Rabu, 25 Disember 2013

Pengalaman dua lelaki bantu buruh paksa Landasan Maut


Tahanan perang sedang mengangkat kayu-kayu untuk membina landasan kereta api pada tahun 1943 sambil diperhatikan tentera Jepun. - AGENSI

LANDASAN kereta api Thailand- Burma yang digelar sebagai 'Landasan Maut', dibina dalam tempoh masa yang agak singkat oleh 60,000 tahanan Perang Dunia Kedua serta 200,000 buruh kasar.

Pembinaan landasan sepanjang 415 kilometer itu dimulakan pada Oktober 1942 dan berakhir di Konkoita, utara Thailand pada Oktober 1943.

Ia digunakan dalam rancangan serangan Jepun terhadap tentera Britain di India serta menguasai jalan dan ruang udara yang digunakan tentera bersekutu.
 

Rakyat Thailand juga pernah menjadi buruh landasan pada awal pembinaannya, namun ketegangan berlaku antara mereka dan tentera Jepun selepas pasukan keselamatan itu bertindak mengambil alih rumah-rumah ibadat sebagai tempat penginapan selain tidak menghormati sami Buddha tempatan.

Semua pihak maklum bahawa tahanan perang serta buruh yang dipaksa menyiapkan landasan tersebut turut berdepan layanan buruk oleh tentera Jepun yang menyeksa mereka tanpa belas kasihan.

Hal tersebut bertentangan dengan syarat-syarat dalam Konvensyen Geneva Ketiga 1929 bagi menjamin hak minimum serta layanan kemanusiaan terhadap tahanan perang.

Mangsa sering dipukul dan tidak diberi bekalan makanan yang cukup, rawatan perubatan yang diperlukan atau masa rehat sewajarnya ketika pembinaan dilakukan.

Sikap serta perbuatan ganas tentera Jepun itu menyebabkan ramai warga Thailand benci terhadap mereka lalu bertindak membantu tahanan perang yang terlibat dalam pembinaan landasan neraka itu.

Antaranya, seorang pemilik kedai di Kanchanaburi, Boonpong Sirivejaphan yang sering mengambil risiko memberi ubat-ubatan kepada para tahanan.

Dalam satu temu bual Bangkok Post pada 1967, Boonpong berkata antara sebab dia membantu tahanan perang itu adalah disebabkan kebenciannya terhadap tentera Jepun.

"Mereka masuk ke dalam Thailand kononnya sebagai tetamu dengan persetujuan kerajaan, kemudian berperangai seperti ketua yang tidak berperasaan.

"Mereka sangat ganas dan tidak sopan, jadi ramai warga Thailand terganggu apabila melihat ramai yang diseksa tentera Jepun. Oleh sebab itu, ramai yang cuba membantu," katanya.

Boonpong berkata, dia mula berhasrat untuk membantu tahanan perang apabila terserempak dengan rakannya yang merupakan seorang lelaki Inggeris ketika pembinaan landasan di Chung Kai pada 1942.

Lelaki itu yang dikenali sebagai Johnson sejak sebelum perang bermula, merayu pertolongan kepadanya dan Boonpong tidak sampai hati untuk menolak.

Dia membantu tahanan perang dengan menjual apa jua barang yang diberi untuk mendapatkan ubat-ubatan di Bangkok.

Selain itu, reputasinya sebagai pemilik kedai turut menjadikannya dikenali oleh tentera Jepun.

"Saya berbaik-baik dengan pengawal Jepun dan memberi mereka hadiah supaya mereka tidak mengganggu saya.

Seorang lagi warga Thailand yang banyak menabur jasa kepada mangsa perang tentera Jepun ialah Nai Lee Soon.

Lee Soon mengendalikan kantin dalam kem tahanan perang dan mengambil kesempatan menjual telur serta buah pisang kepada tahanan yang kelaparan selain membekalkan sedikit peruntukan untuk makanan harian.

Ini memandangkan walaupun buruh serta tahanan perang yang mengerjakan landasan itu dibayar, namun mereka yang sakit hanya dibayar separuh, menyebabkan ramai daripada mereka mati kebuluran.

Di dalam kem tahanan pula, buruh-buruh paksa akan menggunakan 'upah' yang diterima untuk membeli makanan serta rokok di kantin, tetapi barang-barang dijual dengan harga tinggi bagi memberi keuntungan kepada pihak Jepun.

Lee Soon dihormati dan disegani beratus-ratus tahanan kerana berani mengambil risiko terhadap diri dan keluarganya yang mendapatkan bekalan perubatan dan makanan untuk diseludup masuk ke dalam kem.

Keadaan menyeksakan dalam kem tahanan perang di Chung Kai yang disediakan untuk ramai pesakit serta tahanan yang hampir mati, memberi kesan mendalam terhadapnya.

Dalam diarinya, Lee Soon menyatakan, keadaan menyeksakan serta rayuan daripada tahanan meminta tolong daripadanya menyebabkan dia berasa sedih.

Pada akhir Julai 1942, seorang tahanan perang mendatangi Lee Soon dengan mukanya yang ditulis perkataan 'mati' untuk meminta pertolongan.

Lelaki itu, Kapten G.B. Adam dahulunya merupakan pengurus Asiatic Petroleum Company di Bangkok sebelum dia ditangkap dan dijadikan buruh landasan Thailand-Burma itu.

Lee Soon kemudian menghubungi rakan perniagaan Adam di Bangkok yang menyediakan wang untuk membeli ubat di pasaran gelap.

Tidak lama kemudian, Lee Soon disyaki tentera Jepun tentang pembabitannya membantu tahanan.

Walaupun dia diberi amaran akan disoal pihak berkuasa tentera Jepun tentang hal itu, dia tetap berdegil dan meneruskan usahanya menyeludup ubat ke dalam kem.

Selepas perang berlalu, Lee Soon yang dianggap sebagai wira tidak mengimpikan balasan istimewa terhadap jasanya itu, selain cuma mengharapkan bantuan persekolahan untuk anak-anaknya.

Dia meninggal dunia pada 1994 berumur 83 tahun dan meninggalkan seorang balu serta empat orang anak.

Disebabkan jasa Lee Soon dan Boonpong itu, mereka dianugerahkan King's Medal for Courage in the Cause of Freedom oleh Britain serta dinobatkan sebagai Officer of the Order of Orange Nassau daripada keluarga diraja Belanda.

Sumber: Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...