Mustahil kamu hanya ingin bercinta dan menikmati saat indah itu
semata-mata tanpa memikirkan fasa seterusnya. Sudah tentu selepas
beberapa ketika, soal berkahwin dan membina masa depan bersama harus
difikirkan. Bercinta pun tak manis lama-lama kerana ia mengundang
maksiat selain membuang duit saja.
Bagaimanapun, apa yang perlu kamu tahu sebelum mengambil langkah itu?
Apa perlu kamu lakukan dan bagaimana pula untuk melamar si dia?
Persoalan itu sudah tentu bermain pada fikiran terutama kamu si lelaki
yang sudah bersedia menyuntik kekasih hati menjadi suri hidup ke akhir
hayat.
Tambahan pula kedua-dua keluarga sudah bertanya bilakah masa untuk
kamu hidup berdua. Namun, pada masa sama, kamu mungkin belum bersedia
berkahwin kerana merasakan masih ada perkara yang belum selesai. Bilakah
masa sesuai untuk kamu melamar pasangan?
Ingat, lima perkara ini sangat penting untuk dipertimbangkan bagi memastikan semua rencana berjalan lancar.
Pertamanya, persediaan. Untuk hidup berumah tangga ia bukan semudah
A, B dan C kerana kamu perlu mengetahui ilmu kekeluargaan sebagai
persediaan hidup berumah tangga. Umum mengetahui perkahwinan adalah
penyatuan hidup sehingga ke akhir hayat. Biarpun ada rumah tangga yang
runtuh di tengah jalan, namun ia bukan alasan tidak memahami erti
perkahwinan.
Jadi sebelum berkahwin, kamu perlu bersedia berubah. Maksud
persediaan di sini ialah kamu harus bersedia mental dan fizikal kerana
dengan adanya kekuatan diri, Insya-Allah kamu sudah bersedia untuk hidup
berdua dengan pasangan.
Kamu sebagai lelaki harus memastikan diri dan sikap dalaman sudah
cukup sempurna dan lengkap untuk memimpin sebuah keluarga kerana
tanggungjawab perkahwinan itu di atas bahu kamu. Jika gagal kamu berdua,
silap itu adalah kamu dan tewaslah kamu memeliharanya.
Keduanya, kewangan hendaklah kukuh. Jika perkahwinan tidak semudah
membaca A, B dan C, justeru sebelum berkahwin juga kamu perlu
mengukuhkan kewangan terlebih dulu. Ini kerana sebelum ini kamu mungkin
biasa makan seorang diri, tapi apabila sudah berumah tangga,
segala-galanya dalam kiraan untuk dua orang.
Bercinta itu lain meskipun kamu adalah orang yang akan membayar
setiap kali ‘dating’ kerana aktiviti itu tidak kamu lakukan setiap masa.
Berbanding berkahwin, semuanya perlu dikira dari soal penyelenggaraan
rumah, kereta hinggalah ke makan minum.
Kalau rezeki murah, kamu mungkin bertiga, berempat dan sebagainya.
Ada juga rumah tangga bercerai berai hanya kerana masalah duit. Ada kes
suami berhenti kerja dan mengharapkan isteri menanggung segala-galanya.
Jika isteri tidak selesa, pergaduhan pasti berlaku dan dari sinilah
punca terjadinya perceraian. Tahukah kamu jika bergaji agak kecil,
sebenarnya agak susah kamu berbelanja membeli keperluan rumah tangga.
Jadi kamu perlu bersiap sedia dari aspek kewangan kerana ia asas utama
dalam perkahwinan.
Tiada orang boleh hidup dengan cinta kerana pada zaman ini serba-serbi memerlukan duit.
Ketiga pula, kamu mesti bersedia melupakan bekas kekasih. Berkahwin,
kamu perlu bersedia segala-galanya terutama untuk melupakan bekas
kekasih yang mungkin hadir sebelum kedatangan si dia. Ini kerana ada
pasangan yang sukar melupakan bekas kekasih dan lebih teruk lagi, kamu
masih berhubungan dengan bekas kekasih.
Jangan ketawa atau hanya senyum sinis kerana banyak rekod perceraian
menyebut ia berlaku kerana berpunca orang ketiga dan peratusan
membuktikan bekas kekasih kembali mengharap cinta lama.
Keempatnya, memberi keutamaan. Apabila kamu bersedia berkahwin,
bermakna kamu bersedia memberi keutamaan kepada rumah tangga. Kamu tidak
seharusnya memikirkan keseronokan bersama kawan-kawan sama seperti
ketika kamu masih bujang di mana kamu bebas untuk keluar menonton wayang
atau melepak di mamak dan sebagainya kerana kamu harus memberi 100
peratus komitmen kepada rumah tangga.
Tapi itu tidak bermakna kamu tidak boleh langsung menghabiskan masa bersama teman, tapi harus bijak dalam mengurus masa.
Terakhir, hubungan itu hendaklah direstui keluarga. Tidak guna kamu
menjalin hubungan jika tidak mendapat restu keluarga. Ini kerana
perkahwinan akan bahagia jika direstui keluarga. Tentu kamu pernah
mendengar cerita, rumah tangga tidak aman dan bahagia bila mana seorang
anak membelakangkan keluarganya kerana cinta terhadap pasangan.
Ada juga kes di mana pasangannya bercerai kerana pelbagai masalah dan
bila disemak, ternyata perkahwinan tersebut tidak mendapat restu
keluarga.
Jika kamu melepasi semua lima kriteria di atas, itu bermaksud yang
kamu sudah bersedia untuk menjadi suami. Tunggu apa lagi? Lamar si dia.
10 soalan sebelum melamar
Setiap pasangan berkahwin pastinya mengharapkan perkahwinan itu kekal
bahagia buat selama-lamanya. Ramai berjaya, namun tidak kurang pula
kecewa. Tapi sebelum itu, adakah kamu benar-benar bersedia walaupun
semua lima kriteria di atas sudah berjaya dengan cemerlang.
Percintaan sebelum berkahwin seperti dilakukan oleh segolongan
masyarakat dan ditonjolkan dalam segala macam media sebagai suatu
kemestian, suatu dunia yang penuh dengan keindahan dan keseronokan
adalah sebenarnya penipuan belaka.
Alam percintaan tidak mendedahkan hakikat diri sebenarnya.
Masing-masing berusaha menunjukkan yang terbaik saja di hadapan
pasangannya. Tetapi selepas berkahwin barulah terbongkar segala rahsia,
segala perangai dan sikap buruk yang selama ini disembunyikan.
Untuk mengenali calon pasangan hidup anda dengan mendalam, apa kata
kamu ajukan 10 soalan ‘maut’ ini kepada pasangan bagi mengukur tahap
persediaan masing-masing sebelum berkahwin.
1. Apakah wawasan hidupnya?
Setiap orang mempunyai wawasan dan cita-cita yang ingin dicapai dalam
hidupnya. Inilah perlu kamu ketahui mengenai bakal pasangan hidup kamu.
Sekiranya kamu dan dia mempunyai wawasan dan matlamat hidup sama maka
perselisihan dalam rumah tangga akan berkurangan.
2. Bagaimanakah kefahamannya mengenai konsep perkahwinan?
Kefahaman serta tasawur atau gambaran jelas mengenai perkahwinan amat
penting. Sekiranya kedua-dua pihak mempunyai kefahaman berbeza,
umpamanya satu pihak menganggap perkahwinan hanya sekadar memenuhi
tuntutan nafsu semata-mata, sedang satu pihak lagi memandang sebagai
satu ibadat, sudah semestinya rumah tangga yang bakal dibina tidak akan
aman daripada perselisihan dan pergaduhan.
3. Apakah sifat-sifat yang digemari dan tidak digemarinya?
Adalah penting bagi setiap pasangan mengetahui kegemaran pasangannya,
apa disukai dan tidak disukainya kerana kadang-kadang perselisihan
berlaku disebabkan kelainan kegemaran dan cita rasa. Sekiranya kegemaran
setiap pihak diketahui terlebih awal mungkin perselisihan dapat
dielakkan.
4. Apakah pandangannya mengenai anak pada tahun pertama perkahwinan?
Setiap orang mempunyai pandangan berbeza mengenai masa sesuai untuk
menimang cahaya mata. Sekiranya satu pihak belum bersedia sedang pihak
yang satu lagi sudah tidak sabar untuk bergelar ibu atau ayah, pastilah
kedua-dua pihak akan berasa tertekan dan perhubungan akan jadi tegang.
5. Adakah dia mempunyai masalah kesihatan atau kecacatan?
Masalah kesihatan kronik atau kecacatan semula jadi pada anggota
badan tidak wajar disembunyikan. Mengetahui adanya penyakit atau
kecacatan tertentu akan mempengaruhi keputusan yang bakal diambil.
Menyembunyikan penyakit kronik atau kecacatan mengaibkan boleh dianggap
sebagai satu penipuan.
6. Adakah dia seorang yang suka bergaul?
Sesetengah orang suka bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat,
mempunyai kawan dan kenalan di merata-rata tempat. Sesetengah lain pula
suka menyendiri, tidak pandai berkawan dan sukar didampingi. Orang macam
mana kamu cari?
7. Bagaimana hubungannya dengan ahli keluarganya?
Perkahwinan bukan sekadar akad yang mempertemukan antara dua jiwa.
Sebaliknya perkahwinan adalah hubungan kemasyarakatan yang mencantumkan
antara dua keluarga atau lebih. Oleh itu bakal tunangan harus tahu
status keluarga serta hubungan mereka antara satu sama lain. Hubungan
kekeluargaan juga sedikit sebanyak menggambarkan keperibadian seseorang.
8. Apakah kegemarannya dan bagaimana dia mengisi waktu lapangnya?
Kegemaran serta cara seseorang memenuhi masa lapangnya juga memberi gambaran tentang wawasan serta cita-citanya dalam hidup ini.
9. Adakah dia aktif dalam mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau pertubuhan kebajikan?
Keaktifan dalam persatuan kebajikan atau pertubuhan sukarela
menggambarkan dia bukan seorang yang sombong dan mementingkan diri.
Orang yang hidupnya sekadar untuk memenuhi cita-cita dan wawasan
peribadi semata-mata sebenarnya hidup dalam dunia sempit dan mati
sebagai insan kerdil. Tetapi orang yang hidup dalam perjuangan akan
hidup sebagai insan hebat dan apabila dia mati namanya akan dikenang
zaman-berzaman.
10. Apakah pandangannya sekiranya ibu bapa masuk campur dalam urusan peribadi atau urusan rumah tangga mereka?
Setengah orang menganggap rumah tangga adalah masalah peribadi
terlalu khusus. Tiada seorang pun yang boleh masuk campur walaupun ibu
bapa sendiri. Hal ini sangat penting diketahui oleh setiap orang yang
akan memasuki gerbang perkahwinan.
Apakah pandangan bakal pasangan hidupnya. Adakah dia termasuk dalam
golongan di atas atau sebaliknya seorang yang terlalu bergantung kepada
kedua-dua ibu bapanya walaupun sudah berkeluarga? Apabila kamu mendapat
jawapan bersesuaian dengan apa dicari, maka teruskanlah hasrat anda
untuk melamarnya.
Begitu juga halnya dengan pihak yang dilamar. Pastikan kamu mengenali
jejaka yang melamar itu dengan mengajukannya 10 soalan ‘maut’ ini.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/18
http://www.hmetro.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan