Khamis, 11 Jun 2015

Waktu Kita

Kebanyakan dari kita merasakan waktu dua puluh empat (24) jam dalam satu hari tidak mencukupi. Tapi sebahagian dari kita pula masa yang ada dua puluh empat jam bagi satu hari itu sangat memadai. Masa itu cukup untuk memenuhi keperluan harian seperti bekerja, berniaga atau bercucuk tanam dan dalam pada itu maseh sempat rehat-rehat dalam setengah jam atau sejam sebelum tiba waktu solat zohor pada setiap hari. Rehat-rehat disini bukan seperti yang kita rehat waktu di pejabat, tapi rehat-rehat bagi mereka ialah berbaring dengan bantal ataupun dengan istilah yang lebih tepat ialah tidur. Bagaimana mereka menguruskan masa mereka?
 
 
 

Sebenarnya ramai antara kita telah menganiayai diri kita sendiri apabila tidak menguruskan masa dengan cara yang betul. Allah s.w.t. menceritakan kepada kita dalam surah al Kahfi tentang pemuda-pemuda yang masuk kedalam gua bagi menyelamatkan iman mereka lalu Allah s.w.t. memberikan masa tidur mereka selama tiga ratus (300) tahun dan apabila tersedar dari tidur yang dirasakan cuma setengah hari itu wang yang mereka hendak belanjakan sudah tidak digunakan lagi. Cucu dan cicit mereka juga telah menjadi sangat tua apabila mereka cuba kembali kerumah mereka sendiri. Begitulah Allah s.w.t. mengurniakan masa kepada sesiapa yang di kehendakiNya.

Lalu bagaimana kita hendak memperoleh masa yang mencukupi bahkan memadai untuk meneruskan kehidupan dalam zaman yang penuh kerosakan umat ini?

Tidak ada cara lain hanyalah menurut segala perintah Allah s.w.t. ikut cara Rasulullah s.a.w. kerana dengan cara ini Allah ta'ala jamin ada kejayaan. Yang pertama jangan tinggalkan solat berjemaah ditempat dimana azan dilaungkan. Kedua tambah dengan solat-solat sunat serta bacaan al Quran sekurang-kurangnya 100 ayat. Ketiga zikir pagi dan petang. Ke empat ajak orang lain datang ke rumah Allah untuk bersolat sebab jika tak ajak nanti di Padang Mahsyar mereka akan mendakwa kita tak mengajak mereka. Kelima bantulah mana-mana orang yang memerlukan bimbingan agama walaupun kita sendiri tidak cukup ilmu agama (bantu sekadar mana yang mampu.) Rasanya lima perkara ini sudah memadai sebagai permulaan mendekatkan diri kita kepada Allah s.w.t.

Yang pasti setiap hari selepas solat hajat mintalah kepada Allah ta'ala agar Allah s.w.t. berikan masa yang cukup lagi berkat untuk keperluan harian kita. Minta juga keluasan rezeki dan berkat dalam solat dhuha harian kita. Minta juga kesempurnaan keperluan harian kita dalam solat isyrak.

Masa untuk kita berada di atas muka bumi ini sebenarnya ialah masa yang tersangat singkat walaupun usia kita boleh mencapai 63 atau 83 tahun. Cuba kita lihat nyamuk dan kupu-kupu yang hanya diberi izin oleh Allah ta'ala untuk hidup cuma satu minggu. Cuba kita lihat pula gajah dan penyu yang diberi tempoh hidup mencapai 300 tahun. Bahkan kedua makhluk ini merasakan usia sebegitu memadai bagi mereka sebab Allah ta'ala Maha Mengetahui sukatan masa yang diberikan kepada setiap jenis makhluknya baik yang melata dibumi atau dalam perut bumi atau terbang diangkasa.

Ada orang duduk dalam masjid selepas solat suboh sehingga terbit matahari (syuruk) dan ada pula terus keluar terburu-buru sebaik imam memberi salam, walhal duduk sambil berzikir bersama-sama makmum lain selepas solat fardhu mempunyai fadhilat yang sangat istimewa yang tidak dapat dilihat oleh mata. Namun hakikatnya ketenangan (sakinah) datang kedalam diri menjadikan kita tidak terburu-buru kesana kemari mengejar dunia seperti mereka bahkan sebaliknya dunia mengejar kita.

Tidak sabar dengan menunggu imam dalam solat suboh melantunkan istighfar, zikir, bacaan al Fatihah, ayatul Qursi serta tasbeh Fatimah disertai dengan doa menjadikan kita orang yang rugi. Menjadikan kita orang yang memburu masa, walhal dengan duduk sehingga semua makmum selesai sebenarnya kita telah memberikan masa kita kepada rumah Allah dan pasti Allah suka dan akan menggantikan masa kita itu dengan masa yang kita rasa sangat berbaloi. Inilah kunci keberkatan masa dalam kehidupan harian kita.

Di alam barzakh kita dijanjikan masa yang panjang. Ada yang menyatakan tempohnya mencapai sehingga 40 ribu tahun. 40 ribu tahun ini jika mengikut masa tahun dunia pun sudah terlalu panjang apalagi jika dikira mengikut tahun dilangit pasti 40 ribu di dharab dengan seribu. 

Bagi orang yang menjaga waktu solat dan memberi masa kepada rumah Allah pasti 40 ribu tahun itu tidak terasa panjangnya sebab dengan izin Allah waktu itu boleh disingkatkan menjadi cuma setengah hari saja lalu tiba-tiba sangkakala ditiup oleh Malaikat Izrafil dengan serta merta seluruh alam (7 petala langit dan bumi) hancur. Manakala tiupan kedua tiba-tiba kita sudah berdiri di Padang Mahsyar.

Di Padang Mahsyar juga tempohnya memakan masa sehingga 56 ribu tahun jika di dharab dengan 1000 pastinya menjadi 56 trilion tahun. Itulah tempoh kita bersusah payah mencari sesiapa yang kita pernah aniaya atau berhutang semasa dibumi dulu untuk memohon ampun atau melunaskan hutang yang tertangguh semasa didunia. Namun bagi mereka yang menjaga waktu solat serta ikut semua perintah Allah (sebagaimana yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w.) serta meninggalkan segala laranganNya pasti tempoh masa yang panjang itu tidak terasa panjang.

Selesai urusan Padang Mahsyar kita akan ke Mizan pula dimana segala amalan baik atau buruk ditimbang. Selesai urusan Mizan baru kita ke Titian Sirat dimana titian sehalus sehelai rambut dibelah tujuh sepanjang 500 tahun mendaki 500 tahun rata dan 500 tahun menjunam turun. 500 tahun jika di dharab 1000 akan menjadikan perjalan mendaki sejauh 5 juta tahun,perjalanan rata sejauh 5 juta tahun juga dan perjalanan menurun sejauh 5 juta tahun juga.... so total tempoh masa di titian sirat ialah 15 juta tahun. Namun Allah s.w.t. telah memberikan jaminan dalam hadith Nabi s.a.w. yangmana mahfumnya lebih kurang begini. "Barangsiapa dapat menjaga solat fardhunya maka Allah ta'ala berikan lima perkara, pertama diberikan rezeki untuknya, kedua terlepas dari azab kubur, ketiga menerima buku catatan amal dengan tangan kanan, ke empat melintas Titian Sirat sepantas kilat dan kelima masuk syurga tanpa hisab".

Perkara yang ke empat diatas membuktikan peringkasan masa atau tempoh masa dari 15 juta tahun menjadi sangat cepat sepantas kilat. Inilah kurniaan Allah ta'ala kepad Umat Nabi Muhammad s.a.w. Dan seharusnya kita merasa berbangga dan bersyukur kerana kita menjadi umat akhir zaman dimana segala yang tidak pernah dikecapi oleh umat terdahulu telah diberikan kepada kita.

Kita mendapat ayatul Qursi, surah Yaa Siin, surah al Fatehah, solat lima waktu sehari semalam, solat Tahajud yang mana perkara-perkara ini tidak diberikan kepada Nabi-nabi a.s. yang terdahulu. Inilah yang menbjadikan kebanyakan Nabi-nabi a.s. yang terdahulu merasa cemburu terhadap kita apalagi kurniaan malam Lailatul qadar yang hanya kita saja yang dapat. Umat Nabi Musa a.s. tak dapat malam Lailatul Qadar! Umat Nabi Isa a.s. pun tidak diberikan malam Lailatul Qadar, begitu juga umat Nabi Ibrahim a.s. tidak mendapat malam tersebut. Lalu bagaimana kita membuat azam atau persiapan bagi meluangkan masa kita untuk kedatangan Lailatul Qadar pada tahun ini begitulah juga masa yang kita perolehi tanpa azam atau persiapan. Maka jadilah kita orang-orang yang rugi.

Ketahuilah masa di akhirat selepas peristiwa Titian Sirat adalah tiada penghujungnya. Kedudukan kita di akhirat ialah sebagaimana kesediaan kita meluangkan masa untuk menta'ati segala perintah Allah ikut cara Nabi Muhammad s.a.w. Jika kita mengabaikan segala keistimewaan yang ada bermakna kita akan menjalani kehidupan yang kekal abadi dalam keadaan yang azab.  Sebaliknya apabila kita menta'ati segala perintahNya ikut cara Nabi Muhammad s.a.w. maka kahidupan kita yang kekal abadi disana dalam usia yang (muda) tetap 30'an dalam keadaan senang lenang dan segala apa yang di hajati datang semua kepada kita.

Setiap tahun pada bulan Ramadhan para Malaikat di perintahkan oleh Allah untuk mewangikan syurga untuk Jinn dan Manusia, jadi marilah kita memberi masa untuk menunaikan segala perintah Allah ikut cara Nabi s.a.w.


La haula wala quwwata illa billah..~
blog tok wan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Anda Berkenan .

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...