Mendidik anak membesar sebagai indvidu yang berperibadian mulia bukan
tugas yang mudah dan singkat. Anak adalah amanah dari Allah dan ujian
kepada ibu bapa. Kesabaran dan ketelitian memainkan peranan penting
dalam mendidik anak-anak.
Tuntutan kerjaya dan kos hidup yang semakin tinggi setiap hari
membuatkan ada ibu bapa yang terlepas pandang memberikan didikan
sempurna kepada anak-anak. Jangan sekali-kali bersikap sambil lewa dalam
mendidik anak terutama semasa enam tahun pertama mereka yang merupakan
tahun terpenting dalam kehidupan mereka.
Kepada yang bergelar ibu ayah, marilah mengamalkan tabiat berikut untuk menjadi ibu bapa yang efektif.
-
Memupuk nilai agama dan moral ke dalam diri anak
Anak ibarat kain putih yang suci dan bersih. Ibu bapa yang perlu
memupuk nilai agama dan moral dalam diri anak supaya mereka membesar
sebagai anak yang berakhlak.
-
Mendisiplin dan berkomunikasi secara positif serta mendengari anak
Ibu bapa bertanggungjawab membentuk disiplin dalam diri anak sejak
mereka kecil lagi. Disiplin dalam kehidupan seharian membantu anak-anak
erti tanggungjawab. Selain itu cara berkomunikasi dengan anak juga amat
penting menjadikan mereka anak yang mendengar kata. Dalam menyampaikan
mesej, bercakap dan memberi arahan, ibu bapa perlu tahu cara yang
bersesuaian. Contohnya, posisi badan yang sesuai, turunkan badan supaya
boleh menatap wajah dan muka anak, pandangan mata semasa bercakap,
bahasa dan cara yang sesuai dengan tahap umur anak, nada suara yang
bersesuaian. Semua itu penting supaya mesej yang hendak disampaikan
difahami oleh anak.
-
Banyak membaca kepada/dengan anak
Anak memerhati tabiat ibu ayahnya. Jika mahukan anak-anak suka membaca
buku, ibu dan ayah perlu rajin membaca dengan anak atau bagi anak yang
masih kecil bacakan buku kepada mereka. Percayalah lama kelamaan semakin
mereka meningkat usia, mereka juga akan suka membaca buku.
-
Membenarkan anak-anak bermain
Bermain adalah sebahagian daripada dunia kanak-kanak. Jangan sekat
anak-anak bermain, biarkan mereka bermain asalkan ia tidak berbahaya
kepada mereka. Kanak-kanak belajar banyak perkara ketika bermain.
-
Menghadkan masa menonton televisyen dan penggunaan gajet
Televisyen dan gajet memang boleh membuatkan anak duduk diam tetapi ia
memberi kesan buruk untuk tumbesaran dan kesihatan mereka. Oleh itu
hadkan masa anak-anak menonton televisyen dan menggunakan gajet.
-
Memupuk bakat dan hobi anak
Berikan dorongan dan semangat kepada bakat dan hobi anak anda. Mereka
mampu mencipta kejayaan sekiranya ibu bapa menjadi pembakar semangat
yang utama.
-
Merapatkan hubungan dengan anak melalui sentuhan dan kasih sayang
Anak yang menerima sentuhan, belaian dan kasih sayang yang cukup
daripada ibu bapa akan membesar sebagai anak-anak yang positif, ceria
dan cerdas. Oleh itu pastikan anda tunjukkan kasih sayang kepada
anak-anak setiap saat. Dengan cara ini hubungan anda dengan anak-anak
akan menjadi rapat sehingga ke akhir hayat.
pama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan