kita akur ataupun ingkar, itulah amanah/cinta pertama yang
perlu kita lakukan.
(2) Mencintai, menyayangi dan mengasihi ibu bapa juga adalah amanah dari
Allah. Kita perlu berbuat baik kepada mereka, mentaati mereka, sentiasa
berdoa dan menghormati mereka.
(3) Apabila Allah temukan kita dengan seseorang yang kita cintai, kita
bertanggungjawab untuk tidak mengkhianatinya, jaga kehormatannya,
khabarkan kepadanya tentang cinta Allah dan tidak mengharapkan sebarang
balasan melainkan kehendak untuk bersama (kahwin) demi menunju cinta
Allah. Jika tidak dapat bersama kita tidak akan melukakan hatinya dan
tidak akan memutuskan tali persahabatan dengannya. Inilah cinta, inilah
amanah!
(4) Apabila mencintai wanita/lelaki yang belum halal, kita tidak boleh
keluar berdua-duaan dengannya, tidak boleh bermanja-manja, berkasihan
seperti pasangan yang telah berkahwin, tidak boleh bersentuhan dan tidak
boleh melihat aurat masing-masing. Pergilah melamar dan satukan dengan
ikatan perkahwinan, jika tidak dapat bersama, redhalah dengan
ketentuan-Nya. Kita telah melakukan tanggungjawab kita, selebihnya
bergantung kepada qada dan qadar dari Allah. Ini adalah amanah, ini
adalah cinta yang benar!
(5) Mencintai alam semesta. Allah berfirman di dalam Al-Quran “Manusia
akan menghancurkan dunia ini dengan tangan-tangan mereka sendiri.”
Sebagai manusia kita perlu mencintai alam ciptaan Allah, bukan
menghancurkannya. Tetapi sikap rakus manusia yang tidak amanah dalam
menjaga alam kurniaan Allah ini telah menghancurkan dunia ini sedikit
demi sedikit.
Mungkin terdapat banyak lagi contoh yang boleh dinyatakan. Namun saya
rasa cukuplah sekadar itu sahaja untuk kali ini. Mari sama-sama kita
menghayati makna sebenar cinta. Sesungguhnya cinta yang ditolak bukanlah
suatu penyiksaan dari manusia tetapi ujian dari Allah. Kita perlu
amanah dalam mencintai diri sendiri, usah biarlah diri hancur
dimusnahkan dengan cinta manusia yang bersifat sementara. InsyaAllah..
http://sehinggit.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan