Isnin, 20 Ogos 2012

Jutawan Arab infak separuh hartanya


              ALWALED sering ditemani isteri daripada perkahwinan keempatnya, Puteri Ameera Al-Taweel, 29, dalam majlis-majlis rasmi di luar negara.
BERUMUR 57 tahun, bilionair kelahiran Arab Saudi ini bukanlah asing dalam kalangan jutawan elit dunia.
Menghuni tangga ke-29 individu terkaya di dunia dengan aset bernilai RM56.4 bilion, beliau merupakan cucu kepada pengasas kerajaan Arab Saudi, Raja Al Sa’ud.





Beliau meneruskan legasi kekayaan keluarganya dengan mencuba pelbagai peluang perniagaan.


“Saya berniaga sebaik saja tamat belajar di Kolej Menlo, California, Amerika Syarikat. Pada asalnya, saya menjadi broker kepada entiti perniagaan antarabangsa yang mahu membina jaringan perniagaan dengan syarikat-syarikat di Arab Saudi.
“Kemudian, saya melabur dalam sektor hartanah dan menjadi pelabur utama dalam industri perbankan Arab Saudi.

“Kebanyakan pelaburan dibuat ke atas syarikat yang mengalami masalah kewangan. Sememangnya ia menuntut kesabaran yang tinggi untuk melihat syarikat yang dilabur itu kembali pulih.
“Malah, ada yang menjangkau lebih satu dekad sebelum boleh menjana keuntungan,” jelasnya yang merupakan pemegang saham terbesar konglomerat kewangan Citicorp, AOL, Apple Computer, Worldcom, Motorola dan News Corporation Ltd.
Selain itu, beliau turut melabur dalam sektor perhotelan, antaranya rangkaian Hotel Four Seasons, Hotel Plaza di New York, Savoy Hotel di London dan Monte Carlo Grand Hotel.

Terbaru, Alwaleed melabur RM954 juta ke atas laman perkongsian sosial, Twitter.
Kebijaksanaan dan kesabarannya membangunkan empayar perniagaan melalui Kingdom Holding Company bukan sahaja meletakkan namanya sebagai individu paling berpengaruh di dunia Arab bahkan disegani kebanyakan negara Barat.

Buktinya, nama pemegang ijazah sarjana daripada Universiti Syracuse di New York, Amerika Syarikat ini sudah tiga tahun berturut-turut dinobatkan sebagai Orang Arab Paling Berpengaruh oleh majalah Middle East iaitu pada tahun 2009, 2010 dan 2011.

Menurut majalah itu, selain menjadi anak Arab Saudi paling berjaya, Alwaleed juga dikenali kerana kemurahan hatinya.
“Alhamdulillah, pintu rezeki saya diluaskan oleh Allah. Saya percaya rezeki ini bukan untuk saya seorang, tetapi perlu diagihkan kepada golongan yang memerlukan.
“Sejak mula berniaga, saya sudah berniat untuk menginfakkan 60 peratus daripada harta saya untuk kerja kebajikan,” ujarnya.

Demi tujuan itu, Alwaleed menubuhkan tiga yayasan bagi membantu golongan kurang berkemampuan.
“Setakat ini saya telah menubuhkan tiga yayasan yang mempunyai fungsi berbeza.
“Yayasan Alwaleed Bin Talal-Arab Saudi ditubuhkan untuk pembangunan di negara saya seperti bantuan perumahan dan pendidikan dalam kalangan wanita supaya mereka lebih menonjol dalam pelbagai bidang.

“Selain itu, yayasan ini turut menawarkan perkhidmatan perubatan, kesihatan, bantuan sosial serta kemanusiaan di Arab Saudi,” ujarnya.

Suka hantar SMS
Beliau turut membangunkan Yayasan Kemanusiaan Alwaleed Bin Talal-Lebanon yang menawarkan bantuan perubatan, kesihatan, pendidikan, keagamaan dan pembangunan infrastuktur pertanian di Lebanon.

Sementara itu, untuk bantuan di peringkat global, Yayasan Alwaleed-Global ditubuhkan. Ia bertindak sebagai pusat yang menggalakkan kajian, dialog dan forum mengenai agama, memulihara kesusasteraan Islam dan sejarah artistik dunia.
“Yayasan ini juga bertanggungjawab membanteras kemiskinan, kebuluran dan membantu mangsa bencana alam,” katanya yang terlibat dalam aktiviti kebajikan sejak 30 tahun lalu.
Alwaleed turut melabur dalam beberapa badan amal dari negara-negara lain terutamanya benua Afrika.

Antara yang pernah mendapat bantuan daripada yayasannya termasuklah mangsa bencana alam di Yemen.
Malah, beliau merupakan penyumbang terbesar di Indonesia, Bangladesh dan Sri Lanka ketika rantau Asia Tenggara dilanda tsunami pada Disember 2004.
“Di yayasan ini, kami mempunyai satu unit sokongan khas yang akan segera bertindak terhadap mangsa bencana alam. Kerajaan Arab Saudi turut memberi sokongan berterusan kepada usaha murni kami.

“Kami juga memberi bantuan kepada negara bergolak seperti Syria, Mesir, Lebanon, Palestin dan Afrika Utara,” kata Alwaleed.
Kehidupan mewah Alwaleed sememangnya diketahui umum. Beliau mempunyai sebuah pesawat peribadi Boeing 747, beberapa buah kapal persiaran dan deretan kereta mewah.
Mengakui mendapat keuntungan berganda daripada bidang pelaburan, pembinaan dan hartanah, minat asal Alwaleed sebenarnya dalam bidang perbankan.

“Selepas tamat pengajian di New York, saya lebih suka terlibat dalam bidang perbankan namun potensi saya lebih menonjol dalam bidang pelaburan dan perniagaan,” ujar bapa kepada dua anak dan datuk kepada dua cucu ini.
Menyifatkan kehidupannya sentiasa sibuk, begitupun hatinya mudah cair apabila terpandangkan wajah dua cucunya.

“Mereka sangat comel. Kalau mereka datang ke istana, saya pasti meluangkan masa untuk mereka. Saya tidak pernah puas mencium pipi gebu cucu-cucu saya dan bermain dengan mereka.
“Saya seorang yang sangat berdisiplin. Setiap malam, saya tidur pada pukul 4 atau 5 pagi. Selepas tidur 4 hingga 5 jam, saya akan masuk ke pejabat.

“Saya akan mengambil sarapan pada pukul 8 pagi. Setiap malam, saya akan makan di tempat yang berbeza, sama ada di istana, resort, mahupun padang pasir,” ujarnya yang sudah empat kali berkahwin.

Mengakui sangat gemar menghantar SMS, telefon bimbit lelaki ini sentiasa ada di tangannya biarpun ketika itu beliau sedang menunggang motosikal berkuasa tinggi, memandu kereta atau berehat di padang pasir.
“Saya lebih gemar menghantar SMS daripada berbual di telefon. Satu lagi perkara yang menjadi kemestian ialah menonton berita perniagaan.

“Boleh dikatakan setiap malam saya menghabiskan masa dengan menonton program di saluran CNBC,” katanya.
normalashahar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Anda Berkenan .

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...