Isnin, 12 Mac 2012

Fakta Hari Ini - Tahukah Anda Di Manakah Titik Tengah Semenanjung Malaysia??

Pernahkah anda terfikir di manakah kedudukan sebenar titik tengah Semenanjung Malaysia serta apakah kepentingannya kepada negara dan penduduk setempat? Sebelum ini, ada dua pendapat popular mengenai kedudukan sebenar titik tengah Semenanjung Malaysia iaitu di daerah Lipis dan Kampung Kertau, Maran di Pahang.


 
 
Kampung Belimbing yang terletak di Lipis dianggap titik tengah Semenanjung Malaysia sejak pemerintahan Inggeris lagi. Malah, jika berkunjung ke lokasi ini, anda boleh menemui batu penanda `0' kilometer yang menjadi rujukan jarak ke seluruh negeri di Semenanjung.

Bagaimanapun, penentuan titik tengah pada era itu dikatakan tidak begitu tepat. Ini kerana ia sekadar menjadi titik rujukan pemerintah Inggeris dan bukannya titik sebenar.


Pada masa sama, Kampung Kertau di Maran pula dikatakan sebagai titik tengah sehingga menimbulkan pertikaian di kalangan ahli akademik yang gagal mencapai kata putus mengenai kedudukan sebenar titik istimewa ini.

Namun, sehingga 2009, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) melakukan kajian komprehensif untuk menentukan titik tengah sebenar Semenanjung Malaysia dengan menggunakan beberapa kaedah.

Bekas Pegawai Daerah Temerloh, Datuk Sallehuddin Ishak berkata, JUPEM menggunakan tiga kaedah untuk menentukan lokasi sebenar titik tengah Semenanjung Malaysia iaitu berdasarkan rupa bentuk muka bumi tanah Semenanjung, pengiraan jisim dan kaedah matematik.


Sallehuddin berkata, mengikut kaedah pengukuran rupa bentuk muka bumi, JUPEM melakukan pengiraan dengan menghubungkan titik-titik pada bahagian paling hujung Semenanjung menggunakan garisan di mana titik tengah Semenanjung Malaysia dikenal pasti berdasarkan pertemuan garisan berkenaan.


Sallehuddin berkata, mengikut kaedah itu, titik pertemuannya ialah pada kedudukan x bersamaan 469053.344 dan y (464283.582) iaitu di Hutan Simpan Ulu Cheka, Lipis.


Mengikut kaedah kedua pula, pengiraan jisim secara abstrak dengan mengandaikan kedudukannya pada x bersamaan 63626.711462 dan y (446971.55564) iaitu di Jerangsang, Benta, Lipis.


Sallehuddin berkata, kaedah ketiga melalui pengiraan matematik iaitu menghubungkan titik paling jauh dengan titik paling dekat menggunakan 37,371 titik.


Menurutnya, pada akhir pengiraan, titik tengah dikenal pasti pada kedudukan x bersamaan 469519.6934 dan y (386338.7621) iaitu di Kampung Paya Siput, Lanchang, Temerloh.

  Titik tengah Semenanjung yang ditanda dan disimen di bawah sebuah pondok di Darul Ulum.

"Berdasarkan tiga kaedah itu, JUPEM menyerahkannya kepada kerajaan negeri untuk pertimbangan selanjutnya. Sehubungan itu, kerajaan negeri memutuskan cara terbaik menentukan titik tengah ialah berasaskan kepada keputusan yang boleh dicabar secara saintifik supaya ia dapat dibuktikan dan lebih praktikal," katanya.

Beliau berkata, penentuan itu juga dibuat dengan mengambil kira kedua-dua lokasi terdahulu yang menggunakan kaedah rupa bentuk muka bumi dan pengiraan jisim terletak di kawasan hutan dan sukar dikunjungi.


Malah, dari segi `common sense', kedudukan Lanchang, Temerloh memang terletak di antara Lipis dan Maran.


Selain itu, mengambil kira kedudukan stesen Pusat Remote Sensing Negara (MACRES) dan PULARES yang secara strategiknya terletak di Temerloh, ia bagai sokongan kuat membuktikan lokasi ini terletak di tengah-tengah Semenanjung Malaysia.


Dari segi jarak perjalanan, Temerloh terletak tengah-tengah iaitu antara Kuantan dan Kuala Lumpur atau antara pantai barat dan timur.

Sehubungan itu, daerah Temerloh yang sebelum ini popular sebagai `bandar ikan patin' juga bakal dikenali sebagai bandar `titik tengah Semenanjung Malaysia' serta dapat membawa banyak manfaat kepada penduduk tempatan.


Sementara itu, pengiktirafan Temerloh sebagai daerah titik tengah Semenanjung Malaysia bukan saja menamatkan perdebatan di kalangan ahli akademik, malah secara langsung memberi kelebihan kepada daerah ini dalam menarik pelancong
.
beritaharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...