Suatu hari, anak seorang lelaki miskin yang hidup dari menjual
barang-barang dari pintu ke pintu mendapati poketnya hanya tinggal
beberapa sen duit sahaja dan dia sangat lapar. Anak lelaki tersebut
nekad untuk meminta makanan dari rumah berikutnya. Akan tetapi, anak itu
kehilangan keberaniannya saat seorang wanita muda membuka pintu rumah.
Anak itu tidak jadi meminta makanan, dia hanya berani meminta segelas
air.
Wanita muda tersebut melihat dan berfikir bahawa anak lelaki tersebut
pasti lapar. Oleh kerana itu, dia membawakan segelas susu. Anak lelaki
itu meminumnya dengan lambat. Kemudian, dia bertanya: “Berapa harga
untuk segelas susu ini?” Wanita itu menjawab: “Kamu tidak perlu bayar
apa-apa pun. Ibu kami mengajarkan tidak menerima bayaran untuk
kebaikan”, kata wanita itu. Kemudian, anak lelaki itu menghabiskan susu
tersebut dan berkata: “Dari dalam hatiku, aku sangat berterima kasih
kepada kamu.”
Beberapa tahun kemudian, wanita muda tersebut mengalami sakit yang
sangat kritikal. Para doktor di kota itu sudah tidak mampu untuk
merawatnya. Akhirnya, kes tersebut dirujuk kepada doktor pakar di kota
besar di mana ada doktor pakar yang lebih arif tentang penyakit
tersebut. Dr. Abdullah dipanggil untuk melakukan pemeriksaan. Ketika dia
mendengar kota asal pesakit wanita tersebut, terbit satu pancaran aneh
pada kedua belah mata Dr. Abdullah. Dia segera bangkit dan bergegas
turun melalui ruang tamu rumah sakit menuju wad pesakit wanita tersebut.
Dengan mengenakan jubah doktornya, dia terus pergi berjumpa pesakit
wanita itu. Dia langsung mengenali wanita itu pada sekali pandang.
Kemudian, dia kembali ke biliknya dan memutuskan untuk melakukan yang
terbaik demi menyelamatkan nyawa wanita itu. Mulai hari itu, dia selalu
memberikan perhatian khusus pada kes wanita tersebut. Setelah melalui
perjuangan yang panjang, akhirnya dia berjaya merawat wanita itu atas
keizinan dari Allah jua. Wanita itu sembuh. Kemudian Dr. Abdullah
meminta bahagian akaun hospital untuk mengirimkan seluruh bil biaya
rawatan wanita itu kepadanya. Dr. Abdullah melihatnya dan menuliskan
sesuatu pada sekeping kertas dan dikepilnya dengan bil rawatan, lalu
menghantarnya ke wad wanita yang dirawatnya.
Wanita itu takut untuk membuka sampul bil tersebut. Dia sangat yakin
bahawa dia tak akan mampu membayar bil tersebut, walaupun harus mencari
duit seumur hidupnya. Akhirnya, dia memberanikan diri untuk membuka
sampul dan membaca bil rawatan tersebut. Ada sesuatu yang menarik
perhatiannya pada satu lembaran di bil tersebut. Dia membaca tulisan
yang berbunyi: “Telah dibayar semua rawatan bil dengan segelas susu!
Yang benar, Dr. Abdullah.”
Air mata kebahagiaan membanjiri mata wanita itu. Dia berdoa: “Ya
Allah, terima kasih, bahawa cinta-Mu telah memenuhi seluruh bumi melalui
hati dan tangan manusia.”
Nota: Adakalanya, sedekah dan kebaikan di masa lalu dapat menyelesaikan masalah kita di masa yang akan datang.
http://syahirul.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan