Peristiwa Ghazwah Bani Mustaliq pernah
merekodkan satu pengalaman pahit kepada umat Islam yang menyentuh
rumahtangga Rasulullah S.A.W, di mana Saydatuna Aishah dituduh bermukah
dengan Safwan bin Mu’attal, seorang Sahabat Nabi juga tentera Islam yang
tabiatnya suka tidur selepas selesai berjuang di medan pertempuran. Di
dalam sirah Ibnu Hisham, diriwayatkan Safwan bin Mu’attal memang suka
tidur selepas perang sehinggalah beliau ditinggalkan keseorangan oleh
kumpulan tentera-tentera Islam yang lain.
Itulah rutin yang kerap dilakukan oleh
Safwan, seorang Sahabat Nabi setiap kali berakhirnya perang. Namun,
setelah Safwan tersedar daripada lenanya beliau mendapati Aishah, isteri
Baginda S.A.W tertinggal keseorangan daripada kumpulan yang sepatutnya
beliau bersama Rasulullah S.A.W menuju pulang ke Madinah.
Peristiwa itu menyebabkan kota Madinah
gempar. Segala rekayasa media dipaparkan oleh kaum munafiq
semahu-mahunya. Fitnah keji dan tuduhan jahat terhadap keluarga Nabi
S.A.W kedengaran merata ke pengetahuan masyarakat Muslim dan non-Muslim
di Madinah, di mana Aisyah, isteri Nabi S.A.W dituduh berselingkuh
dengan Safwan bin Mu’attal.
Sementara Abdullah bin Ubai dan kaum
munafiq melepaskan dendam dan bencinya terhadap Rasulullah S.A.W dengan
mengambil kesempatan, mencipta dan menaburkan fitnah terhadap isteri
Baginda sehingga terdapat beberapa orang Islam terpengaruh dengan fitnah
tersebut. Beberapa orang sahabat berkelahi dengan Safwan bin Mu’attal,
antaranya ialah Hassan bin Thabit, tukang penyair Rasulullah.
Tuduhan itu dirumus berdasarkan tindakan
Safwan yang mengiringi Saydatuna Aishah radhiAllahu anha sehingga tiba
ke Madinah. Peristiwa itu dijaja sebagai fakta kukuh, tentang kecurangan
Aishah terhadap Rasulullah S.A.W.
Disebut oleh Ibnu Hisham di dalam
sirahnya, fitnah tersebut menyebabkan Rasulullah melontarkan persoalan
kepada Aishah, “Wahai Aisyah, sesungguhnya telah sampai kepadaku berita
begitu dan begini tentangmu. Jika kamu seorang yang bersih dari fitnah
itu maka Allah akan membersihkanmu, jika sekiranya kamu mengerjakan dosa
maka mohonlah ampun dan bertaubatlah kepada Allah kerana seseorang
hamba itu apabila mengaku dosanya kemudian dia bertaubat kepada Allah
nescaya Allah maha menerima taubatnya.”
Sedih Aishah mendengar teguran Baginda,
suara Baginda bagaikan guruh yang mengegarkan tiang langit. Lantaran
persoalan bernada keraguan itu, Saydatuna Aisyah mengalirkan air mata,
dengan sebak menangis melihat tawarnya keyakinan Baginda kepadanya.
Aishah kemudiannya melontarkan perkataan yang membuktikan kejituan
imannya kepada Allah Taala, “Aku tidak dapati suatu contoh perkataan
melainkan seperti yang pernah diucapkan oleh Nabi Yusuf alaihissalam;
…Sabar itulah yang paling baik dan Allah sahaja tempat meminta
pertolongan di atas apa yang kamu sifatkan terhadapku (maksud surah
Yusuf ayat18).”
Allah telah mentaqdirkan satu ujian yang
pahit diterima Baginda S.A.W, lebih-lebih lagi apabila wahyu tidak
turun sebulan lamanya sejurus dari peristiwa itu. Semua itu agar kita
generasi umat Islam hari ini mengambil iktibar sebagai umatnya yang
beriman kepada Allah dan Rasul, sebagai umatnya yang menjulang tinggi
makna kesetiaan dan persaudaraan.
Lalu, apa sebenarnya yang dilakukan
Baginda Nabi S.A.W mengatasi beban ini selain menunggu petunjuk dan
wahyu dari Allah? Lembaran sejarah mengajarkan kepada kita, bagaimana
sikap Baginda Nabi sebagai qiyadah terunggul membanteras fenomena “media
puaka” yang dikelolao Abdullah bin Ubai sampai ke akarnya.
Antara yang dilakukan Rasulullah S.A.W
adalah menyibukkan para sahabat daripada membicarakan fitnah terhadap
Saydatuna Aisyah. Ini kerana masyarakat yang tidak sibuk, menghabiskan
masa mengatur dam dan melepak di kedai kopi, biasanya tiada urusan lain
yang akan dilakukan oleh mereka selain membicarakan isu-isu panas dan
fitnah.
Khabar angin, cakap-cakap mulut adalah
senjata klasik yang menjadi makanan empuk orang-orang munafik sejak
dahulu lagi untuk memecah belahkan umat Islam. Di dalam kitab sirah yang
dikarang Ibnu Hisyam, ketika fitnah ini berleluasa radarnya, Rasulullah
S.A.W bertindak keluar ke lokasi yang berbeza dari suasana di Madinah.
Rasulullah S.A.W keluar bersama beberapa orang sahabat untuk beberapa
hari dan berhenti di suatu tempat sehingga masing-masing mengantuk dan
tertidur. Rasulullah S.A.W melakukan semua itu agar mereka dapat
melupakan “gossip liar” kaum munafiq seputar kejadian sebelumnya.
Begitu juga apabila Rasulullah S.A.W
mengutarakan pandangan dan mengemukakan pendapat tentang hal yang
terjadi berikutan tuduhan terhadap isterinya, Aisyah, Baginda hanya
berbicara kepada orang-orang yang rapat dengannya sahaja. Baginda tidak
berbicara soal tuduhan terhadap Aisyah itu kepada semua orang. Kerana
cinta Baginda S.A.W kepada Aisyah begitu mendalam, manakala tuduhan yang
dihadapi oleh Aisyah amat pedih untuk dipendam.
Berbeza dengan sikap orang-orang
munafik. Mereka menyebarkan desas-desus dan menikmati rasa kepedihan
yang menimpa jiwa Rasulullah S.A.W.
Safwan bin Mu’attal radhiAllahu anhu
disaksikan Rasulullah S.A.W sendiri sebagai seorang yang soleh dan Allah
telah memberikan rezeki kepadanya kesyahidan di jalan-Nya sesudah
fitnah liar ini ditamatkan dengan penurunan ayat ke 11-18 daripada surah
an-Nur. Allah menjelaskan perihal sebenar dan telah memuji pendirian
Abu Ayub al Ansari dan Ummu Ayyub berdasarkan asbaabun nuzul ayat
tersebut kerana sikapnya tidak mempercayai tuduhan buruk yang
dilemparkan kepada isteri Baginda S.A.W.
Ketika peristiwa berita fitnah mengenai
kerendahan moral Aishah merebak dengan liarnya, Abu Ayyub al Ansori
beserta isterinya Ummu Ayyub berkata, “Ya kami mendengar berita itu,
tetapi kami tidak percaya dan ini adalah fitnah terhadap Aishah!”
Wahyu Allah yang turun ketika itu sangat
menenangkan jiwa Baginda, ia laksana gerimis di saat kekeringan dan
kemarau panjang. Firman Allah Taala :
“Sepatutnya semasa kamu mendengar
tuduhan itu, orang-orang yang beriman – lelaki dan perempuan, menaruh
baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka sendiri dan berkata; Ini
ialah tuduhan dusta yang nyata” – surah an Nur:12, al Quranul Karim
Inilah sikap Muslim yang menjadi panduan
kepada kita apabila menilai sesuatu isu atau berita. Benarlah Allah
Taala memuliakan Para Sahabat dan mensucikan Para Ahli Bait Baginda
S.A.W. Sekalipun peristiwa ini sulit dan menyakitkan, namun sedarilah
bahawa orang-orang yang diuji dengan peristiwa seumpama ini, pahalanya
di sisi Allah tidak akan dizalimi sekecil manapun. Sabda Rasulullah
S.A.W, “Tidaklah seorang hamba dizalimi lalu ia bersabar atas kezaliman
itu maka Allah pasti menambah kemuliaan baginya.” – Riwayat at-Tirmizi,
hadis ini sahih.
Mari kita renungi dalam-dalam jika
fitnah seumpama ini berlaku di hadapan kita. Ketika itu di manakah
kedudukan hati kita sekarang?
Adakah kita tergamak mengapi-apikan orang lain supaya turut mempercayai berita yang masih belum dipastikan keabsahannya?
Adakah kita mengambil posisi berdiam diri lantaran sikap tidak mahu ambil peduli?
Atau kita tidak percaya khabar tersebut
malah mempertahankan peribadi mangsa sebagai orang yang dizalimi,
menegaskannya sebagai Muslim yang baik bahkan wajar dipertahankan
martabatnya.
Jika hari ini kita di zaman Baginda
S.A.W, di manakah posisi iman kita? Adakah posisi kita bersama Para
Sahabat radhiAllahu anhum, ataukah posisi kita di tempat “asfala
safilin” di mana kaum munafiq yang mewarisi sikap Abdullah bin Ubai bin
Salul ditempatkan? Na’uzubiLlahi min zaalik.
http://halimislam.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan