Ahad, 26 Ogos 2012

Angkasawan Neil Armstrong Meninggal Dunia


WASHINGTON: Angkasawan Amerika Syarikat (AS), Neil Armstrong, manusia pertama yang menjejakkan kaki ke bulan meninggal dunia, lapor media AS pada Ahad.Beliau berusia 82 tahun.

Armstrong menjalani pembedahan jantung awal bulan ini selepas doktor mendapati ada sekatan di pembuluh jantungnya.





Beliau dan rakan angkasawan yang menaiki Apollo 11, Buzz Aldrin mendarat di bulan pada 20 Julai 1969 yang mencatat satu sejarah hebat serta mendapat tontonan ratusan juta penduduk dunia.

Dilahirkan di Wapakoneta, Ohio pada 5 Ogos 1930, Armstrong mempunyai minat mendalam terhadap kapal terbang dan bekerja di sebuah lapangan terbang ketika remaja.

Beliau mengambil kursus penerbangan pada usia 15 tahun dan mendapat lesen juruterbang pada hari lahirnya yang ke-16.

Sebagai juruterbang AS, beliau melakukan 78 misi penerbangan pada Perang Korea.

Beliau mempelajari bidang Kejuruteraan Penerbangan di Universiti Purdue, Indiana dan menyambung pengajian dalam Sarjana Kejuruteraan Aeroangkasa di Universiti Southern California.

Selepas berkhidmat sebagai juruterbang tentera laut pada 1949 hingga 1952, Armstrong menyertai agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) pada 1955.

Beliau bertugas sebagai jurutera, juruterbang ujian, angkasawan dan pentadbir untuk NASA dalam tempoh 17 tahun.

Selepas bersara daripada NASA pada 1971, Armstrong menjadi tenaga pengajar dalam bidang kejuruteraan aeroangkasa di Universiti of Cincinnati hampir 10 tahun.

Beliau turut dilantik sebagai lembaga pengarah di beberapa syarikat termasuk Lear Jet, United Airlines dan Marathon Oil.
mstar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Anda Berkenan .

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...