Pengalaman Dan Coretan Aliya (Mualaf)
"Babi sedapkah?"
"Apa rasanya?"
"Mengapa orang Cina suka makan daging babi?"
Apabila saya
menceritakan kepada suami cara memasak 'Tao-Yu Bak' (Daging Babi masak
kicap), resipi yang diwarisi daripada nenek saya, wajahnya akan berubah,
geli gelaman dan loya. Biasalah orang Melayu, dibesarkan dari kecil
untuk membenci babi. Tapi bagi saya yang hidup makan daging babi selama
lebih 3 dekad, ia bukanlah sesuatu yang luar biasa. Sudah tahu tekstur
daging itu, dan sudah boleh bezakannya daripada daging ayam serta lembu.
Setiap kali juga,
apabila ditujukan soalan tentang pemakanan daging ini oleh mereka yang
baru memeluk Islam kepada mereka yang lahir Islam, kebiasaannya akan
disuruh elak. Haram makan makanan tidak halal. Dosa besar.
Tapi bagaimana nak elak
makan sekiranya mualaf itu masih tinggal dan bergantung kepada
keluarganya yang bukan Islam, serta sudah menjadi kebiasaan makan
bersama? Nak makan daging? Daging bagi keluarga Cina dan Hindu adalah
daging babi, bukan daging lembu. Mana boleh makan, haram. Nak makan ayam
yang tidak disembelih cara Islam, haram juga.
Habis nak makan apa?
Ikan? Tapi.. kata ustaz kalau makanan dimasak dalam periuk atau kuali
yang tidak disamak tetap haram hukumnya. Tidak boleh dimakan.
Tao-Yu Bak
Habis, nak makan apa?
Ahhh, dilema yang dihadapi ramai mualaf yang masih belum mengkhabarkan pengislaman mereka kepada keluarga masing-masing.
Mengapa belum?
Kerana kebanyakan mereka
golongan pelajar sekolah dan kolej, mahasiswa, atau yang tidak ada
pendapatan tetap atau kediaman lain. Mereka yang bergantung kepada
keluarga untuk sara hidup, pendidikan dan tempat perlindungan.
Bila mereka nak beritahu keluarga bahawa mereka dah Islam?
Entah, mereka masih
mencari jalan. Masih berikhtiar untuk menyampaikan berita tersebut
dengan lembut. Kerana tahu bahawa kelaurga tidak akan merestui
pengislaman mereka.
Perlu mengambil masa,
agar tidak terputus hubungan kekeluargaan. Agar ibu bapa yang sudah tua
dan uzur tidak diserang sakit tenat akibat terkejut dan sakit hati
dengan berita tergempar itu.
Tapi bagaimana mereka
nak hidup sebagai orang Islam kalau belum beritahu keluarga? Kalau sudah
peluk Islam, kenalah beritahu. Haram makan makanan tidak halal. Wajib
mengerjakan solat. Kena puasa pada bulan Ramadhan. Yang wanita, perlu
jaga aurat. Apa status mereka?
Itulah masalahnya. Anda
dilahirkan sebagai sebagai orang Islam, anda tak alami sendiri masalah
mereka yang baru memeluk Islam. Mereka yang kita gelar 'closet Muslim'
atau 'mualaf sembunyi' kerana belum mengisytiharkan pengislaman mereka.
Ramai yang muda belia. Mereka berani kerana memeluk Islam setelah
belajar Islam dan benar-benar yakin bahawa Islam agama benar, dan
walaupun mereka mungkin menghadapi amcaman dihalau oleh keluarga
masing-masing dan ditamatkan pembiayaan pengajian kolej atau universiti
sekiranya keluarga mereka mengetahuinya.
Mereka ini semakin ramai
tetapi kerana ada yang belum mendaftarkan diri sebagai orang Islam di
jabatan agama Islam, kita tiada data. Tak dapat dikesan kecuali mereka
sendiri memberitahu.
Makanan? Terpaksalah
mereka pandai-pandai pilih makanan yang halal. Berusaha mengelak
daripada makan daging babi bila bersama keluarga. Kita boleh dengan
mudahnya berkata bahawa berdosa makan makanan yang tidak halal tetapi
ingatlah bahawa mereka yang baru berstatus mualaf "sembunyi" tidak ada
banyak pilihan, terutama bagi mereka yang keluarganya kuat beragama atau
berpegang pada adat resam. Mengaku orang Islam bermakna bakal dihalau
dari rumah, terputus hubungan kekeluargaan untuk sementara waktu, dan
akan mengakibatkan keluarga sendiri dipulaukan dan dikecam hebat oleh
jiran dan saudara mara yang juga bukan Islam.
Solat? Yang sudah
belajar akan cuba lakukan secara sembunyi-sembunyi. Satu risiko. Yang
muslimah, mungkin terpaksa solat dengan skaf panjang dan kain batik
menggantikan telekong kerana kain telekong bukti nyata bahawa mereka
sudah Islam. Yang belum pandai solat dan berisiko tinggi, hanya mampu
berzikir dan berselawat.
Puasa? Sama juga, yang
dapat berpuasa akan berusaha untuk puasa. Yang sudah menjadi kelaziman
makan tengah hari dengan keluarga, tahu-tahu sahaja. Sudah tentu mereka
sedih kerana tidak mampu berpuasa seperti muslim yang lain. InsyaAllah,
mereka akan bayar fidyah apabila berjaya hidup bebas nanti.
Sampai bila nak diamkan diri? Hidup dalam kepuraan? Mereka kena beritahu keluarga!
Sampai mereka bersedia
untuk memberitahu. Atau sehingga Allah swt tentukan sendiri bahawa
masanya sudah tiba untuk keluarga mengetahuinya. Kalau anda anggap hidup
dengan membohongi keluarga tersayang sebagai satu kesalahan dan satu
dosa yang tidak patut dilakukan oleh Muslim, bayangkan pula tekanan
batin mereka yang melaluinya.
Kena pilih antara cara
hidup Islam dan keluarga yang masih kafir. Menghitung hari sehingga
mereka dapat berdikari dan bebas hidup sebagai orang Islam.
Saya pernah tujukan
permasalahan ini kepada beberapa orang kawan dan ustaz yang saya kenali,
yang lahir Islam. Jawapan mereka adalah perlu beritahu keluarga. Tak
ada jalan lain.
Jawapan saya kepada
mereka yang bertanya (pendapat saya), berusahalah hidup sebagai orang
Islam setakat mana yang termampu. Sentiasa berdoa dan memohon ampun
daripada Allah. Elakkan makanan yang tidak halal atau sekurang-kurangnya
kurangkan pengambilan. Dapatkan sokongan moral dan nasihat mereka yang
memahami agar diri tidak terlalu tekanan dengan kehidupan dua identiti
ini. Sambil-sambil itu, berikhtiar juga agar dapat memberitahu keluarga
tentang pengislaman masing-masing dengan cara terbaik.
Kita yang sudah Islam
selalu beranggapan bahawa tugas membantu golongan mualaf dan mereka yang
berminat pada Islam adalah tugas dan tanggungjawab NGO dan agensi
Islam. Tanggapan itu perlu dikikis kerana kerap kali, (maafkan saya)
pertubuhan begitulah yang sering merosakkan nama baik Islam. Ada
segolongan pegawai yang cepat membuat andaian (peluk Islam mesti nak
kawin, mudah menghukum halal-haram, tak boleh itu dan ini, kena buat
begini kalau tidak tak sah solat bla3), cakap tak serupa bikin (mewakili
nama Islam tetapi bercakap kasar, acuh tak acuh dan tidak sabar).
Mualaf 'sembunyi' lebih
memerlukan sokongan moral dan bantuan kewangan (bagi yang masih
menuntut) supaya mereka lebih bersedia dan berani mengisytiharkan
pengislaman mereka dengan lebih awal. Mereka tidak perlukan tekanan lagi
dengan kita memberitahu bahawa tindakan mereka terus makan babi bersama
keluarga dan meninggalkan amalan lain adalah berdosa.
Kita sering menganggap
permasalahan mereka sebagai perkara lekeh dan kecil, yang
dibesar-besarkan. Selalu kita tegaskan, kalau dah Islam kenalah buat
cara Islam. Tak alami maka tak ketahui, seterusnya tak fahami, tak dapat
berempati.
Ia sama seperti seorang
yang tidak pernah dibedah, tentu sekali tidak akan tahu bagaimana sakit
anggota badan setelah ubat bius habis, betapa susahnya menjaga luka agar
tidak dijangkiti kuman. Hanya boleh membuat teori dan andaian. Mudah
menyalahkan pihak lain dengan tuduhan sengaja mengada-ngada.
Janganlah kita golongan
seperti itu. Letakkan diri kita di tempat mualaf 'sembunyi'.
Sekurang-kurang yang boleh kita lakukan adalah mendoakan mereka agar
Allah perkuatkan iman mereka.
Sekurang-kurangnya
mereka ini walaupun belum dapat mengisytiharkan diri sebagai orang
Islam, mereka sudah beriman pada Allah swt. Mereka berusaha untuk
mendalami Islam, makan makanan halal, mendirikan solat dan puasa. Tidak
seperti golongan tertentu yang beridentitikan Muslim tetapi dengan rela
dan sukacitanya menghirup arak, makan daging babi, meninggalkan solat
dan berpesta makan pada siang Ramadhan.
Nabi s.a.w mengambil
masa bertahun tahun lamanya uantuk membina keimanan dan akidah.
Sedangkan pada waktu itu para sahabat masih lagi meminum minuman yang
mengharamkan dan memakan makanan yang mengharamkan. Contohnya ada
sahabat yang bersolat dalam keadaan mabuk tetapi Nabi s.a.w. tidak
menegur sehingga Allah s.w.t. menurunkan ayat mengharamkannya.
Ramai penda'ii
mengislamkan yang bukan Islam terus mengharap si Mualaf fi Qulub itu
meninggalkan segala yang diharamkan dan terus pandai bersolat. Mereka
ingin si-mualaf terus menjadi seperti orang orang Melayu disekeliling
mereka. Masyarakat berterusan memberikan tekanan emosi dan mental keatas
mualaf dan saudara baru. Masyarakat menjadikan saudara baru itu Melayu
lebih dari Islam dari segi berpakaian, pemakanan, percakapan, tingkah
laku dan sebagainya.
*sumber http://zharifalimin.blogspot.my/ / detik islam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan