Sebenarnya hati lelaki juga adalah lembut dan lebih sensitif daripada perempuan jika tidak menjaganya dengan betul. Ada kalanya perlakuan kita yang dianggap remeh tetapi tidak bagi diri mereka. Biarpun mereka nampak tegas sebagai ketua keluarga, tetapi jauh di sudut hati mereka juga perlukan belaian mesra dan manja seperti seorang bayi.
 
 
Ketahui beberapa perkara remeh yang boleh menyebabkan pasangan merajuk dan elakkan anda daripada melakukannya. Jika kita bijak menyelesaikan masalah remeh ini pastinya hubungan suami isteri anda berdua sentiasa hangat dan membara.
 
 
 

1. Menepis pelukannya

Ketika anda sedang membasuh pinggan atau memasak dan tiba-tiba si dia memeluk dari belakang, jangan sesekali menolak kerana akan menyebabkan suami rasa tersinggung dan merajuk. Biarkan sahaja perlakuannya kerana ini hanya sekejap sebagai tanda kasih sayang dia pada diri anda.
 
 
 

2. Tidak menggosok pakaian kegemaran

Apabila dia sudah mengingatkan anda supaya menggosok baju berkenaan dan anda terlupa melakukannya pasti akan menyebabkan si dia naik angin. Apatah lagi jika dia yang perlu menggosoknya sebelum ke tempat kerja. Anda akan lihat dia tidak akan bercakap dengan anda dan itu tanda dia sedang merajuk. Walaupun nampak remeh tetapi boleh menyinggung hati kecilnya.
 
 
 

3. Tidak angkat panggilan telefon

Paling penting, jangan sesekali tidak mengangkat panggilan telefon daripadanya. Walaupun bukan sesuatu panggilan penting sekadar ucapan ‘hello’ atau bertanya khabar, anda harus mengangkatnya. Jangan biarkan dia menelefon beberapa kali hingga menyebabkan si dia marah dan tidak ada mood untuk bercakap dengan anda.


Lagi satu yang mungkin dianggap remeh oleh anda, terlepas untuk jawab panggilan. Apa salahnya jika anda cuba dail kembali, jangan biarkan. Siapa tahu jika ada hal penting untuk diberitahu. Dan mungkin juga si dia mahu nyatakan emosi yang dialami, sedih, gembira atau tertekan dengan seseorang. 
 
 

4. Bercakap tinggi suara

Anda juga diingatkan agar menjaga intonasi dan kawalan suara ketika berkomunikasi dengannya. Jangan sesekali meninggi suara kerana lelaki tidak suka pada pasangannya yang bersikap begini. Hormatilah dia sebagai suami anda dan sentiasa menjaga perasaannya yang kadang kala agak sensitif. Silap gaya dia akan merajuk untuk beberapa hari disebabkan perkara ini.
 
 
 

5. Layan laman sosial di telefon

Jangan kerana terlalu asyik mengejar teknologi hingga lupa tanggungjawab sebagai isteri. Jika dalam kereta atau hanya berdua-duaan dengan suami, jangan sesekali bermain FB, Twitter, whatsapp atau apa sahaja laman sosial. Pasti pasangan tidak gemar jika anda hanya melayan laman sosial ini berbanding bercakap dengan dirinya.
 
 
 

6. Elak layan lelaki lain

Jika ada seorang yang peramah, simpan sahaja sikap itu jika sedang bersama suami. Jangan terlalu melayan lelaki lain walaupun teman sekolah dulu. Sesetengah lelaki cemburu dengan situasi ini dan dia hanya mahu anda melayannya seorang. Walau bagaimanapun, sebagai isteri, kita sendiri perlu tahu batas-batas tertentu yang boleh diikuti.
 
 

7. Jangan tukar siaran lain ketika tonton televisyen

Walaupun nampak remeh, tetapi jika berlaku bakal mengundang rasa merajuk buat lelaki. Janganlah sesekali menukar rancangan lain sekiranya dia dulu yang sedang menonton televisyen. Apatah lagi jika sedang menonton rancangan kegemaran seperti bola sepak. Lebih baik anda mengambil hatinya dengan menyediakan segelas air panas untuknya.
 
 

8. Tidak sediakan keperluan ketika makan

Lelaki mengibaratkan diri mereka seperti raja. Apa sahaja keperluan mereka perlu dihidangkan di depan mata. Sekiranya mereka tengah makan, jangan lupa menyediakan air basuh tangan, air minuman dan juga sentiasa menemaninya di meja makan. Walaupun anda tidak makan, tetapi cukuplah sekadar menemaninya berbual di meja makan. Mungkin keadaan ini lebih menyelesakan bagi dirinya.
mingguan wanita