Seorang kakitangan kerajaan tidak menyangka kayu yang ditemui semasa membersihkan sebatang pokok tumbang dalam kebun di Lenga pada 25 Januari lalu itu mengandungi banyak rahsia.
Mohamad Landa, 41, berkata, kayu yang disangka tidak berguna pada mulanya itu, sebenarnya adalah kayu gaharu yang mempunyai nilai tinggi untuk membuat minyak wangi.
Menurutnya, lebih mengejutkannya apabila mendapati kayu tersebut mempunyai lima lukisan lain di dalamnya yang menyerupai haiwan.
“Sebelum ini, saya hanya mengenal pasti terdapat satu lukisan ikan bawal pada kayu berkenaan.
“Itu pun saya sedarinya ketika sedang berehat di sebatang pokok setelah hampir setengah jam membelah kayu ini,” katanya kepada Sinar Harian, kelmarin.
Kejadian tersebut yang dialami oleh Mohamad iaitu lukisan ikan bawal pada kayu pernah dilaporkan dalam Sinar Harian pada 27 Januari lalu.
Susulan itu katanya, dua hari kemudian dia sekali lagi dikejutkan dengan penemuan lima lukisan lain pada kayu tersebut.
“Lukisan kali ini menyerupai kepala singa, anjing laut, helang, kura-kura dan rama-rama.
“Ianya disedarinya ketika menggosok permukaan kayu gaharu dengan menggunakan kertas pasir untuk dijadikan perhiasan,” katanya.
Katanya lagi, pada mulanya, dia hanya menyedari kewujudan lukisan kura-kura membuatkannya terdorong untuk meneliti keseluruhan permukaan kayu ini, akhirnya menemui bentuk lukisan yang lain.
“Apabila saya tunjukkan lukisan ini kepada rakan-rakan mereka juga terkejut dan menganggap kayu ini sangat luar biasa.
“Saya akan menyimpan kayu ini sebagai koleksi peribadi dan tidak bercadang untuk menjualnya kepada sesiapa,” katanya.
Mohamad berkata, meskipun ada pihak yang menawarkan harga yang tinggi, namun dia tetap tidak akan menjualnya kerana menganggap kayu ini terlalu bernilai dan sukar dijumpai.
takmungkinbenar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan