Rabu, 13 Januari 2016

Tip Berdepan Rakan Sekerja Yang Menyakitkan Hati

Tip Berdepan Rakan Sekerja Yang Menyakitkan Hati
Dari jam 9.00 pagi hingga 6.00 petang dari hari Isnin hingga Jumaat malah ada juga hujung minggu sebahagian masa anda dihabiskan di tempat kerja. Jadi bayangkan kalau anda berkonflik  atau bergaduh dengan rakan sekerja yang setiap hari ditemui.

Tentunya suasana tidak selesa malah buat anda rasa malas ke pejabat. Kalau boleh tak mahu tengok muka si polan itu.  Tak dapat dinafikan walau cuba mengelak tapi ada juga rakan sekerja yang berasa tidak puas hati atau menimbulkan masalah hingga anda terjebak dengan konflik. Kalau anda berada dalam situasi ini apa yang harus dilakukan?  


Tenang, jangan buat kecoh
Ketika rakan anda itu memerli atau meluahkan kata-kata yang menyakitkan hati jangan balas. Diam, tenang dan ambil headset untuk dengar lagu. Jangan dengar kata-katanya kerana ia boleh menyebabkan anda marah dan bertindak di luar batas profesional.

Tegas
Kadang kala konflik peribadi dengan rakan sekerja boleh membabitkan kerja. Anda mungkin dimarah, kerja anda selalu dilihat salah dan sebagainya. Jika ini berlaku, cuba tegaskan kepadanya dengan cara profesional agar tidak mengaitkan konflik peribadi dengan kerja. Gunakan intonasi suara yang tegas supaya dia tahu anda serius.

Bersikap matang
Pernahkah anda alami keadaan di mana, tak tahu apa silap anda tapi rakan sekerja seolah-olah tidak suka dengan anda. Jika ini berlaku, jangan biar situasi itu berterusan.  Bersikap matang, dekati rakan itu dan tanya puncanya. Tapi pastikan anda mendekatinya pada waktu yang sesuai, selesai waktu kerja contohnya.

Elakkan bertemu
Anda mungkin mahu menyelesaikan konflik tapi rakan sekerja berhati batu mahu terus dengan situasi yang tidak selesa ini.  Jika dia sukar diajak berunding,  maka seboleh mungkin kurangkan pertemuan dengannya untuk mengelakkan keadaan yang kekok. Ini juga mungkin cara untuk mengurangkan konflik dengannya.

Bersikap baik
Meskipun rakan sekerja selalu membuat anda sakit hati, menimbulkan masalah tapi sentiasa cuba bersikap baik dan berfikiran positif. Jangan berkasar dan terus cuba untuk menyelesaikan konflik. Jika sukar melakukannya sendiri anda mungkin boleh menggunakan orang ketiga untuk membantu.

Memang tak seronok bekerja dalam suasana konflik, diri jadi stres dan sedikit sebanyak mengganggu fokus serta kualiti kerja. Jadi sebaiknya usahakan untuk menyelesaikan konflik bersama rakan sekerja ini supaya dapat bekerja dalam suasana gembira dan persekitaran yang positif.
http://www.vanillakismis.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...