Bangsa Turki pernah bangkit sebagai kuasa
besar paling utama pada abad ke-15 dan berterusan sehingga kejatuhan
empayarnya sekitar abad ke-19. Pengaruhnya menjangkaui sehingga ke
Eropah apabila beberapa wilayah di bawah naugannya berada di timur
Eropah.
Bangsa Turki yang menerajui empayar
Othmaniyyah sangat terkesan di hati setiap umat Islam. Bukan untuk
menidakkan keagungan empayar Islam yang lain seperti Ummayyah,
Abbasiyyah, Mamluk, Fatimiyyah dan lain-lain namun empayar Turki
Othmaniyyah mempunyai satu-satunya pemimpin yang diramalkan oleh
junjungan besar, Rasulullah saw di hadis kursinya.
Pemimpin yang dimaksudkan adalah Muhammad
atau lebih dikenali Sultan Muhammad al-Fatih. Gelaran al-Fatih yang
membawa maksud ‘Si Pembuka’ merujuk kepada peranan besarnya membuka dan
menakluk kota Konstatinopel.
Penaklukan kota utama umat Kristian
sekitar kurun ke-15 itu adalah sumbangan Sultan Muhammad al-Fatih yang
tiada tolak bandingnya. Sehingga ke hari ini kota tersebut masih lagi di
bawah genggaman umat Islam yang berada di bawah naugan kerajaan Turki
sekarang. Detik bersejarah tersebut yang berlaku pada 1453 masihi
menandakan berakhirnya kerajaan Kristian Byzantine Timur yang berpusat
di kota Konstatinopel.
Siapa bangsa Turki sebenarnya?
Bangsa Turki disifatkan oleh pakar-pakar
Sirah Islam sebagai bangsa yang berasal daripada anak nabi Nuh as,
Yafit. Diriwayatkan, Nabi Nuh as mempunyai tiga oleh anak lelaki iaitu
Sam, Yafit dan Ham.
Sam menurunkan ras bangsa Semitik yang
berkulit keputihan seperti Arab, Parsi, Syria, Yunani, Latin(Sepanyol)
dan di sebelah Barat dunia. Daripada anak-pinak Sam lahir ramai Rasul
dan Nabi. Dikisahkan bahawa pada zaman Nabi Isa as, berkat mukjizat
baginda, Sam telah dibangkitkan daripada kuburnya dan sempat
menceritakan peri sakitnya kematian.
Ham menurunkan bangsa berkulit hitam
seperti bangsa yang kebanyakan mendiami benua Afrika. Di dalam kitab
Perjanjian Lama(Old Tastement), Ham telah dilaknat oleh Nabi Nuh as dan
kisah tersebut dikenali sebagai Ham’s Curse. Laknat Nabi Nuh as
yang kononnya diberitakan dalam kitab Perjanjian Lama tersebut antara
lain melaknat keturunan Ham dan anak pinaknya bakal menjadi hamba kepada
anak-pinak Sam dan Yafit.
Yafit pula menurunkan ras bangsa berkulit
kulit langsat seperti Cina, Mongoloid, Russia dan beberapa bangsa di
sebelah Timur dunia. Anak-pinak Yafit mempunyai sifat dan semangat suka
berperang yang tinggi. Kebanyakan yang lahir daripada suku Yafit adalah
sang penakluk hebat. Lihat saja bangsa Cina, Mongol dan juga Russia.
Daripada genetik Yafit ini sebenarnya
lahir bangsa Turki. Turki sepertimana bangsa-bangsa suku Yafit yang lain
suka berperang dan menakluk. Daripada Yafit juga lahir bangsa yang
cukup terkenal kejamnya dan diramalkan oleh Rasulullah saw dalam banyak
hadis kursinya. Bangsa tersebut tidak lain dan tidak bukan adalah bangsa
Ya’juk dan Ma’juk.
Ya’juk dan Ma’juk mempunyai beberapa
gelaran lain. Bangsa Cina mengelar mereka Xiongnu, Yunani pula mengelar
mereka sebagai Sos dan bangsa Barat mengelar mereka sebagai bangsa
Sychtia atau Simmeria. Dalam tradisi masyarakat Kristian juga mengenali
bangsa Ya’juk dan Ma’juk sebagai Gog dan Magog.
Kaitan Ya’juk dan Ma’juk dan Turki
Antara kedua-dua bangsa iaitu Ya’juk dan
Ma’juk dan bangsa Turki, terdapat cerita di yang berkait. Umumnya,
bangsa Ya’juk dan Ma’juk adalah bangsa yang ganas dan suka membuat
kerosakan.
Mereka muncul membawa kerosakan pada dunia. Ia diberitakan oleh Allah swt di dalam al-Quran dalam surah al-Kahfi;
Mereka berkata: “Hai Zulkarnain, sesungguhnya Ya’juj dan Ma’juj itu orang-orang yang membuat kerosakan di muka bumi, maka dapatkah kami memberikan sesuatu pembayaran kepadamu, supaya kamu membuat dinding antara kami dan mereka?”
Mereka menguasai dunia, bahkan tiada apa
yang mampu mengalah dan menumpaskan mereka. Rasulullah saw bersabda
bahawa ketikamana Ya’juk dan Ma’juk bermaharajalela di muka bumi, Allah
swt mematikan mereka dengan mengirimkan satu wabak di mana ulat-ulat
memakan belakang badan mereka sehingga tiada apa yang mampu
diselamatkan. Begitu hebat dan ganasnya perilaku bangsa terkutuk ini.
Namun apakah saling perkaitan antara bangsa Turki dengan Ya’juk dan Ma’juk?
Diriwayatkan bahawa ketika ekspedisi
Zulkarnain yang memerangi kaum Ya’juk dan Ma’juk di tempat yang
disifatkan Allah sebagai ‘di antara dua buah gunung’ dalam surah
al-Kahfi ayat 93, kaum terkutuk tersebut terperangkap di antara
gunung-gunung tersebut. Lalu dengan bantuan masyarakat tempatan,
Zulkarnain dan bala tenteranya mengurung Ya’juk dan Ma’juk dengan tembok
besi bersadur tembaga berkat dengan rahmat daripada Allah swt. Ya’juk
dan Ma’juk tidak akan berjaya menembusi tembok tersebut dan kekal
terkurung di dalamnya sehingga tiba masa yang ditetapkan Allah swt.
Ekspedisi tersebut ternyata berjaya.
Namun, ketika pertempuran tersebut terdapat saki-baki daripada mereka
yang berjaya ‘melepaskan diri’. Bangsa tersebut adalah bangsa Turki.
Istilah Turki adalah berasal daripada
perkataan ‘Taraka’ atau ‘Turika’ yang membawa maksud ‘meninggalkan’ atau
‘ditinggalkan’. Boleh jadi, asal asbab istilah Turki yang dinisbatkan
kepada bangsa Turki adalah kerana kisah saki baki bangsa Ya’juk dan
Ma’juk yang berjaya berlepas diri.
Dalam satu kajian lain, antara suku yang
berjaya melarikan diri daripada serangan bertali arus tentera Zulkarnain
adalah suku Mongol yang mana kemudiannya mendiami Gurun Gobi dan Steppe
di Mongolia. Mongol sepertimana ‘moyangnya’ dilahirkan sebagai bangsa
yang ganas. Perang tiada etika sehingga memusnahkan beberapa tamadun
agung di dunia. Antara yang menjadi mangsa kerakusan suku Mongol adalah
Dinasti Abbasiyyah. Baghdad yang dilanggar oleh suku Mongol telah hancur
luluh dan rebah menyembah bumi. Kejatuhan Baghdad di tangan Mongol
menyebabkan kota tersebut hilang fungsi sebagai pusat tamadun dan
perabadan dunia. Ironinya sehingga kini kota tersebut gagal bangkit
seperti yang berlaku pada zaman keemasannya.
Rasulullah saw menyedari potensi Turki
Dalam satu hadis, Rasulullah saw bersabda;
‘Tinggalkan Turki selama mana mereka tinggalkan kalian’
Hadis ini memberi gambaran bahawa Turki
patut diberi keistimewaan berbanding lain-lain bangsa kerana bangsa ini
seakan-akan diberi gambaran bahawa ia dielakkan untuk diperangi bahkan
memberi mereka ruang untuk berlepas diri.
Ekspedisi dakwah Islam ke atas lain-lain
bangsa bermula seawal zaman Rasulullah saw di mana Rasulullah saw mula
mengirimkan risalah dakwah kepada beberapa Raja di negara jiran baginda.
Antara yang mendapat risalah tersebut adalah Hercules daripada
Byzantine dan Kisra Khusraw daripada Parsi Sasanid. Hercules miskipun
diriwayatkan tidak menerima Islam tetapi melayan duta Rasulullah saw
dengan baik. Namun, berlainan dengan reaksi Kisra apabila mengoyak
risalah Rasulullah saw sehingga menguris hati baginda Nabi saw.
Apabila Rasulullaw saw wafat dan diganti
dengan sistem khalifah, ekspedisi dakwah rancak berjalan. Beberapa
wilayah dan tamadun besar berjaya ditawan. Antaranya adalah Mesir oleh
Amr bin As. Syria dan Parsi pula oleh Saad bin Abi Waqqas, Khalid
al-Walid dan Ubaidah ibn Jarrah.
Namun, bangsa Turki tetap diberi
kelonggaran dan antara yang pertama menjalinkan hubungan dengan Turki
adalah Saidina Uthman bin Affan. Saidina Uthman menyeru mereka kepada
Islam dan berpusu-pusu mereka memeluk Islam. Berkat keislaman mereka di
zaman khulafa ar-Rashidin dan para tabiin, mereka menjadi muslim yang
berpegang kuat kepada ajaran Islam.
Bangsa Turki pada masa itu kebanyakannya
berasal daripada kawasan pergunungan Turkistan dan dataran Steppe.
Menjelang abad ke-8 Masihi, mereka berhijrah ke arah Barat melalui
dataran tinggi Serbia menuju ke laut Arab dan sebahagian pula ke wilayah
Russia.
Ketika Mongol berkuasa dan menjarah
banyak tempat di Asia Tengah, beribu-ribu bangsa Turki sekali lagi
mengalami pengasingan apabila mereka terpaksa berhijrah ke
negeri-negeri jiran mereka. Semasa pemerintahan Dinasti Abbasiyyah,
bangsa Turki sangat taat kepada penguasa di Turkistan. Mereka mendapat
layanan yang baik daripada pemerintah Dinasti Abbasiyyah terutama semasa
pemerintahan Al-Mustashim.
Dek kerana Al-Mustashim berfahaman
Muktazillah dan banyak menzalimi ulama ahli Sunnah, maka pemerintahan
Al-Mustashim banyak berlaku pemberontakan. Oleh itu, Al-Mustashim
mengalihkan pusat pemerintahan ke Samarra.Di sana, Al-Mustashim lebih
menggemari pegawai berbangsa Turki berbanding Arab kerana curiga dengan
kesetiaan bangsa Arab iaitu bangsanya sendiri kepadanya. Bermula
daripada detik itu, bangsa Turki mula mendapat kekuatan terutama
daripada segi politik.
Banyak pegawai dan panglima Turki
berperang di sempadan Byzantine bagi menjaga wilayah Abbasiyyah.
Lama-kelamaan, bangsa Turki membentuk kekuasaan di sempadan yang pada
mulanya taat setia kepada Dinasti Abbasiyyah. Apabila Dinasti Abbasiyyah
runtuh, mereka muncul membentuk komuniti yang berpaksikan militari di
sempadan.
Maka disitu bermulalah era Bani Saljuk
yang mana pemerintah pertamanya adalah Sultan Arp Arslan. Mereka
memiliki semangat jihad yang tinggi, bervisi jauh dan ingin melihat
Islam tertegak di merata ceruk.
Mereka bangga menggelar mereka ‘Ghazi’
yang membawa maksud ‘orang yang suka berperang’. Sememangnya mereka
gemar berperang atas dasar jihad dan tidak sesekali goyang berhadapan
musuh.
Di satu sisi yang lain pula, lahir pula
sebuah Dinasti yang lebih agung yang berbangsa Turki. Ia adalah dinasti
Othmaniyyah yang diasaskan sekitar abad ke-13. Dinasti ini bermula
daripada seorang lelaki yang bernama Ertugrul. Ertugrul dikatakan
berhijrah daripada tanah airnya ke Asia Minor bersama-sama 400 tentera
berkudanya. Di sana, beliau bergabung dengan Kesultanan Saljuk untuk
memerangi empayar Rom Byzantine.
Gabungan kedua-dua tentera Islam tersebut
membuahkan hasil dan mencapai kemenangan. Atas jasa Ertugrul, sebuah
wilayah di Eskisehir dihadiahkan kepada beliau. Kemudian, anak kepada
Ertugrul iaitu Osman I yang bercita-cita tinggi mendirikan sebuah
empayar yang dikenali sebagai Dinasti Othmaniyyah. Empayar Othmaniyyah
menenggelamkan beberapa empayar Islam yang lain sehingga pada satu
peringkat empayar ini mencapai keluasan yang mencecah ke sempadan
Eropah. Beberapa sultan dan panglima agung bangkit daripada empayar
bangsa Turki ini.
Sultan Muhammad al-Fatih yang mendapat
sanjungan Rasulullah saw kerana berjaya membuka kota Konstatinopel lahir
di dalam kelompak Bani Othmaniyyah. Ironinya, inilah bangsa yang
dikatakan serpihan Ya’juk dan Ma’juk daripada sulur galur Yafit. Inilah
hikmah yang mana Allah swt adalah juru-aturnya. Lihat bagaimana Allah
swt memberi kekuasaan kepada siapa yang Dia suka. Islam bukan terletak
di tangan bangsa Arab bahkan kepada sesiapa sahaja. Bangsa Turki
menunjukkan kepada kita bahawa mereka boleh dijadikan satu tanda aras
kepada kekuatan kesultanan Islam.
tak usah risau
Tiada ulasan:
Catat Ulasan