Jumaat, 19 Disember 2014

Sifat Qana'ah

  
Gambar sekedar hiasan sahaja

Sifat qana'ah ialah sifat orang yang sentiasa rasa sudah cukup segala keperluan hidup. Sifat inilah yang terdapat dalam diri para sahabat Rasulullah s.a.w. seperti Saiyidina Umar r.a.

Sewaktu Saidina Umar r.a. mula-mula dilantek menjadi Khalifah beliau masih menjalankan perniagaannya seperti biasa di pasar sehinggalah kepada suatu pagi beliau ditanya oleh seorang sahabat, 'Bukankah Tuan sudah bergelar Khalifah dan pasti banyak urusan umat dan negara yang perlu Tuan perhatikan. Bukankah lebih baik perniagaan ini Tuan wariskan kepada anak Tuan dan Tuan sendiri menjalankan tanggung-jawab sebagai seorang Khalifah sepenuhnya. Tuan boleh mengambil sedikit wang dari Baitulmal sebagai upah atau bayaran gaji Khalifah dan tak perlu lagi berniaga di pasar.''
 

Setelah berfikir panjang maka Saiyidina Umar r.a. bersetuju meninggalkan perniagaannya dan menumpukan tugasnya sebagai Khalifah. Tapi dengan syarat upahnya dia sendiri yang tentukan. Maka mulai hari itu Saiyidina Umar r.a. menumpukan pekerjaannya sebagai Khalifah dan gajinya ialah hanya sekedar cukup keperluannya sepertimana dia berniaga di pasar. Para sahabat yang menjaga wang Baitulmal bersetuju dengan permintaannya berkaitan dengan upah atau gaji sebagai Khalifah tersebut.

Suatu hari ketika pulang dari urusan sebagai Khalifah beliau mendapati isterinya menghidangkan kueh-mueh dari manisan yang agak mahal lalu dia kehairanan dari manakah isterinya memperolehi wang untuk membeli kueh manisan tersebut. Lalu isterinya menjelaskan bahawa hasil jimat-cermat belanja pasar dikumpulkan setiap hari kedalam tabung dan bila sudah banyak dibelanjakan pula wang itu untuk membeli kueh manisan itu.

Saiyidina Umar r.a. berpendapat bahawa gaji yang diterimanya sebagai Khalifah berlebihan sehingga isterinya mampu menyimpan wang belanja hariannya kedalam tabung lalu beliau menemui sahabat-sahabat yang menjaga gajinya serta meminta agar gajinya dipotong sedikit. Para sahabat yang menjaga Baitulmal terpaksa akur dengan permintaan Khalifah yang meminta gajinya dikurangkan.

Gaji yang kurang yang diterima Saiyidina Umar r.a. sebagai Khalifah telah merunsingkan hati para sahabat lalu mereka bersepakat untuk menaikkan gaji beliau, namun diantara mereka tiada seorang pun yang berani memaklumkan perkara tersebut kepada Khalifah. Lalu mereka bersepakat meminta anak Saiyidina Umar r.a. yang bernama Hafsah untuk memberitahu kepada bapanya akan cadangan menaikkan gaji Khalifah.

Maka ketika tiba masa yang sesuai Hafsah pun memaklumkan kepada bapanya cadangan Baitulmal untuk menaikkan gaji beliau sebagai Khalifah. Saiyidina Umar r.a. begitu marah sehingga beliau mengeluarkan ancaman mahu menampar muka orang yang mencadangkan kenaikan gajinya. Namun Hafsah tidak berani menyatakan siapakah yang mencadangkan.

Begitulah kisah qana'ah sahabat Rasullah s.a.w. yang khuatir dengan upah atau kenaikan gaji yang lebih dari keperluan hidup. Hari ini rata-rata pembesar negeri berebut-rebut untuk mendapatkan kenaikan gaji. Ada sebahagian sanggup membuat fitnah, sanggup pijak memijak demi kenaikan gaji atau upah.

Kesimpulannya kebanyakan kita tiada sifat qana'ah seperti yang ada dalam diri para sahabat r.a. Lalu bagaimanakah kita di Padang Mahsyar nanti yang hendak berdepan dengan Penghulu kita Nabi Muhammad s.a.w. serta membiarkan Nabi s.a.w. membaca setiap tulisan yang berkaitan dengan kita. Bagaimanakah perasaan dihati Rasulullah s.a.w. ketika itu?

Marilah kita mulakan menyemai rasa qana'ah dalam diri setiap kita. Usahlah kita sibuk memandang harta dunia sebab semua itu cuma perhiasan sementara.


La haula wala quwwata illa billah..~
blog tok wan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Anda Berkenan .

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...