Bercakap tentang bumi Palestin dan Masjid Al-Aqsa
bukan perkara asing di negara ini, namun Timbalan Pengurus Hal Ehwal
Islam Masjid Al-Ikhlas, Ustaz Mu’awwidz Al-Ansori Dzulkefly hari ini
mengingatkan betapa pentingnya umat Islam mempertahankan bumi yang telah
dijajah lebih 60 tahun itu.
“Apa pentingnya Masjid Al-Aqsa ini? Kenapa
Masjid Al Aqsa disebut sebagai pilihan ketiga dengan ganjaran pahala 500
solat? Sedangkan kita ada Masjid Negara, masjid negeri malah ada Masjid
Karangkraf.
“Sebenarnya apabila kita menyebut tentang isu Palestin sebenarnya
kita sedang bercakap tentang Al-Quran, akidah umat Islam dan secara
tidak langsung menyentuh isu kiblat yang pertama umat Islam.
“Jadi, kalaulah hari ini ada yang mendakwa kenapa kita perlu
sibuk-sibuk bicara tentang isu Palestin? Nah itulah jawapannya. Tidak
ada jawapan yang lebih besar dan berharga daripada jawapan itu,” katanya
ketika menyampaikan ceramah sebelum solat Jumaat di Masjid Karangkraf,
hari ini.
Beliau turut mengimbau kembali di mana Saidina Umar al-Khattab pernah meriwayatkan bahawa Masjid Al-Aqsa
bukan sekadar menjadi tempat penting untuk umat Islam namun barang
siapa mendapatkan Masjid Al-Aqsa dan sekitarnya, maka mereka akan
menguasai dunia.
“Pada hari ini, siapa yang terhegeh-hegeh nak dapatkan tempat itu?
Mereka ini tidak segan silu mengisytiharkan Palestin adalah milik mereka
dengan mewujudkan sejarah yang palsu tanpa sandaran yang kuat iaitu di
bawah Masjid Al-Aqsa ada satu tapak kuil, ‘Temple of Solomon’.
“Kemudian mereka menggali di bawah Masjid Al-Aqsa
itu. Hakikatnya, sudah bertahun mereka menggali terowong yang kononnya
untuk mencari kuil tersebut tapi tak jumpa-jumpa sehingga hari ini,”
katanya.
Katanya, penjajahan kali pertama berlaku di Palestin pada tahun 1948
sehingga ke hari ini masih berlarutan, kira-kira ebih 67 tahun.
Beliau turut meminta jemaah membayangkan tempoh itu yang sudah sebaya
usia ibu bapa masing-masing dan sepanjang tempoh itu hidup mereka
dijajah, diratah dan tiada erti kebebasan.
“Bayangkan mereka hidup di rumah mereka sendiri tetapi tiada kebebasan di rumah sendiri.
“Mengapa dunia hari ini sekadar menjadi pemerhati yang setia? Kalau
kita lihat nisbah populasi umat Islam di sekitar Palestin, kita ada
lebih kurang dalam 300 juta umat Islam. 150 juta di Mesir, 75 juta di
Jordan. Tetapi kenapa, sampai ke hari ini, Masjid Al-Aqsa masih dijajah?,” katanya.
Sumber: Sinar Harian /terbakor
Tiada ulasan:
Catat Ulasan