Apa ada dengan iman? Apa ada pada amal soleh? Kenapa Allah dan Rasul-Nya, tidak pernah jemu menggesa kita untuk beriman dan beramal soleh? Buktinya, begitu banyak ayat al-Quran dan sabdaan nabi yang merangkaikan kalimah ‘iman dan amal soleh.’ Itulah buktinya, Allah dan Nabi Muhammad SAW, tidak pernah jemu dan jengkel menyeru kita. Sedangkan ada manusia yang berasa jengkel tatkala mendengar seruan muezzin di corong pembesar suara!
Lalu, pernahkah kita terfikir, betapa kasihnya Allah kepada kita dan betapa sayangnya nabi kepada kita. Allah dan Rasul-Nya berusaha untuk memberikan tunjuk ajar kepada kita, agar tidak pernah sesat dalam kehidupan ini. Agar kita bisa menerobos kezulmatan duniawi dan mencari terowong cahaya selamat yang abadi. Bukan sekadar selamat di dunia; malah selamat di akhirat nanti.
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka itulah sebaik-baik makhluk. Balasan mereka di sisi Tuhannya ialah syurga ‘Adn yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, kekallah mereka di dalamnya selama-lamanya; Allah reda akan mereka dan mereka pun reda akan nikmat pemberian-Nya. Balasan yang demikian itu untuk orang-orang yang takut (melanggar perintah) Tuhannya.” (al-Baiyyinah: 7-8)
Allah SWT adalah al-Khalik yang menciptakan manusia. Allah telah menyediakan syurga buat kita. Syurga itu, kata nabi adalah untuk semua manusia; kecuali mereka yang enggan memasukinya.
Pelik sungguh, rupa-rupanya ada juga manusia yang enggan memasuki syurga. Benar, kata nabi kepada para sahabatnya, mereka yang enggan memasuki syurga itu adalah mereka yang enggan melakukan taat dan sebaliknya gemar melakukan maksiat.
Berikut adalah narasi daripada Abu Hurairah r.a tentang hadis tersebut, iaitu Rasulullah SAW pernah mengungkapkan: “Semua umatku akan masuk syurga kecuali orang yang enggan. Baginda ditanya: “Siapakah yang enggan?” Jawab baginda: “Sesiapa yang taat kepadaku (maka) ia masuk syurga dan sesiapa yang derhaka (melakukan maksiat) kepadaku, ia masuk neraka.” (Hadis sahih riwayat Bukhari)
blogr
Tiada ulasan:
Catat Ulasan