Khamis, 13 Mac 2014

3 Perkara Itu..

  
Setiap kali pulang ke rumah, suamiku pasti membawa sekali buah tangan bersamanya. Kadang-kadang, dia membawa pulang roti. Kadang-kadang pisang goreng. Dan kadang-kadang buah cempedak. Senang cerita, memang tak miss la hari-hari dia bersama buah tangan untuk kami.

Dan, setiap kali pulang juga, dia pasti meminta aku menghidangkan nasi untuknya. Lapar..

Suatu hari, sedang dia berselera menghadap hidangan, ringan mulut aku ingin bertanya sesuatu kepadanya..



'' Hmm.. Abang. Saya nak tanya something kat Abang ni..''

'' Ya sayang.. Apadia? Tanyalah.. '' jawab dia dengan mulut dipenuhi nasi dan ulam

'' Tengahari, Abang memang tak makan ea kat ofis..?? '' soalku lembut

'' Ermm tak. Kenapa sayang ?? '' pendek dan ringkas jawapan dia

'' Takdelah. Saya tengok abang hari-hari minta saya masak. Kalau boleh, saya nak juga berehat sehari dua. Kalau abang dah makan, untuk makan malam bolehlah saya masak ringan-ringan. Penatlah bang..

''Dengan si kenit ni yang tak duduk diam, rumah yang bersepah, kain baju berbakul-bakul yang nak kena basuh, jemur dan lipat.. Saya kadang-kadang stress..''

Satu-satu aku susun perkataan ini agar dia tidak terasa. Ustaz pun ada cakap, tugas memasak tu bukan tugas isteri tapi adalah tugas suami. Jadi, tak salah rasanya aku meluahkan perasaan. Lagipun, aku minta tak masak je. Tugas-tugas lain aku buat. Harap sangat dia faham.

Dia memberhentikan kunyahannya. Lantas, saki-baki nasi yang masih tersisa, ditelannya terus. Kali ni, dia fokus dan tepat memandang mataku. Sebelum dia berbicara, secangkir senyuman dia hadiahkan untukku. Manis..

'' Sayang, abang minta maaf kerana menyusahkan sayang. Abang tak tahu sayang penat. Kalau abang tahu, abang takkan minta sayang masak..''

Dia berhenti seketika mengambil nafas lalu menyambungnya kembali..

'' Hmm.. Ada 3 perkara yang abang rasa sayang perlu tahu kenapa abang tak makan tengahari..''

3 perkara? Apakah ia? Dalam debaran aku menanti dia memberitahu 'rahsia' tersebut.

'' Pertamanya ialah kerana.. Abang rindu nak makan masakan dari hasil air tangan isteri abang. Masakan sayang sedap. Tiada kedai yang mampu menyaingi kesedapan masakan sayang.. ''

Allah.. Aku tersentap. Begitu mulianya hatimu wahai suami. Bersalah pulak aku rasa.. Dek kerana menyuarakan perasaan penat yang tak seberapa tadi. Belum sempat aku meminta maaf, dia menyambung lagi..

''Kedua.. Kalau abang makan tengahari, kenyang itu akan sampai ke malam. Jadi, bila pulang ke rumah, abang mungkin takkan makan lagi. Untuk tidak mengecewakan sayang, abang sanggup berlapar pada tengahari untuk makan masakan isteri tercinta abang ni..''

Saat itu, aku dah hampir tewas. Tewas dengan air mata yang ingin berlumba-lumba keluar dari bingkisan kelopak ini. Namun aku cuba menahannya sehingga perkara ketiga diberitahu suami..

''Dan ketiga ialah kerana abang tak ada duit. Duit makan tengahari abang, abang simpan. Abang simpan untuk belikan sayang dan Una 'hadiah' ketika mana abang pulang di waktu petang..''

Kala itu aku terus menerpa ke arah suamiku. Tangannya yang masih basah dengan kuah aku capai lantas ku cium memohon kemaafan darinya. Berdosanya aku..

'' Takpe.. Sayang tak buat salah pun dengan abang. Abang yang salah kerana menyerahkan tanggungjawab memasak kepada sayang. Besok insyaAllah, abang masak sendiri k. Dah.. jangan nangis..'' Sebak suaranya sambil memujuk aku

Dalam esak tangisan ku itu, aku menggeleng-gelengkan kepala. Tak sanggup aku mengiyakan permintaannya. Dia yang seharian penat bekerja dan 'berpuasa' tak sepatutnya aku layan sebegitu rupa. Oh Allah.. Ampuni aku dan rahmatilah suamiku..


via : karyawanbisu

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...