Dalam laporan akhbar baru-baru ini heboh mengatakan kes penceraian semakin meningkat di negara ini di mana 156 pasangan Islam bercerai setiap hari.
 
Wow! Itu satu angka yang sangat tinggi dan menakutkan.
 
Dalam melayari rumah tangga memang banyak ketidasefahaman antara suami dan isteri boleh berlaku. Mungkin dulu waktu bercinta semua nampak cantik dan indah tetapi bila sudah hidup serumah baru tahu segala baik buruk pasangan.
 
Tetapi bukankah pasangan suami isteri itu perlu saling melengkapi. Tak ada yang boleh jadi Mr/Mrs.Perfect 10. 
 
Bagi yang bergelar suami isteri, masing-masing kena jaga beberapa perkara berikut supaya rumah tangga bahagia hingga ke jannah.
 
 
1. Jaga hubungan dengan Allah
 
Mula-mula sekali mesti utamakan Allah SWT dalam apa jua perkara. Kalau kita jaga hubungan dengan Allah, Allah akan jaga kita. Solat jangan tinggal, lagi bagus kalau suami boleh ajak isteri solat berjemaah dan ajar isteri bab-bab agama yang isteri tak tahu. Bukankah isteri dijadikan daripada tulang rusuk suami, jadi memang wajiblah suami bimbing isteri ke jalan yang diredai-Nya.
 
2. Jaga aib pasangan masing-masing
 
Islam mengajar suami isteri supaya saling jaga aib masing-masing. Jangan terlalu 'open minded' dan urban sangat hingga aib pasangan hendak diberitahu kepada semua orang. Kononnya, berfikiran terbuka dan mahukan pendapat pihak ketiga. Takut-takut buruk padahnya.
 
3. Jangan viralkan masalah rumah tangga dalam media sosial
 
Facebook bukan tempat berkongsi masalah. Kalau ada masalah dalam rumah tangga, jangan sesekali kongsi dalam facebook. Anda hanya akan mengundang lebih banyak masalah. Tak pasal-pasal kisah rumah tangga anda akan diviralkan oleh pihak yang hendak mengaut rating tinggi bagi portal dan fanpage mereka. 
 
4. Tak perlu kongsi kebaikan suami
 
Contoh kes, Jemah berkongsi gambar suaminya menolong membasuh pinggan mangkuk dalam facebook dan tidak lupa 'tag' nama suaminya. Lepas itu dia tulis komen, "Tima kasih en.hubby tolong basuh pinggan. Love you till jannah."
 
Tak sampai lima minit, berpuluh komen masuk. Antara komen yang popular "Eh sweetnya hubby you", "Untunglah ada suami rajin", "Nak cari suami macam nilah".
 
Sebagai isteri sudah tentu anda akan berasa bangga dan beruntung kerana ada suami yang rajin membantu tetapi jangan lupa ia juga boleh membuka pintu masalah lain. Mungkin ada wanita lain yang akan 'request friend' dengan suami anda di facebook, kemudian dia menghantar mesej peribadi kepadanya maka terjalinlah hubungan. Lebih baik kita fikirkan kesan buruknya berbanding menafikan ia untuk berlaku.
 
5. Kemas rumah bersama-sama
 
Tak kira sama ada isteri adalah wanita berkerjaya atau seorang suri rumah, suami perlu membantu isteri mengemas rumah. Sebenarnya lagi bahagia rumah tangga kalau suami isteri kemas rumah bersama-sama. 
 
Isteri pun penat juga seharian menguruskan kerja di pejabat atau anak-anak di rumah. Jadi, tak salah kalau suami tolong apa-apa kerja yang patut macam membasuh pakaian (guna mesin basuh pun), melipat pakaian, menyapu lantai rumah dan lain-lain lagi.
 
Janganlah jadi suami yang tipikal! Balik kerja, duduk depan tv sambil layan handphone atau main games coc. Anak-anak yang masih kecil pun isteri yang hendak uruskan. Macam mana isteri tak 'angin'.
 
6. Jangan komen cara kerja pasangan
 
Bagi si isteri pula, kalau suami jenis yang ringan tulang maka bersyukurlah. Jangan pula komen cara kerja pasangan. Contohnya, tak suka cara suami melipat atau menyidai pakaian. 
 
Lagi melampau boleh pula kongsi ketidakpuasanhati dengan cara kerja suami di facebook. Habis satu dunia tahu cara suaminya melipat atau menyidai baju yang kononnya tidak mengikut piawaian dirinya. 
 
7. Utamakan kewajipan
 
Kewajipan seorang isteri di rumah sudah pasti menjaga keperluan suami. Jadi, kalau di rumah pastikan anda bereskan dahulu menyediakan makan minum suami. Jangan leka sangat melayan mesej di facebook dan whatsapp sampai suami kelaparan!
 
8. Ucap terima kasih
 
Tak susah untuk mengucapkan terima kasih tapi masih ramai yang berat hendak mempraktiskannya. Tahukah anda, dengan ucapan terima kasih secara ikhlas daripada suami atau isteri ia mampu membuatkan pasangan berasa sangat disayangi. 
 
Bukan susah pun. Suami boleh ucapkan terima kasih kerana isteri masakkan makanan yang sedap, gosokkan bajunya atau apa sahaja. Isteri pula ucapkan terima kasih sebab suami tolong jagakan anak, kemas rumah dan sebagainya. 
 
9. Selalulah memuji
 
Biasakan memuji kebaikan atau penampilan pasangan. Jangan sampai orang lain yang memuji suami atau isteri anda. Suami dan isteri yang kerap menerima pujian akan lebih menghargai pasangannya. 
 
10. Jangan lupa peluk cium pasangan
 
Kajian psikologi mendapati pelukan suami isteri dapat mengurangkan tekanan perasaan. Pelukan yang dilakukan sebelum tidur selama 10 minit (tanpa diteruskan dengan hubungan intim) dapat melepaskan segala perasaan negatif yang tersimpan dalam hati sepanjang hari. 
 
Pelukan sangat diperlukan dalam hubungan suami dan isteri. Pelukan bukan sekadar permulaan kepada hubungan intim suami isteri sahaja tetapi sebagai hubungan perasaan dan perkongsian emosi antara suami dan isteri.
 
Maka, selalulah peluk isteri dan suami masing-masing!
pama