Jangan kahwin muda?
Beberapa hari yang lalu, Mahkamah Syariah mengeluarkan statistik tentang
penceraian yang berlaku pada pasangan muda di Selangor. Bila korang
tengok statistik ini, ia sangat kritikal!
Secara peribadi, saya memang sudah sedia maklum tentang perkara ini
selepas bertanya pada beberapa pegawai agama. Kes penceraian yang paling
banyak berlaku adalah dari kalangan pasangan muda. Dalam gambar ini,
hanya sebahagian kecil senarai sebab penceraian berlaku.
Nampak macam remeh bukan? Tetapi inilah realiti!
Penceraian di kalangan pasangan mudai ni sebenarnya ada 'Root Cause' dia. Apa root cause-nya?
1. Antaranya ialah, ramai anak-anak muda menyangka perkahwinan ini
adalah magik. Contohnya, ramai yang bersemangat dan berkobar-kobar mahu
berkahwin di usia muda dengan alasan mahu mengelakkan maksiat, mahu
tunduk pandangan dan sebagainya.
Padahal, ramai saja orang selepas kahwin masih buat maksiat, masih tidak
tunduk pandangan, masih kacau perempuan lain, masih kacau suami orang
lain dan sebagainya. Sebab apa?
Sebab kahwin bukan magik. Kahwin tidak akan mengubah diri anda punya
masalah peribadi dan iman. Yang ubah masalah peribadi dan iman seseorang
itu adalah taqwa. Taqwa ini bermaksud, perintah pada Allah dan menjauhi
larangan Allah bersungguh-sungguh serta mengikut sunnah Rasulullah
semampu yang boleh.
Ya, taqwa akan mengubah peribadi kita. Kahwin itu hanya membantu saja
tetapi bukan mengubah. Taqwa ini bukan dapat selepas kahwin, sebalik
kena usaha sebelum kahwin lagi.
Kalau sebelum kahwin tak tunduk pandangan, selalu tengok video lucah,
kacau perempuan, jadi pisau cukur, suka usha lelaki dan sebagainya,
selepas kahwin ingat semua perkara itu akan hilang begitu saja? Tidak!
Kalau nak hilangkan, mesti berusaha dari sebelum kahwin lagi. Selepas
kahwin, pasangan hanya boleh membantu sikit-sikit sahaja. Selebihnya
adalah pada diri kita sendiri. Kita yang kena berusaha ubah masalah dan
dosa peribadi.
Dulu pernah sekali di zaman saya belajar, ada dua pelajar yang berkahwin
semasa belajar di sebuah IPT Malaysia. Kalau tak silap, masa itu mereka
berada di tahun 2.
Selepas setahun berkahwin, mereka bercerai dalam keadaan perempuan itu
nak menghadapi final exam pada tahun 3. ALasan bercerai, bekas suami
bermain kayu tiga dan juga memberikan alasan bahawa,
"Tak puas hidup bujang,".
Padahal sebelum kahwin punyalah beria-ria kononnya berkahwin sebab nak tundung pandangan, elak maksiat dan sebagainya.
Ini kes betul. Sebab itu sebelum kahwin, baiki ketaqwaan kita setiap
hari. Setiap kali kuthbah Jumaat selalu sebut tentang 'Perbaiki dan
tingkatkan Taqwa,".
2. Ramai juga yang memberikan alasan mahu berkahwin di usia muda kerana
selepas kahwin akan dimurahkan rezeki. Jadi, sebelum kahwin, tidak
perlulah fikir tentang kewangan sebab kononnya kewangan itu dunia
sahaja. Lalu menyangka selepas kahwin, duit akan turun mencurah-curah
seperti hujan.
Kurang tepat sebenarnya. Islam ini bukan agama magik. Memang benar
perkahwinan akan memberikan rezeki yang berkat, permudahkan rezeki.
Tetapi jika tiada usaha dan ikhtiar, memang tak ke mana.
Sebelum kahwin tahunya tidur selepas subuh, bangun bila sudah tengah
hari. Kemudian buat kerja atau cari kerja pula malas. Sebelum kahwin,
selalu mengharapkan duit ibu bapa di kampung sebab malas mahu berdikari
mencari sendiri. Selepas kahwin pun tak nak berubah atas alasan "Nanti
murah rezeki". Tetapi solatp un tak jaga, amal entah ke mana, tidur
sampai ke laut, dah kahwin pun selalu main game sampai mengabaikan
tanggungjawab dan sebagainya. Macam mana rezeki itu nak datang melimpah
ruah dan berkat?
3. Bila sudah bercerai, 'Takdir' pula yang dipersalahkan.
"Ini semua takdir, nak buat macam mana?"
Dalam buka "Aku Bukan Malaikat" pun saya ada ulas secara terperinci
tentang 'Apa Itu Takdir'. Bacalah di sana. Tetapi nak kata, bercerai ini
bukan semata-mata takdir, ia juga adalah pilihan. Sebab itu cerai
adalah perkara halal yang Allah benci. Allah beri pilihan pada kita sama
ada nak buat ataupun tidak.
4. Selain itu, dalam rumahtangga sebahagiannya langsung tak hidup amal
fardi seperti solat berjemaah, baca Quran, baca hadis, budaya berbincang
suami isteri, bangun tahajjud dan sebagainya.
Budaya ini mungkin berlaku pada awal perkahwinan. Iyalah, sebab masih
'manis' lagi. Selepas pertengahan, terus kering. Lalu hilanglah sakinah,
mawaddah dan rahmah dalam rumahtangga.
Banyak lagi faktor bercerai pada pasangan muda ini selain dari tidak
matang dan sebagainya. Jadi, apakah jalan penyelesaiannya? Adakah dengan
jangan kahwin muda?
Salah! Kalau nak kahwin di usia muda, kahwin sajalah sebab perkahwinan
itu antara solusi terbaik. Tetapi buatlah persediaan yang betul kerana
kahwin ini bukan perkara main-main. Ia melibatkan maruah, kehormatan,
aib, tanggungjawab, hubungan antara kelurga dan melibatkan perjalanan
akhirat kita, sama ada ke syurga atau neraka.
Jadi apakah persediaan untuk kahwin? Saya sudah huraikan dalam buku 'Aku
Bukan Malaikat" itu panjang lebar. Nanti taip di sini, status jadi
semakin panjang pula.
Cuma ingat, nak bernikah jangan ditunda-tunda dan jangan pula
tergesa-gesa. Buatlah persediaan yang betul-betul, bukannya main redah
begitu saja. - Shukery Azizan | Ditulis semula untuk siaran di
THEHYPEMEDIA.COM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan